Disediakan oleh
Kluang Today
10:00:00 PG
-
0
Ulasan
KUALA LUMPUR: Dua Ahli Parlimen, empat aktivis pelajar dan
seorang anggota sekretariat Parti Keadilan Rakyat (PKR) didakwa
melanggar Akta Perhimpunan Aman 2012 kerana mengadakan perhimpunan Black
505 di Padang Merbok.
Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli dan Ahli Parlimen Seremban,
Anthony Loke Siew Fook bersama dengan aktivis pelajar, Adam Adli Halim,
Muhammad Safwan Anang, Ekhsan Bukharee Badarul Hisham, Mohamed Bukhairy
Mohamed Sofian dan anggota sekretariat PKR, Adib Ishar didakwa atas
pertuduhan berlainan di Mahkamah Sesyen di sini Rabu.
Rafizi, Loke dan Adib didakwa atas pertuduhan utama iaitu gagal
mematuhi syarat-syarat ditetapkan oleh Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP
Zainuddin Ahmad yang memerlukan mereka mendapatkan kebenaran daripada
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur untuk menggunakan Padang Merbok untuk
perhimpunan itu.
Mereka juga didakwa atas pertuduhan alternatif kerana gagal
memaklumkan kepada polis mengenai perhimpunan itu, 10 hari sebelum ia
diadakan.
Timbalan Pendakwa Raya, Kalmizah Salleh, membenarkan ikat jamin
RM5,000 dengan seorang penjamin yang dikurangkan kepada RM2,000 selepas
peguam N.Surendran dan K.P.Wong membantah mereka yang didakwa tidak
memerlukan ikat jamin untuk dibebaskan.
Adam Adli, Muhammad Safwan, Ekhsan Bukharee dan Mohamed Bukhairy
didakwa berasingan kerana berkumpul di kawasan larangan, masjid Ar
Rahmand di Universiti Malaya pada 22 Jun.
Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Ishrakh Saad membenarkan ikat jamin
dengan bon peribadi kepada keempat-empat tertuduh yang dipersetujui oleh
peguam N. Surendran yang turut mewakili Adam Adli.
Hakim Mat Ghani Abdullah membebaskan mereka dengan bon peribadi
RM3,000 setiap seorang tanpa penjamin terhadap Rafizi, Loke dan Adib
manakala RM2,000 untuk yang lain tanpa penjamin.
Beliau turut menetapkan 7 Oktober sebagai sebutan semula kes untuk
Rafizi, Loke dan Adib manakala 21 Oktober bagi Adam Adli, Muhammad
Safwan, Ekhsan Bukharee dan Mohamed Bukhairy.
Turut hadir di mahkamah Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim,
Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah, penasihat DAP Lim Kit Siang dan
Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok.
mStar
Tiada ulasan
Catat Ulasan
KLUANG TODAY tidak akan bertanggungjawab terhadap segala komentar yang diutarakan melalui ruangan komen di sini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.