Terkini
Memaparkan catatan dengan label Sensasi. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Sensasi. Papar semua catatan

Ahad, 19 Februari 2017

khaled-tentera-fly-jb

Hasrat kerajaan negeri Johor ingin membantu keluarga 8 remaja sekolah yang terlibat dalam kemalangan maut di Jalan Lingkaran Dalam berhampiran perkuburan Mahmoodiah, Johor Bahru awal pagi semalam dipertikai netizen.

Rata-rata pengguna laman sosial yang mengikuti perkembangan kes ini mempersoal kewajaran kerajaan negeri menyediakan khidmat guaman untuk keluarga mangsa sedangkan banyak lagi kes kemalangan jalan raya berlaku sebelum ini tidak dapat pembelaan serupa.

Netizen turut mempersoal apa motif kerajaan negeri berbuat demikian serta menuntut Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin memberi penjelasan lebih lanjut mengenainya.



Dalam satu kenyataan media semalam, Menteri Besar Johor menyatakan bahawa kerajaan negeri akan membela nasib keluarga mangsa dengan memberi khidmat guaman percuma bagi mengkaji tindakan sewajarnya  berhubung kes ini.

Selain dari bantuan guaman, kerajaan negeri turut memberi bantuan segera berupa wang tunai berjumlah RM1,600 bagi setiap keluarga mangsa yang terlibat dalam nahas tersebut.

Mohamed Khalid yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri berkata bantuan tersebut akan disalurkan menerusi beberapa angensi negeri dan pusat termasuk Tabung Khairat Kematian Negeri Johor, Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Khamis, 16 Februari 2017

Mahathir-CIA-BMF

KUALA LUMPUR : Kabinet hari ini bersetuju menubuhkan pasukan petugas khas untuk menjalankan siasatan awal berkenaan kerugian urus niaga mata wang asing oleh Bank Negara pada sekitar 1990-an.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan berkata pasukan petugas khas itu akan dianggotai pelbagai agensi kerajaan termasuk individu-individu yang dihormati dan berpengalaman dalam bidang-bidang tertentu.

“Pasukan petugas khas ini akan mengemukakan syor dan cadangan untuk dipertimbangkan oleh Kabinet dalam tempoh terdekat dan tindakan selanjutnya termasuk penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) jika perlu berdasarkan hasil siasatan itu nanti,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, tindakan kerajaan itu membuktikan komitmen dan ketelusan kerajaan bagi memastikan urusan Bank Negara pada ketika itu dijalankan mengikut urus tadbir yang ditetapkan.

Menurut Pejabat Perdana Menteri, kerajaan akan sentiasa terbuka dan telus dalam siasatan itu memandangkan ia melibatkan Bank Negara Malaysia dan dikatakan skandal kewangan terbesar.

“Penubuhan pasukan petugas khas ini merupakan langkah permulaan bagi mendapatkan semula fakta-fakta yang berkaitan – menganalisis semua Hansard rasmi mesyuarat-mesyuarat Parlimen pada masa itu, minit-minit Mesyuarat Kabinet yang terdahulu, laporan Ketua Audit Negara, Bank Negara Malaysia dan laporan-laporan lain daripada agensi-agensi yang berkenaan.

“Ia juga bertujuan untuk mengetahui apa sebenar yang telah berlaku, jumlah kerugian sebenar dan sama ada terdapat salah laku tatacara pentadbiran kewangan serta adanya tindakan pihak tertentu untuk menutup apa yang sebenar berlaku dari pengetahuan rakyat Malaysia selama ini,” menurut kenyataan itu. - Bernama

Sabtu, 14 Januari 2017

Syahrin Md Jamaludin

Ketua Pemuda Umno Bahagian Tebrau, Datuk Syahrin Md Jamaludin, menasihatkan Tan Sri Annuar Musa supaya berhenti berbalah di media sosial dengan menumpukan tugasnya kepada parti.

Menurut beliau, tindakan berbalas kenyataan media membabitkan isu penajaan The Reds Warrior tidak mendatangkan manfaat kepada Umno sebaliknya memberikan persepsi negatif Rakyat kepada parti kerajaan itu.

Tambah beliau, polemik perbalahan dengan TMJ itu tidak akan menguntungkan Umno terutamanya Umno Johor dalam usaha untuk menarik golongan muda mendekati parti itu ketika detik pilihanraya umum sudah hampir.

"Tindakan Annuar 'cari pasal' dengan keluarga diraja Johor yang terkenal dengan pengaruh yang kuat dalam kalangan Bangsa Johor terutamanya orang muda akan merugikan Umno.

"Biarpun isu yang berlegar itu bukan isu politik, namun Annuar secara tidak langsung dilihat sebagai mewakili Umno kerana jawatannya dalam parti...jadi ia tak elok kepada Umno," katanya.

Memetik laporan Sinar Harian, Syahrin juga turut mengingatkan bahawa tugas sebagai Ketua Penerangan sepatutnya menggandakan usaha untuk turun padang termasuk di Johor untuk memberikan penerangan tentang isu-isu semasa dan bukanya 'sibuk' membuat kenyataan media berkaitan bola sepak.

Dalam pada masa yang sama, Pemuda Umno Tebrau turut menyatakan kesesiaan untuk membantu dan menyokong usaha Ketua Penerangan Umno itu turun ke Johor terutamanya di bahagian itu mendekati golongan muda serta meyakinkan mereka supaya terus memilih Umno untuk menerajui kerajaan.

Khamis, 8 Disember 2016

Khaled-Nordin-Johor

ISKANDAR PUTERI : Fitnah terbaru mantan perdana menteri, Dr Mahathir berkaitan 700,000 warga asing di Johor yang kononnya akan diberi Kad Pengenalan (IC) untuk menjadi pengundi pada Pilihan Raya Umum akan datang adalah tidak berasas dan berniat jahat.

Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menerusi kenyataan di laman Facebook miliknya berkata dakwaan melulu Dr Mahathir tersebut bukan sahaja tidak logik, malah tidak bersandarkan fakta dari sumber yang sahih.

Mohamed Khaled turut menjelaskan bahawa kedudukan semasa pemilikan hartanah oleh kepentingan asing di Johor adalah sangat rendah iaitu hanya 2.01 peratus daripada jumlah keseluruhan hak milik hartanah di Johor iaitu sebanyak 1,452,931 unit.

"Bagi tempoh 2003 sehingga 30 November 2016, jumlah kelulusan permohonan kebenaran perolehan hartanah oleh kepentingan asing dalam rekod Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Negeri Johor adalah sebanyak 29,218 unit.

Angka ini mewakili pemilikan hartanah jenis bertanah dan strata.

Sekiranya kita mengambil kira anggaran empat orang bagi setiap unit hartanah oleh Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC), sekurang-kurangnya 116,872 orang sahaja yang mengisi unit-unit hartanah yang dimiliki oleh orang asing itu," ujar beliau.

Dalam kenyataan yang sama juga, Mohamed Khaled turut menegaskan bahawa proses permohonan warga asing untuk menjadi warganegara Malaysia adalah sangat ketat dan memerlukan pertimbangan teliti oleh Kerajaan dalam pelbagai aspek.

"Malaysia adalah negara yang sangat tegas dan sukar untuk memberikan kerakyatan kepada mana-mana warga asing. Malah ratusan ribu lagi mereka yang telah dilahirkan di Malaysia dan telah tinggal di Malaysia sebegitu lama tetapi masih belum diberikan kerakyatan," katanya.

Tambah beliau, Malaysia juga tidak mempunyai dasar yang membolehkan sesiapa yang memiliki hartanah di Malaysia layak memohon kerakyatan Malaysia. Maka dengan itu, pemilikan hartanah di Malaysia tidak memberi kelebihan dalam proses memohon status kewarganegaraan.

Pada masa yang sama, Mohamed Khaled yang juga Pengurusi Perhubungan UMNO Negeri Johor  turut mezahirkan rasa kesal  terhadap Dr Mahathir yang kini lebih menyanjung dan  mempercayai laporan negatif media barat mengenai negara tanpa usul periksa.

"Sebagai negarawan yang membidani Malaysia yang moden ini, Tun Mahathir pasti ingat betapa agresif dan konsistennya media Barat dalam memburuk dan memperkecil-kecilkan segala inisiatif pembangunan yang beliau perkenalkan.

Apakah Tun Mahathir lupa tentang serangan sistematik media Barat terhadap pembangunan besar-besaran Putrajaya dan Cyberjaya dan pembinaan Petronas Twin Tower. Semuanya digambarkan sebagai pembaziran wang rakyat," soal beliau.

Dr Mahathir sebelum ini dalam entri blog miliknya mendakwa lebih 700,000 warga China akan dibawa masuk ke Forest City. Dalam entri blog itu turut menyatakan bahawa warga China berkenaan akan diberi kad pengenalan bagi membolehkan mereka mengundi pada pilihan raya umum akan datang.

Selasa, 29 November 2016

najib-malaysia-bankrap

PUTRAJAYA : Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan dakwaan kononnya Malaysia akan bankrap dan sebuah kerajaan yang gagal hanyalah sebagai serangan politik kerana ia tidak disokong fakta dan kenyataan yang sahih. 

Najib yang juga Menteri Kewangan ketika membidas tanggapan sedemikian berkata, dakwaan oleh sekumpulan kecil itu dilihat lebih bermotifkan politik.

Katanya, rakyat perlu lebih bijak menilai dengan menganalisis fakta dan kenyataan yang datangnya dari pihak yang tidak berkepentingan seperti agensi penarafan, Bank Dunia dan Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF).

"Inilah yang perlu kita jelaskan kepada rakyat bahawa mereka tidak boleh percaya apa yang tidak disokong dengan kenyataan dan fakta...kenyataan dan fakta ini mestilah datang daripada pihak yang tiada kepentingan.

"Ulasan mereka (pihak yang tiada kepentingan), analisis mereka itu adalah sebenarnya lebih tepat daripada apa sahaja yang didakwa oleh mana-mana pihak yang bermotifkan politik," katanya pada program Soal Jawab Khas bersempena Perhimpunan Agung Umno 2016 di sini, Isnin. 

Najib yang baru-baru ini pulang daripada menghadiri persidangan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) menyatakan beliau ada bertemu dengan wakil agensi penarafan seperti Moody's dan juga Pengarah Urusan IMF Christine Lagarde ketika di Lima, Peru.

"Kalaulah kita menjurus kepada ekonomi yang akan bankrap, sudah tentu badan penarafan seperti Moody's, wakilnya di situ akan beritahu mereka melihat keadaan ini memang akan membawa kepada kemudaratan kalau kita tidak melakukan sesuatu.  

"Lagarde (juga) tidak membayangkan bahawa kita dalam keadaan krisis," kata beliau. 

Pada sesi dialog tidak rasmi pemimpin APEC bersama Lagarde di Peru minggu lepas, IMF menyokong langkah yang diambil ke atas mata wang Malaysia, selain menyatakan pergerakan nilai ringgit adalah di luar kawalan.

Lagarde menyokong apa yang Malaysia lakukan iaitu pengapungan mata wang sebagai barisan pertahanan terbaik disebabkan apa yang berlaku pada ringgit adalah di luar kawalan.

Najib turut berkongsi perbualannya dengan bakal Presiden Amerika Syarikat Donald J. Trump pada Ahad (27 November) yang menyifatkan Malaysia mempunyai ekonomi yang baik berikutan perkembangan ekonomi negara yang berkembang 4.3 peratus pada suku ketiga tahun ini. 

Ketika ditanya sama ada prestasi ekonomi tidak menentu tahun depan dan selanjutnya akan meninggalkan kesan mendalam kepada rakyat dan mempengaruhi sentimen politik rakyat, Najib berkata apa yang berlaku pada ekonomi global adalah di luar kawalan. 

Sebaliknya, beliau berkata kerajaan telah melakukan apa yang terbaik untuk rakyat bagi mengurangkan kesan ketidaktentuan ekonomi global selama ini.

"Saya percaya rakyat akan faham bahawa hari ini apa yang kita lakukan adalah yang terbaik untuk rakyat dan kita merupakan pihak yang boleh memenuhi harapan rakyat berbanding dengan alternatif yang ada," kata Perdana Menteri.

Atas dasar itu, beliau berkata Barisan Nasional pernah memenangi pilihan raya pada zaman kemelesetan ekonomi serta menang besar pada Pilihan Raya Negeri Sarawak pada Mei lepas walaupun sesetengah pihak meramal akan kalah berikutan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST). 

Selain itu, BN juga menang besar pada pilihan raya kecil Parlimen Sungai Besar di Selangor dan Kuala Kangsar di Perak, katanya.

Najib dalam pada itu berkata subsidi kerajaan juga dikekalkan antaranya untuk kesihatan dan pendidikan bagi menangani kos sara hidup rakyat. - Bernama

Ahad, 9 Oktober 2016

Salleh-Said-Keruak_Muhyiddin

KUALA LUMPUR : Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan mendapati bahawa apa yang dikatakannya pada masa lalu dan apa yang dikatakannya sekarang akan dibangkitkan dan percanggahan di antara 'dahulu dan sekarang' pastinya sangat ketara.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata, jika Muhyiddin fikir orang akan lupa tentang apa yang dikatakan dahulu dan percanggahannya dengan apa yang dikatakan sekarang maka, beliau tersilap besar. Dengan zaman internet atau era media sosial, katanya orang akan ingat tentang apa yang dikatakan Muhyiddin walaupun selepas beberapa dekad berlalu - dan jika tidak ingat, mereka boleh menyelidik dan mengetahuinya.

"Jadi, anda bukan sahaja perlu berhati-hati dengan apa yang anda katakan, tetapi anda harus ingat apa yang anda katakan pada masa lalu.

"Calon Presiden Amerika Syarikat Donald Trump terpaksa berdepan dengan situasi sukar ini dan sekarang, beliau terpaksa memohon maaf atas apa yang dikatakannya pada masa lalu, yang kini menjejaskan kempennya," kata Salleh menerusi posting terbaharu dalam blog beliau pada Sabtu.

Calon presiden Parti Republikan itu Sabtu memohon maaf kerana menyampaikan ucapan seksual yang kasar dan agresif mengenai wanita pada 2005 susulan video menggemparkan disiarkan oleh The Washington Post pada Jumaat.

Salleh berkata sudah tentu, rakyat akan memahami apa yang Muhyiddin katakan pada masa lalu adalah atas kapasiti beliau sebagai pemimpin Umno, namun apa yang dikatakannya kini adalah sebagai musuh Umno.

Sebagai contoh, katanya, dalam hanya beberapa bulan sahaja bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir telah mengubah nadanya dengan menyatakan apa yang cuba dilakukannya dahulu adalah kerana sayangkan Umno dan sekarang, beliau cuba memastikan Umno berkubur buat selama-lamanya.

"Tidak syak lagi Mukhriz cuba menjustifikasikan tindakan beliau seperti peribahasa Melayu menyatakan 'menegakkan benang basah'.

"Tetapi jika Mukhriz tidak dipecat daripada Umno, adakah beliau akan mengubah nadanya? Jadi, ini bermakna ia tidak mempunyai apa-apa kaitan dengan kesetiaan kepada parti sebaliknya hanya untuk kepentingan peribadi," kata Salleh.

Salleh berkata, Muhyiddin juga lebih mementingkan keperluan politiknya sendiri berbanding kepentingan negara.

"Pada masa lalu, beliau (Muhyiddin) berkata beliau mendahulukan kepentingan Melayu dan semua yang lain sebagai perkara kedua.

"Sekarang, beliau berkata PAS perlu bekerjasama dengan DAP untuk membantu menghancurkan Umno. Muhyiddin juga menyatakan tanpa bantuan DAP, PAS tidak dapat memenangi banyak kerusi," katanya.

Salleh mempersoalkan bagaimana Muhyiddin mengharapkan PAS dan DAP untuk sekali lagi 'tidur sebantal' sedangkan isu yang menyebabkan perpecahan masih berlarutan.

"Adakah Muhyiddin menyatakan bahawa PAS harus menarik balik rang undang-undang pindaan Mahkamah Syariah atau menyatakan bahawa DAP perlu menerimanya? Ia harus menjadi satu daripadanya atau yang lain bagi PAS dan DAP untuk kembali bergabung," katanya. -Bernama

Jumaat, 2 September 2016

Lim-Siew-Khim-dap

GEORGE TOWN : Bapa seorang Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Pulau Pinang telah ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk membantu siasatan dakwaan kes rasuah untuk mendapatkan rumah mampu milik di negeri ini.

Pengarah SPRM Pulau Pinang, Datuk Abd Aziz Aban berkata, selepas menemu bual lelaki berkenaan, SPRM telah menahannya pada jam lebih kurang 10.30 malam.

"Kami telah menahan lelaki berkenaan untuk membantu siasatan dibawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009 selepas membuat siasatan ke rumahnya pada lewat petang tadi," katanya kepada Bernama di sini, Khamis.

Katanya, setakat ini, SPRM telah mengambil keterangan lapan individu tidak termasuk pesara berkenaan, bagi membantu siasatan kes itu.

Difahamkan, Adun berkenaan akan hadir ke pejabat SPRM pada Jumaat untuk direkod keterangan berhubung dakwaan tersebut.

Terdahulu, pesara berusia 68 tahun itu hadir ke pejabat SRPM di Jalan Sultan Ahmad Shah di sini pada jam kira-kira 12.50 tengah hari Khamis bersama-sama anak lelakinya dan seorang peguam untuk lengkapkan siasatan berhubung dakwaan itu.

Isu urusan 'rasuah untuk rumah' itu terbongkar Isnin lepas, apabila Naib Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, Oh Tong Keong mendedahkan klip video yang memaparkan rakaman perbincangan mengenai pembayaran untuk mendapatkan rumah kerajaan negeri. - Bernama

Sabtu, 27 Ogos 2016

tiga-tan-sri-konspirasi

BATU PAHAT : Seorang menteri tampil meminta tiga bekas pegawai tinggi kerajaan "membersihkan nama mereka" berhubung gambaran bahawa mereka terlibat dalam konspirasi untuk menyingkirkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata bekas Gabenor Bank Negara Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz, bekas Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail dan bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Dr Abu Kassim Mohamed "tidak boleh berdiam diri".

Anggota Majlis Tertinggi UMNO itu merujuk kepada laporan bahawa bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad memberi gambaran bahawa Najib mungkin sudah tersingkir daripada jawatannya itu sekarang jika tiga Tan Sri itu tidak dikhianati.

"Lebih baik kalau tiga Tan Sri ini tampil menafikan (laporan itu) kalau betul tidak ada berlaku seperti yang disebut Dr Mahathir," katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan UMNO Bahagian Parti Sulong di sini hari ini.

Semalam, Duta Besar Malaysia di Indonesia Datuk Sri Zahrain Mohamed Hashim turut membuat gesaan serupa kepada ketiga-tiga Tan Sri itu. - Bernama

Khamis, 25 Ogos 2016

khaled-sultan-johor-sumpit

Berikut adalah kenyataan balas Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berhubung isu Bangsa Johor oleh Tun Dr. Mahathir.

Saya ingin merujuk kepada pandangan Tun Dr. Mahathir Mohamad berhubung kebangkitan nasionalisme Johor dan konsep Bangsa Johor semalam.

Saya mempunyai pendirian yang berlainan dan menyanggah dengan tegas kenyataan tersebut. Pendirian saya adalah selari dengan pandangan DYMM Sultan Johor berhubung perkara ini.

Pertama, kebangkitan nasionalisme Johor, dalam apa cara sekalipun, tidak bertujuan untuk menjurus kepada perpisahan daripada Persekutuan Malaysia.

Johor adalah sebuah negeri yang membentuk Persekutuan Malaysia dan akan terus mendukung hubungan eratnya dengan Kerajaan persekutuan.

Namun, hubungan Kerajaan Negeri dengan Kerajaan Persekutuan mesti diterjemahkan selayaknya atas semangat sebuah persekutuan dan bukannya sebagai sebuah negara satuan atau ‘unitary’.

Kedua, Bangsa Johor adalah satu identiti politik Johor yang menjurus kepada perpaduan dan sikap muhibah. Ia menyeru kepada muafakat pelbagai kaum. Malah ia menjadi matan yang menyatukan segala kerencaman bangsa, agama dan keturunan di bawah satu identiti kenegerian yang bersandarkan kepada keharmonian, persefahaman dan toleransi.

Ketiga, Bangsa Johor yang bersatu padu, maju,harmoni dan berada dalam keadaan terbaik bukan sahaja akan menjadikan Johor dan masyarakatnya lebih baik. Malah ia akan menjadikan Malaysia dan masyarakatnya juga lebih baik. Ia dengan sendirinya akan mengukuhkan Malaysia sebagai sebuah Persekutuan. Negeri-negeri yang kuat, dengan masyarakat yang kuat akan membentuk persekutuan yang kuat.

Keempat, nasionalisme Johor dan konsep Bangsa Johor adalah identiti unik yang telah lama sebati dengan Johor dan amalan masyarakatnya. Seawal 1920-an apabila DYMM Almarhum Sultan Sir Ibrahim memperkenal dan menggunakan istilah tersebut. Ini bermakna, penggunaan Bangsa Johor sudah wujud lebih awal dari kemerdekaan dan kewujudan Malaysia.

Kelima, terimalah kebangkitan nasionalisme Johor dan Bangsa Johor ini sebagai sebahagian dari kepelbagaian dan kerencaman Malaysia. Malaysia mempunyai pelbagai cerita dan pelbagai cerita terbaik. Kemajmukan inilah yang menjadikan Malaysia kuat dan istimewa.

Saya menyeru semua pihak untuk meneladani kebangkitan Johor dan nasionalismenya. Ia harus menjadi pacuan moral untuk kita lebih menghargai kepelbagaian berbangsa dan bernegara secaraprogresif dan sihat.

Kepada Tun Dr Mahathir, saya beranggapan tidak perlulah untuk beliau bercakap dan mengulas tentang perkara yang bukan menjadi bidang kearifannya.  Sesuatu yang beliau tidak dapat hargai atau jiwai.

Kami di Johor akan terus berbangga memelihara dan berusaha mempertahankan segala warisan dan konsep yang boleh menjayakan dan menyatukan segenap rakyat negeri ini.

Mohamed Khaled Nordin
Menteri Besar Johor
25 Ogos 2016
sultan-ibrahim-rakyat

JOHOR BARU : Sultan Johor dengan tegas menegur Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung konsep Bangsa Johor yang tidak dipersetujui bekas perdana menteri itu.

Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar menyuarakan rasa tidak senangnya terhadap kenyataan yang dibuat Dr Mahathir bahawa konsep berkenaan boleh meruntuhkan perpaduan rakyat.

"Tun Mahathir tidak wajar mengeluarkan kenyataan yang mencerminkan beliau langsung tidak tahu tentang sejarah negeri Johor.

"Moyang saya, Sultan Sir Ibrahim pada 1920 mengadakan seruan terhadap Bangsa Johor bagi menyatu-padukan pelbagai kaum di Johor di bawah satu bendera untuk perpaduan, keharmonian dan keamanan yang lebih baik. Tiada bangsa atau individu yang dipinggirkan. Almarhum terbukti benar.

"Konsep Bangsa Johor telah dimulakan sebelum Tun Mahathir dilahirkan. Beliau tak tahu apa yang dikatakannya," titah Sultan.

Dr Mahathir ditanya mengenai pandangannya terhadap konsep Bangsa Johor pada sesi Wacana Perdana Ke-20 bertajuk 'Hubungan Persekutuan-Negeri di Malaysia' di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya, Rabu.

Bekas perdana menteri itu berkata, perpaduan di kalangan rakyat Malaysia boleh diruntuhkan sekiranya rakyat lebih banyak mengamalkan konsep kenegerian.

Dr Mahathir berkata, rakyat seharusnya dikenali sebagai rakyat Malaysia, daripada bergelar bangsa Johor atau Kedah kerana negara akan makmur sekiranya semua bersatu.

Walaupun Johor boleh mempromosikan idea seperti “Bangsa Johor” yang merupakan hak kebebasan, tetapi Dr Mahathir berkata, tetapi ia tidak seharusnya menjurus kepada pemisahan daripada Malaysia.

"Lagipun, kita semua rakyat Malaysia, tanpa mengira warna kulit, agama, etnik atau kedudukan," kata Dr Mahathir.

Sultan Ibrahim pada Rabu bertitah, Dr Mahathir tidak layak untuk bercakap mengenai perpaduan.

"Beliau memecah-belahkan rakyat termasuk orang Melayu, manakala saya menyatukan rakyat Malaysia dari semua kaum termasuk orang Melayu," titah Sultan.

Sultan Ibrahim menitahkan Dr Mahathir perlu memahami bahawa semua negeri mempunyai kebanggaan mereka tersendiri tetapi tidak bermakna mereka melupakan Persekutuan.

"Ia adalah sebahagian daripada imaginasi Dr Mahathir. Beliau hanya menimbulkan masalah, maka saya menasihatkan beliau supaya tutup mulut."

Sultan Ibrahim bertitah, Dr Mahathir meraih reputasi dengan menjadi pihak yang berkonfrontasi sehingga menyebabkan perpecahan, terutama dalam dasar hubungan luarnya.

"Beliau bertelagah dengan ramai pemimpin dunia termasuk dengan negeri jiran kita Singapura dan ia memberi kesan kepada Malaysia.

"Tun Mahathir merupakan punca kepada masalah di negara ini, pada ketika ini. Beliau tidak mempunyai hak untuk campur tangan dalam negeri saya. Saya tidak akan bertolak ansur dengan sikap beliau," titah Sultan Johor. - Mstar
konspirasi-tansri-1mdb

PUTRAJAYA : Bekas perdana Menteri, Dr Mahathir dalam kenyataan terbarunya mendakwa terdapat empat individu bergelar 'Tan Sri' dan salah seorang daripada mereka mungkin mengkhianati yang lain.

Sebelum ini, bekas perdana menteri itu memberi gambaran tiga pegawai tinggi kerajaan yang dituduh bersubahat untuk menggulingkan Datuk Seri Najib Razak telah "dikhianati".

"Ada seorang yang tidak termasuk. Terdapat empat daripada mereka, seorang daripada mereka tidak termasuk.

"Ada kemungkinan bahawa seorang (tidak termasuk itu) yang khianat," katanya kepada pemberita di Putrajaya.

Ditanya sama ada beliau merujuk kepada Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar yang juga mempunyai gelaran berkenaan, Mahathir menjawab: "Saya tidak tahu. Saya tidak tahu. Saya tidak mahu ditangkap."

Menurut portal MyKMU.net, soal tiga atau empat Tan Sri yang disebut oleh bekas perdana menteri itu bukan isu utama kerana sebelum ini perkara berkenaan telah dibangkit oleh penulis blog Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin sejak awal lagi.

Dakwa portal itu lagi, Tan Sri yang keempat disebut Mahathir itu boleh juga dirujuk kepada bekas timbalan presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana beliau juga turut bergelar 'Tan Sri'.

Dakwaan protal berkenaan disokong  menerusi satu rakaman video semasa mesyuarat MT Umno yang tersebar satu ketika dulu di mana Ahli Parlimen Pagoh itu mengakui wujudnya konpsirasi untuk menggulingkan Perdana Menteri.

Bulan lalu, Naib Ketua Pemuda Umno Khairul Azwan Harun membuat laporan polis terhadap bekas Gabenor Bank Negara Tan Sri Zeti Akthar Aziz, bekas Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail dan bekas ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Abu Kassim Mohamad.

Khairul Azwan mendakwa tiga Tan Sri itu memberi maklumat sulit kepada agensi-agensi asing tanpa kebenaran dan memalsukan butiran untuk mencapai agenda mereka.

Bagaimanapun, Khalid berkata polis tidak akan menyiasat laporan ketua Pemuda Umno itu kerana ia dibuat berdasarkan andaian.

Jumaat, 1 Julai 2016

Liow-Kluang-Today

PUCHONG : Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai mengingatkan Lim Guan Eng supaya cakap serupa bikin dengan mengambil cuti sementara menunggu kes rasuah yang membelenggu dirinya selesai dibicarakan.

Menurut Liow, Ketua Menteri Pulau Pinang itu sebelum ini begitu lantang mendesak orang lain meletak jawatan dan bercuti apabila terbabit dengan tuduhan rasuah. Namun, apabila terkena batang hidung sendiri pelbagai alasan pula diberi.

Liow yang juga menteri pengangkutan berkata, sekarang ini terpulang kepada kebijaksanaan  beliau untuk membuat keputusan kerana rakyat sedang memerhati.

Setiausaha agung DAP itu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi George Town atas dua pertuduhan rasuah berhubung penukaran zon pertanian kepada zon perumahan serta pembelian lot tanah dan banglo bawah nilai pasaran.

Bagi pertuduhan pertama Lim, sebagai penjawat awam Pulau Pinang, didakwa menggunakan kedudukan untuk suapan bagi diri dan isteri, meluluskan Permohonan Perlingkungan Semula daripada Zon Pertanian kepada Zon Perumahan Awam di Daerah Barat Daya Pulau Pinang kepada Magnificient Emblem Sdn Bhd.

Dia didakwa bawah Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, atau mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Lim juga didakwa mendapatkan lot tanah dan rumah di George Town daripada ahli perniagaan Phang Li Koon bawah harga pasaran ketika mengetahui Phang mempunyai hubungan dengan kerja-kerja rasminya (Lim).

Bagi pertuduhan itu Lim didakwa bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Khamis, 30 Jun 2016

Khairy-Jamaluddin-Umno

KUALA LUMPUR : Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin dalam nada simpati meminta semua pihak agar tidak terlalu awal menghukum Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berhubung dakwaan rasuah yang dihadapinya.

Mengulas lanjut, beliau menyeru semua pihak bertenang dan mematuhi undang-undang negara kerana ada proses perundangan yang dilaksanakan bagi setiap pendakwaan.

Katanya, tidak ada seorang pun boleh terlepas daripada tindakan undang-undang di Malaysia sekiranya ada melakukan kesalahan atau jenayah.

"Kita tidak mahu menghukum terlalu awal lagi. Sekiranya ada tindakan susulan... tindakan mahkamah dan sebagainya, beliau (Guan Eng) ada peluang untuk membela diri," katanya kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa bersama Pemuda Umno di Matrade di sini.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Rabu menahan Guan Eng dan seorang ahli perniagaan wanita, Phang Li Khoon, dipercayai berkaitan isu pembelian sebuah banglo.

Tangkapan dibuat selepas mendapat arahan  Pejabat Peguam Negara bagi menuduh mereka di mahkamah yang dijadual pada Khamis.

Rabu, 29 Jun 2016

lge-sprm-rasuah

GEORGE TOWN : Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada petang Rabu.

Lim yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang, telah ditangkap sebaik sahaja beliau keluar dari bilik mesyuarat kira-kira pukul 6.30 petang selepas mempengerusikan mesyuarat exco di Komtar.

Exco kerajaan negeri, Chow Kon Yeow mengesahkan penagkapan tersebut dan memberitahu pemberita bahawa Guan Eng akan dibawa ke pejabat SPRM dan beliau akan diberikan waran tangkap berhubung dua pertuduhan.

Kon Yeow berkata, Guan Eng akan dituduh mengikut Seksyen 23 dan 165 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Tambah beliau lagi, Guan Eng akan didakwa pada Khamis pagi di Mahkamah Sesyen.

Sebelum ini, Guan Eng telah dipanggil memberi keterangan di Pejabat SPRM Pulau Pinang bagi membantu siasatan terhadap kes pembelian banglonya di Jalan Pinhorn yang mencetuskan kontroversi setelah dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya ketika Sidang Dewan Rakyat April lalu.

Selasa, 28 Jun 2016

Ahmad-Husni-Hanadzlah-Kecewa

PETALING JAYA : Bekas Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah pada Isnin mengumumkan perletakan jawatan sebagai Bendahari Umno dan Bendahari Agung Barisan Nasional (BN).

Pengumuman perletakan jawatan tersebut disampaikan oleh Setiausaha Politiknya, Datuk Shamsul Zairil Kamaruddin melalui kenyataan media.

Selain daripada itu, Husni  juga turut meletak jawatannya sebagai Ketua Umno Bahagian Tambun dan beberapa jawatan dalam Umno Perak.

Perletakan jawatannya dibuat selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan barisan Kabinet barunya.

pengunduran-husni

Menurut sumber yang sedang viral di laman sosial mendakwa perletakan semua jawatannya dalam parti itu disebabkan tidak mahu ditukarkan ke kementerian lain.

Sumber Facebook tersebut turut menyatakan bahawa Husni meminta Perdana Menteri supaya dikekalkan jawatanya dalam Kementerian Kewangan sebelum ditolak.

Jumaat, 27 Mei 2016

Rafizi-SPRM-Selangor

PETALING JAYA : Ahli Parlimen Pandan , Rafizi Ramli berjanji akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan rasuah dalam pentadbiran kerajaan Selangor.

Dalam satu kenyataan kepada media semalam, Rafizi yang juga Naib Presiden PKR berkata laporan tersebut akan dibuat di pejabat SPRM, Putrajaya pada pagi Isnin depan.

Menurut Rafizi, Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail telah mengarahkanya untuk mengemukakan semua bukti berhubung dakwaan permintaan wang dan perempuan jika ingin berurusan dengan kerajaan Selangor yang dibangkitkan sebelum ini kepada SPRM.

Sebelum ini, Rafizi mengaku beliau pernah menulis dalam ruang sembang berkumpulan aplikasi WhatsApp mengenai kejadian rasuah wang dan seks membabitkan kerajaan Selangor.

Dalam kenyataan itu, Rafizi turut menafikan dakwaan bahawa beliau 'dibeli' Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Umno untuk mensabotaj PKR yang akan membolehkan beliau melarikan diri daripada pelbagai dakwaan di mahkamah yang sedang dihadapinya.

Rafizi berkata oleh sebab itu beliau menyerahkan dulu kepada keputusan Presiden dan Biro Politik untuk menentukan sama ada boleh melaporkan aduan salah laku terus kepada pihak berkuasa seperti SPRM.

Khamis, 26 Mei 2016

guan-eng-banglo-sprm

PETALING JAYA : Skandal penyelewengan tanah Taman Manggis yang melibatkan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng kini sudah masuk ke fasa pendakwaan setelah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyerahkan kepada Peguam Negara kertas siasatan kes itu semalam.

Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Azam Baki berkata, dokumen yang telah lengkap itu akan diteliti Tan Sri Mohamed Apandi Ali sebelum membuat keputusan untuk tindakan selanjutnya.

Menurut Azam, sekiranya Peguam Negara berpuas hati terhadap keterangan kertas siasatan yang dikemukakan, tindakan undang-undang yang sewajarnya akan diambil ke atas ketua menteri Pulau Pinang itu.

Jelas beliau lagi, perkara tersebut adalah selaras dengan Artikel 145 Perlembagaan Persekutuan yang mana kuasa mendakwa adalah di tangan Peguam Negara.

Pada Ahad lalu, seramai lapan orang pengawai SPRM telah berkunjung ke kediaman Lim Guan Eng untuk mendapatkan keterangan mereka suami isteri berhubung pembelian banglo mewah miliknya yang dikatakan dibeli di bawah nilai pasaran.

Pada 6 Mei lepas, Guan Eng dan isteri Betty Chew diminta memberi keterangan di pejabat SPRM berhubung kes sama dan penjualan tanah di Taman Manggis, Jalan Zainal Abidin yang pada asalnya diperuntukkan untuk pembinaan rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin.

Isnin, 23 Mei 2016

tunku-aziz-mahathir

KUALA LUMPUR : Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim dalam satu kenyataanya ketika membuat laporan polis menyerlar tindakan Dr Mahathir yang cuba melibatkan Raja-Raja Melayu dalam kancah politik negara.

Kenyataan tersebut dilontarkan beliau berhubung satu kenyataan bekas perdana menteri itu yang mendakwa Yang di-Pertuan Agong telah dikenakan tahanan rumah.

Menurut Tunku Aziz, dakwaan Dr Mahathir yang menuduh kerajaan mengenakan tahanan rumah ke atas Seri Paduka Baginda sebagai keterlaluan dan melampaui batas.

Tambah beliau, ekoran dari tindakan Dr Mahathir itu, telah menimbulkan salah faham dan kekeliruan serta boleh menjejaskan kententeraman dan keselamatan awam.

Sebelum ini, Dr Mahathir mendakwa beliau gagal mendapat perkenan mengadap Agong untuk menyerahkan lebih sejuta tandatangan menuntut pengunduran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Katanya kepada sebuah portal, beliau gagal bertemu Agong kerana baginda kini menjadi tahanan dalam rumah.

Dalam pada itu, Tunku Aziz yang juga adalah bekas naib pengerusi DAP turut menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan segera terhadap mantan perdana menteri itu sebelum ia menjadi tidak terkawal.

Khamis, 5 Mei 2016

lge-betty-rasuah

GEORGE TOWN : Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan isterinya Betty Chew akan dipanggil untuk disoal siasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu pembelian banglo bernilai RM2.8 juta di Jalan Pinhorn dan penjualan tanah Taman Manggis esok.

Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Azam Baki berkata pasangan suami isteri itu dijangka memberi keterangan di pejabat SPRM, Jalan Sultan Ahmad Shah, di sini kira-kira pukul 9.30 pagi bagi melengkapkan siasatan kes berkenaan.

Isu pembelian banglo itu menjadi kontroversi apabila Lim didakwa membelinya di bawah nilai pasaran.

Ahli Parlimen Umno Datuk Shabudin Yahaya mendakwa banglo itu yang berkeluasan 10,161 kaki persegi dibeli oleh Lim pada 25 Oktober tahun lalu pada harga RM2.8 juta, sedangkan nilai pasarannya antara RM6 juta hingga RM6.5 juta.

Lim, bagaimanapun menafikan sebarang unsur rasuah dan menuduh pesaingnya mereka-reka dakwaan itu.

Penjual banglo itu yang juga seorang ahli perniagaan Phang Li Khoon, turut menafikan hubungan dengan kerajaan negeri dalam suatu akuan bersumpah (SD).

Skandal banglo yang dibeli di bawah harga pasaran itu juga dikaitkan dengan penjualan tanah negeri di Taman Manggis, yang didakwa Lim dilakukan melalui proses tender terbuka.

Rabu, 4 Mei 2016

mukhriz-tengku-sarifuddin

KUALA LUMPUR : Bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dilaporkan telah memfailkan saman terhadap Setiausaha Akhbar Perdana Menteri, Datuk Seri Tengku Sarifuddin Tengku Ahmad kerana memfitnahnya.

Ini adalah berkaitan dengan empat kenyataan media Tengku Sharifuddin yang dikeluarkannya antara 15 April dan 26 April.

Saman itu difailkan di pejabat pendaftar sivil Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melalui firma Haniff Katri and Co.

Kenyataan itu mendakwa Mukhriz, selaku bekas menteri besar Kedah, berkomplot bersama bapanya, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad serta bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menjatuhkan kerajaan yang sah.

Mukhriz mendakwa kenyataan itu mencadangkan bahawa beliau akan diberikan jawatan perdana menteri sebaik sahaja Muhyiddin berundur selepas menggantikan Najib.

Bekas menteri besar itu mendakwa empat kenyataan Tengku Sariffuddin memberi gambaran seolah-olah beliau seorang yang gila kuasa, hanya mempunyai motif untuk menjadi perdana menteri tanpa sebarang pertimbangan terhadap kepentingan rakyat.

Menurut Mukhriz, kenyataan itu juga seolah-olah menggambarkan bahawa beliau mengamalkan politik kotor, bertindak mengikut telunjuk bapanya dan seorang yang tidak memiliki prinsip dan tidak bermoral.

Sehubungan itu, Mukhriz menuntut gantirugi am, gantirugi teladan dan gantirugi berterusan yang akan dinilai oleh mahkamah.

Beliau juga memohon injunksi bagi menyekat Tengku Sarifuddin daripada mengeluarkan sebarang kenyataan media yang sama.