Disediakan oleh
Kluang Today
8:00:00 PG
-
0
Ulasan
PUTRAJAYA: Isteri kepada penyanyi Datuk Hattan iaitu Datin
Arianie Abidin terbuka hati untuk menerima kembali suaminya itu selepas
bercerai pada 2005 kerana tersentuh dengan kesungguhan lelaki itu
menambat kembali hatinya sejak sembilan tahun lalu.
Arianie, 42, berkata, walaupun mengambil masa yang lama untuk kembali
sebagai suami isteri namun dia menganggap ia sebagai ketentuan Allah
selain perpisahan itu banyak mengajar mereka tentang erti kehidupan.
"Kesungguhannya untuk memikat hati saya sejak sembilan tahun lalu
akhirnya menyentuh hati saya walaupun saya mengambil masa yang lama
untuk menerimanya semula.
"Bak kata pepatah kalau sudah jodoh tidak akan ke mana-mana dan saya
berharap ia akan berkekalan sehingga akhir hayat kami," katanya ketika
ditemui selepas majlis akad nikah yang berlangsung di Hotel Marriot
Putrajaya di sini, Rabu.
Hattan dan Arianie sah bergelar suami isteri dengan dua kali lafaz
dalam majlis pernikahan serba sederhana yang dihadiri kira-kira 200
tetamu.
Hattan atau nama sebenarnya Mohd Shukri Sahabuddin, 49, dan Arianie
dinikahkan oleh Penolong Pendaftar Nikah Cerai dan Rujuk Putrajaya,
Abdul Halim Mat Isa pada pukul 6 petang.
Ia adalah perkahwinan ketiga buat Hattan dan kali kedua dengan Arianie.
Pasangan itu pernah berkahwin pada 17 Disember 1996 sebelum bercerai
talak satu secara rasmi pada 10 Mac 2005 di Mahkamah Rendah Syariah
Petaling Jaya, Selangor.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang anak lelaki Adam Eiman yang sekarang berusia 15 tahun.
Penyanyi dari Seri Menanti, Negeri Sembilan itu juga pernah berkahwin
untuk kali kedua dengan Noorfarashikin Othman pada 11 November 2011
tetapi berpisah dua bulan kemudian.
Dalam perkembangan sama, Hattan berkata, beliau bersyukur kerana doanya untuk bersatu dengan Arianie akhirnya termakbul.
Jelas Hattan, mereka memilih untuk disatukan pada bulan Ramadan kerana mahu mengambil keberkatan bulan mulia umat Islam itu.
"Sukar saya nak gambarkan dengan kata-kata kegembiraan saya kerana doa saya selama bertahun-tahun akhirnya termakbul.
"Sampai saya tersasul semasa akad nikah kerana berasa sebak dan gembira pada masa sama," katanya.
Dalam perkembangan sama, anak tunggal pasangan itu melahirkan rasa gembira dengan penyatuan kedua ibu bapanya.
Adam berkata, walaupun sudah terbiasa tinggal berasingan dengan
mereka dia bagaimanapun tidak sabar untuk memulakan kehidupan baru dalam
sebuah keluarga.
"Saya sebenarnya tidak tahu ibu dan ayah akan berkahwin semula. Dapat
tahu pun menerusi laporan akhbar dan apabila mereka bawa saya untuk
membeli cincin kahwin.
"Saya bersyukur dengan penyatuan mereka dan berharap akan mendapat seorang adik selepas ini," katanya.
Sementara itu, Hattan dan Arianie tidak merancang untuk mendapatkan
cahaya mata buat masa ini namun tidak menolak sekiranya dikurniakan
Allah.
Pasangan itu juga memberitahu akan membawa anak mereka bercuti ke
London hujung tahun ini selain tidak sabar untuk berhari raya sebagai
keluarga.
Tiada ulasan
Catat Ulasan
KLUANG TODAY tidak akan bertanggungjawab terhadap segala komentar yang diutarakan melalui ruangan komen di sini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.