Terkini
Memaparkan catatan dengan label Politik. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Politik. Papar semua catatan

Selasa, 21 Februari 2017

dap-kluang-SHEIKH-OMAR-ALI

KLUANG : Berikutan pameran rang DPT suku keempat 2016 yang dipamerkan pada 7 hingga 20 Feb yang lalu, Pakatan Harapan Kluang menerusi Pejabat Ahli Dewan Negeri (ADUN) Mengkibol telah turun ke lapangan untuk membuat semakan terhadap senarai pemilih yang pindah alamat mengundi di parlimen ini.

Dari sejumlah 61 nama yang disemak, terdapat 7 nama yang dikenalpasti meragukan apabila tuan rumah yang di temui mengesahkan bahawa nama pengundi yang ditempatkan di alamat kediaman mereka tidak dikenali.

Daripada 7 nama tersebut, masing-masing 4, 2 dan 1 daripadanya dipindahkan ke 3 alamat di sekitar Taman Pelangi dan taman-taman berhampirannya dekat Jalan Niyor.

Saya telah memfailkan bantahan bagi kes-kes ini di SPR pada 19 Februari 2017 yang lalu.

Keadaan ini menimbulkan tanda tanya, siapakah yang telah memindahkan nama-nama ke alamat kediaman yang tiada kaitannya antara tuan rumah dengan pengundi tersebut?

Saya sangsi bahawa ada pihak yang telah memanipulasi nama pengundi dengan memindahkannya tanpa mengikut prosedur yang betul bagi tujuan memenangi pilihan raya yang akan datang menerusi taktik kotor.

Untuk rekod juga, YB Jais Sarday dari UMNO memenangi kerusi DUN Mahkota pada PRU 13 yang lalu dengan majoriti 1108 undi. Ironinya, dalam kes pemindahan masuk alamat 7 nama pengundi yang sangat meragukan ini juga berlaku di DUN Mahkota.

Justeru, saya sangat yakin pemindahan menggunakan taktik kotor ini ada kaitannya dengan survival UMNO untuk memastikan kemenangan kekal milik mereka disini.

Selepas kenyataan media oleh ADUN Mengkibol Tan Hong Pin berhubung isu alamat mengundi Menteri Besar Johor yang ditempatkan di Pejabat UMNO Bahagian Pasir Gudang bersama 13 lagi nama yang lain (rujuk http://m.malaysiakini.com/news/373037), jelaslah bahawa UMNO tiada keyakinan untuk memenangi PRU 14 yang akan datang menerusi tawaran polisi yang baik dan iltizam menghentikan salahguna kuasa pemimpin-pemimpin mereka. 

Sebaliknya, mereka masih memilih menggunakan taktik kotor menjelang PRU yang akan datang.

KENYATAAN MEDIA
SHEIKH OMAR ALI
Penolong Setiausaha Publisiti DAP Johor

Ahad, 15 Januari 2017

muhyiddin-talkin-umno

SHAH ALAM : Bekas timbalan perdana menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi gambaran bahawa UMNO kini sedang berada di hujung nyawa kerana roh dan jiwa yang memberi nafas kepada parti itu sudah lama mati.

Ketika berucap pada Majlis Pelancaran Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), di Stadium Malawati semalam, Muyiddin berkata, parti yang diketuai Najib Razak itu tidak akan pulih dari sakit tenat yang sedang dialami dan hanya menunggu masa untuk ditalkinkan sahaja.

Beliau juga menjelaskan, perjuangan Bersatu adalah bukan untuk kepentingan individu tetapi sebuah wadah politik baharu untuk orang Melayu, masyarakat pribumi dan rakyat Malaysia.

"Kita berjuang untuk mengagih kekayaan negara secara adil dan saksama tanpa mengira kaum dan agama serta mendokong prinsip bahawa setiap rakyat berhak untuk mendapatkan pendidikan yang berkualiti dan sempurna.

"Semua ini bukan sekadar pernyataan dasar atau harapan parti, tetapi matlamat perjuangan yang termaktub secara jelas di dalam Perlembagaan. Jadi, selagi Bersatu wujud, inilah yang menjadi landasan perjuangan parti kita," katanya lagi

Memetik laporan Sinar Harian, Muhyiddin berkata, Bersatu bukanlah serpihan mana-mana parti dan perasmian parti itu satu permulaan dan perjalanan masih jauh.

"Masih banyak ranjau, duri dan liku yang mesti kita tempuh. Akan ada ribut, taufan, ombak dan gelombang besar yang perlu kita redah.

"Tak kurang juga fitnah dan adu domba yang cuba memecahkan kesatuan kita. Yang irihati dengan pencapaian kita," katanya.

Isnin, 10 Oktober 2016

 Ismail-Mohamed-Umno-Pagoh

TANGKAK : UMNO bahagian Pagoh mahu orang tempatan dipilih sebagai calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) yang akan datang.

Pemangku Ketua UMNO bahagian Pagoh, Ismail Mohamed berkata beliau telah mengemukakan perkara tersebut kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Presiden UMNO dalam satu pertemuan baru-baru ini.

“Saya sendiri telah menyampaikan permintaan orang Pagoh ke Perdana Menteri bahawa mereka ingin calon tempatan dan bukannya lagi orang luar…kita harap anak jati Pagoh akan bertanding sebagai calon nanti,” katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan majlis Kunjungan Mesra Hero Negara, Tan Wee Kiong di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kung Yu, Kundang Ulu di sini, hari ini.

Ismail berkata sudah sekian lama peluang menjadi calon diberikan kepada orang luar dan kini sudah tiba masanya orang Pagoh sendiri pula yang menjadi calon kerana mereka lebih faham dan terus kekal membela kebajikan masyarakat Pagoh.

“Kita sedia maklum, Ahli Parlimen Pagoh Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jorak, Datuk Dr Shahruddin Md Salleh bukan orang tempatan di Pagoh,” katanya.

Beliau berkata UMNO bahagian Pagoh tidak menghadapi masalah untuk mencari calon di kalangan penduduk tempatan kerana mempunyai ramai calon yang berkelayakan dan mampu membawa kemenangan kepada BN. - Portal UMNO Johor

Sabtu, 1 Oktober 2016

najib-dana-politik

KUALA LUMPUR : Umno dan Barisan Nasional (BN) secara prinsip bersetuju dengan cadangan Jawatankuasa Konsultatif Nasional Mengenai Pembiayaan Politik (JKNMPP) untuk mengawal selia dana dan sumbangan politik menerusi perundangan baharu.

Walau bagaimanapun Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, cadangan itu harus dipersetujui bersama oleh pihak pembangkang.

"Umno pada prinsipnya dah lama setuju kerana ia diperjuangkan oleh kerajaan.

"Ini bukan perkara baharu malah sebelum pilihan raya dulu lagi saya sebutkan bahawa kita perlukan kaedah dana politik yang baharu, lebih telus dan boleh dipantau oleh pihak yang objektif dan neutral.

"Kita perlu menyokong kaedah baharu ini dan ia perlu disokong kedua-dua pihak. Tak adil kalau BN sahaja dikenakan peraturan baharu. Ia mesti dikuatkuasakan kepada semua parti politik," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di Menara Dato' Onn di sini, Jumaat.

Namun menurut Najib, cadangan berkenaan perlu dikaji dengan lebih mendalam termasuk kemungkinan melakukan beberapa penambahbaikan mengenainya.

Sebelum ini Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Paul Low berkata, JKNMPP akan menyarankan kepada kerajaan untuk membentangkan perundangan baharu itu menerusi Akta Perbelanjaan dan Sumbangan Politik.

Antara cadangan yang dikemukakan adalah akaun parti politik diaudit dan dana lebih RM3,000 perlu diisytiharkan. - Mstar

Jumaat, 30 September 2016

adam-sumiru-umno

JOHOR BAHRU : Ketua Penerangan UMNO Bahagian Johor Bahru YB Datuk Adam Sumiru berkata, semua pihak tidak boleh memandang remeh penubuhan parti baru Pribumi apatah lagi parti itu sedang bergiat aktif ‘mencuri' ahli UMNO.

Jelasnya, apa yang membimbangkan adalah pengundi atas pagar yang akhirnya akan memberi undi kepada parti ini.

“Jika ahli UMNO boleh berpaling arah maka apatah lagi pengundi atas pagar.. Inilah yang patut kita bimbangkan. Kita tidak boleh menolak Pribumi memang memberi impak terhadap parti kita.

“Oleh itu, jentera parti haruslah berusaha lebih keras untuk menyakinkan rakyat khususnya pengundi atas pagar bahawa UMNO dan Barisan Nasional (BN) adalah parti terbaik berlandaskan pencapainya selama ini,” ujarnya.

Tambah Adam, negeri Johor khususnya memang sedang diasak keras oleh parti baru ini. Tujuan mereka sama seperti pembangkang yang lain iaitu mahu menumbangkan UMNO di bumi kelahirannya.

“Jadi kita di Johor memang berhadapan dengan situasi yang lebih berjaga-jaga dan harus berusaha lebih keras bagi memastikan agenda Pribumi tidak menjadi kenyataan.

“Saya yakin masih ramai ahli UMNO yang begitu setia kepada parti. Ini berdasarkan kehadiran pada mesyuarat bahagian yang sedang berlangsung. Tetapi apa yang saya risaukan seperti yang saya katakan tadi adalah pengundi atas pagar,” katanya.

Mahu tidak mahu ujarnya, Pribumi yang terdiri daripada serpihan UMNO ini harus dipandang serius dan strategi harus disusun segera bagi mengekang gerak kerja mereka di bumi Johor. - Umno Johor

Rabu, 28 September 2016

najib-pru14

BERLIN : Tiada perancangan untuk mengadakan pilihan raya umum dengan lebih awal sehingga tarikh akhir pada 2018, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau menjelaskan, sebarang keputusan untuk mengadakan pilihan raya sepatutnya tidak dibuat berdasarkan sebarang faktor tertentu.

"Kerajaan menyandarkan pada rekod. Kita mempunyai rekod yang baik dan akan terus memaklumkan kepada rakyat bahawa kerajaan kita (Barisan Nasional) masih merupakan pilihan terbaik," kata Najib kepada pemberita di sini selepas mengadakan pertemuan dengan Canselor Jerman, Angela Merkel.

Kali terakhir pilihan raya umum diadakan pada 5 Mei 2013.

Mengulas tentang kontroversi 1Malaysia Development Bhd (1MDB), Najib berkata, Malaysia akan memberi kerjasama dengan Amerika Syarikat dan pihak berkuasa antarabangsa yang lain berhubung siasatan kes itu.

"Kerajaan turut sama-sama mengambil berat tentang hal berkaitan imej baik pentadbiran Malaysia dan hal ehwal perundangan.

"Jadi atas kedua-dua sebab itu, Malaysia akan memberi kerjasama yang terbaik selagi diperlukan," ujarnya. - REUTERS

Ahad, 25 September 2016

bn-johor-khaled

SEOUL : Barisan Nasional (BN) Johor mahu MCA bertanding di kerusi Parlimen Gelang Patah pada pilihan raya umum akan datang kerana kerusi berkenaan secara tradisinya milik parti itu.

Pengerusinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, "Ia masuk akal untuk meletakkan calon MCA di sana."

"Terpulang kepada parti (MCA) untuk memilih calon yang tepat dan kita (Umno) akan menyokong pilihan yang dibuat oleh parti," kata Khaled kepada pemberita semasa lawatan pelaburan ke Korea Selatan.

Khaled berkata, beliau menjangkakan penyandang kerusi Parlimen Gelang Patah dan veteran DAP, Lim Kit Siang tidak akan bertanding lagi di kawasan berkenaan.

"Kita tahu gaya dia (Lim), dia tidak akan bertanding semula di Gelang Patah kerana dia tahu dia akan kalah," katanya.

Khaled berkata pengundi di Gelang Patah menyedari bahawa Lim hanya bertanding di Gelang Patah demi untuk menang dan bukan untuk berkhidmat kepada mereka.

Mengenai khabar angin yang kuat mengatakan Lim yang juga Ketua Parlimen DAP akan bertanding di Parlimen Pasir Gudang di mana beliau adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permas, Khaled berkata:

"Lim tidak akan berani untuk bertanding di Pasir Gudang dalam pilihan raya kerana ia adalah kerusi majoriti Melayu... dia mungkin akan pergi ke Sarawak," katanya berjenaka.

MStar

Ahad, 11 September 2016

Sharifah-Azizah-Syed-Zain-Umno

KLUANG : Ahli-ahli UMNO khususnya di Johor jangan hilang fokus dalam perjuangan parti terutamanya dalam usaha UMNO dan BN mengekalkan momentum untuk berdepan dengan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 akan datang.

Parti UMNO dilahirkan di Istana Besar Johor, bukannya parti yang lahir di tepi jalanan, justeru menjadi tanggungjawab ahli-ahli UMNO di negeri Johor untuk bersatu memperkukuhkan dan memantapkan perjuangan parti keramat yang telah banyak berjasa kepada rakyat selama ini.

Kita tidak harus bersedih atau kecewa sekiranya ada di antara sahabat-sahabat seperjuangan kita meluahkan hasrat untuk keluar dari parti, lebih-lebih lagi mereka yang pernah mendapat manfaat hasil perjuangan UMNO selama ini terhadap diri mereka sendiri.

Janganlah kita berduka atau berkecil hati, sebaliknya kita harus berlapang dada dan berbesar hati kerana di saat parti sedang `dilanda gelora’ kita masih kekal bersatu untuk sama-sama meredah onak berduri ini kerana kita percaya, perjuangan UMNO bersama BNlah yang telah mencorakkan kejayaan Malaysia selama ini dan di masa akan datang. 

UMNO telah dibentuk dan dibesarkan di negeri ini. Jika UMNO Johor lemah maka inilah kejayaan besar bagi pembangkang. Oleh itu UMNO harus terus dijaga, dibelai dan diperkukuhkan oleh ahli UMNO itu sendiri. Inilah amanah besar untuk digalas oleh semua ahli.

Jika kita melihat perkembangan politik hari ini, kumpulan ‘bekas pejuang UMNO ‘ yang ditubuhkan kononnya bermatlamat  untuk menyelamatkan Negara, ia hanyalah satu slogan bagi mengaburi matlamat yang sebenar.

Apa yang jelas hari ini, tindakan mereka khususnya Tun Mahathir sebenarnya lebih bermotifkan peribadi, sama seperti mana PKR yang diwujudkan atas perjuangan untuk membela Datuk Seri Anwar semata-mata.

Saya juga mahu mengucapkan terima kasih kepada Tun Mahathir, kerana tindakannya yang sanggup bekerjasama bersama-sama bekas musuhnya seperti Lim Kit Siang dan  Anwar Ibrahim memberikan satu gambaran yang jelas bahawa apa yang beliau perjuangankan hari ini adalah lebih kepada matlamat dan agenda peribadinya sahaja dan bukan untuk Negara.

Sehubungan dengan itu, tanggunjawab kita sebagai ahli UMNO memperkuatkan diri kita untuk meneruskan perjuangan UMNO dan kita akan menentang mereka yang berada dalam kumpulan pembangkang termasuk mereka yang terdiri dari orang-orang yang kita hormati.

UMNO tidak akan memandang ringan terhadap mana-mana parti pembangkang termasuklah Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM). Kalau PPBM atau parti pembangkang lain berkata mereka mampu menentang UMNO dan BN, itu bukanlah sesuatu yang luar biasa. BN dan UMNO pun mempunyai strategi tersendiri dan pasti ada kaedah tertentu menghadapi cabaran sebegini.

Kita berjuang mesti berani, kalau ragu dan tak yakin dengan dasar dan asas perjuangan parti, lebih baik keluarlah dari parti bukannya menjadi ‘musuh dalam selimut’.

UMNO pernah hadapi cabaran lebih hebat daripada ini, ramai pemimpin kanan UMNO keluar parti umpamanya sejarah penubuhan Semangat 46 dan penubuhan PKR tapi UMNO tetap tabah menghadapinya dengan penuh strategi.

Kita tetap mampu bertahan kerana apa yang kita perjuangkan ialah untuk agama, bangsa, serta negara dan bukannya sebagaimana PPBM yang lebih menjurus kepada agenda peribadi, dendam dan kecewa.

Sehubungan dengan itu, saya minta agar rakyat khususnya orang Melayu agar kembali bersikap rasional dalam berpolitik dengan berpandukan pemikiran yang waras dan tidak ditunggangi oleh nafsu amarah semata-mata. Tidak ada gunanya jika kita berpolitik hanya untuk memecah belahkan bangsa sehingga kita hilang kekuatan.

Kenyataan Media

DATUK SHARIFAH AZIZAH SYED ZAIN
Ketua Wanita UMNO Negeri Johor

Sabtu, 10 September 2016

Baharom-Abdul-Ghani-Umno

JOHOR BAHRU : Pengerusi Tetap Umno Bahagian Gelang Patah, Datuk Baharom Abdul Ghani mengumumkan keputusannya keluar parti.

Beliau membuat pengumuman itu semasa berucap pada mesyuarat Umno Bahagian Gelang Patah di sini, Sabtu.

Baharom berkata, beliau keluar dari parti berikutan kurang yakin terhadap kepimpinan tertinggi Umno.

Ketua Umno Bahagian Gelang Patah, Mohammad Khairi A Malik memberi jaminan bahawa Umno tidak akan terjejas dengan tindakan Baharom keluar parti.

"Kita berterima kasih kepada beliau di atas sokongan dan kepimpinan dalam parti selama ini," katanya kepada pemberita.

Tambah Mohammad Khairi, Umno bahagian akan terus menumpukan perjuangan dan pendirian parti.

Baharom bersama Umno Bahagian Gelang Patah sejak ia ditubuhkan pada 1994 dan berkhidmat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Kupang antara 1995 dan 2004. - Mstar

Sabtu, 27 Ogos 2016

najib-chess-umno

CAMERON HIGHLANDS : Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mencabar mana-mana pihak dalam Umno yang tidak berpuas hati dengan kepimpinan Umno termasuk dirinya supaya bertanding dan mencabar beliau selaku presiden dalam pemilihan parti akan datang.

"Kalau hendak jatuhkan saya bertandinglah dalam Umno tapi jangan runtuhkan Umno," katanya ambil disahut tepukan gemuruh.

Najib berkata demikian semasa berucap merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Cameron Highlands, di sini hari ini.

Malah, Najib secara sinis berkata jika beliau mempunyai hasrat menjadi Perdana Menteri dan Presiden Umno untuk tempoh 22 tahun lagi, Perlembagaan parti sebelum ini boleh dipakai.

"Kalau mengikut perlembagaan dahulu, siapa nak bertanding presiden dia mesti mendapat sokongan daripada 56 Bahagian Umno, ingat senang nak dapat, satu pun susah.

"Tetapi bila saya jadi Presiden Umno dan Perdana Menteri saya ambil langkah pinda Perlembagaan dan serahkan nasib saya kepada 160,000 perwakilan yang layak memilih," katanya.
najib-mahathir-kaki-gaduh

CAMERON HIGHLANDS : Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan seorang bekas pemimpin negara yang berkhidmat selama 22 tahun sebagai kaki gaduh.

Presiden Umno itu berkata ini kerana pemimpin tersebut sering mengkritik pemimpin terdahulu dan sekarang sebagai tidak betul dalam segala tindak tanduk mereka.

"Ada pihak yang mengatakan Malaysia negara gagal, apatah lagi ini disebut oleh bekas pemimpin yang kita sanjung selama ini, saya dan Menteri Besar (Pahang) Datuk Seri Adnan Yaakob antara penyokong setia (pemimpin itu) selama 22 tahun.

"Kita pertahankan dia, tapi hari ini dia tergamak duduk sama dengan pembangkang. Kita semua faham orang yang kaki gaduh ini akan selalu cari gaduh.

"Pertama dengan (perdana menteri pertama) Tunku Abdul Rahman (Putra Al-Haj) (dikatanya) tak betul, (perdana menteri ketiga) Tun Hussein Onn tak betul, (bekas timbalan perdana menteri) Tun Musa Hitam tak betul, (perdana menteri kelima) Tun Abdullah Ahmad Badawi tak betul dan terbaru Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar juga tidak betul," katanya.

Najib berkata demikian semasa berucap merasmikan persidangan erwakilan Umno Bahagian Cameron Highlands, di sini, Sabtu.

Selasa, 23 Ogos 2016

Umno-Kluang-2016

KLUANG : Ahli UMNO diminta tidak takut atau bimbang jika digelar rasis kerana memperjuangkan kepentingan agama dan orang Melayu di negara ini.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ia berikutan asas perjuangan UMNO yang ditubuhkan bertujuan membela nasib agama dan orang Melayu.

Katanya, itu juga menjadi asas perjuangan parti komponen MCA dan MIC yang turut memperjuangkan nasib kaum masing-masing.

“UMNO jangan sesekali berasa risau dan takut jika kita digelar rasis. Buat apa kita nak takut sedangkan kita hanya perjuangkan asas parti kita yang sudah termaktub sejak dulu.

“Apabila UMNO membela nasib orang Melayu dan dituduh rasis, kita terdiam, takut dan gelabah. Padahal itu asas perjuangan dan tanggungjawab parti menjaga kebajikan serta membela nasib agama dan bangsa. Jangan sampai orang Melayu meluat dengan UMNO disebabkan kita gagal membela nasib mereka kerana takut dikata rasis,” ujarnya yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagia Kluang, di sini, hari ini. Turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Kluang, Datuk Md Jais Sarday dan Ketua Wanita UMNO Johor, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain. - BH

Sabtu, 20 Ogos 2016

umnojohor-kluang

KLUANG : Umno Johor perlu bangkit dan menebus semula maruah pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) dengan merampas kembali kerusi yang hilang kepada pembangkang, kata Naib Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid yang juga timbalan perdana menteri berkata meskipun pada mulanya dibolosi atas kesilapan teknikal, pihak pembangkang bagaimanapun berupaya meningkatkan pegangan kerusi di Johor pada PRU13.

"Mengikut profil di Johor ini, saya bimbang dengan apa yang kita (Umno dan Barisan Nasional) perolehi (pada PRU13 lepas), Johor adalah tapak kuat Umno dan Barisan Nasional (BN) tetapi telah dibolosi pihak pembangkang," katanya.

Namun beliau percaya Umno Johor yang dipimpin oleh Menteri Besar dan Ketua Badan Perhubungan UMNO negeri Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mampu membuat penebusan maruah dan merampas kembali kerusi Dewan Undangan Negeri dan Parlimen  tersebut.

"Bagaimanapun, ia tidak akan berjaya tanpa dukungan rakan-rakan yang terdiri daripada sayap-sayap di bawah Umno dan BN," katanya ketika berucap merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Sembrong, di sini, Sabtu.

Ahmad Zahid berkata selagi dirinya menjadi pembantu kepada presiden parti, beliau akan memberi tumpuan untuk membantu rakyat dan kerajaan negeri Johor untuk memastikan kemenangan Umno dan BN di Johor.

Beliau berkata kemenangan Umno dan BN di Johor adalah penting memandangkan ia adalah kubu kuat parti itu dan mempunyai hubung kait senario politik di Malaysia.

"Bangun orang Johor, bangkit orang Johor, bangkit Umno Johor! Tebus balik kerusi-kerusi yang kalah, kita rampas balik kerusi-kerusi yang majoritinya (undi) kecil di bawah kepimpinan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin. Saya yakin beliau mampu melakukan penebusan maruah ini semula," kata timbalan perdana menteri.

Pada PRU13, BN memenangi 21 daripada 26 kerusi Parlimen dan 38 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan di Johor.

Selain itu, Ahmad Zahid turut mengingatkan betapa pentingnya kerjasama, semangat perpaduan dan bersatu antara Umno dan parti komponen BN yang lain.

Katanya, pada dua pilihan raya umum yang lepas parti MCA, MIC serta beberapa parti komponen BN yang lain mengalami masalah "trust deficit" atau "kurang keyakinan" dan krisis kepimpinan sementara Umno pula berjaya mengekalkan prestasi yang baik.

"Tetapi ketika kita (Umno) susah, parti-parti inilah (komponen BN) yang menolong Umno. Ketika Umno mengalami krisis pada tahun 1987-88, Umno diharamkan, parti-parti inilah yang membantu memenangkan.

"Saya ingin mengingatkan diri saya, ketika ini parti-parti ini sedang susah, bukan kerana mereka susah sebab mereka lemah tetapi dilemahkan oleh pihak yang tidak suka dengan pemikiran parti-parti itu dan memecahbelahkan orang-orang Cina, orang-orang India dan orang bukan Melayu yang lain," kata Ahmad Zahid.

Turut hadir Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang juga naib presiden Umno dan ketua Umno Bahagian Sembrong dan Setiausaha Badan Perhubungan Umno negeri Datuk Md Jais Sarday.

Terdahulu, timbalan perdana menteri turut merasmikan Rumah Komuniti Parlimen Sembrong.-Bernama

Jumaat, 19 Ogos 2016

Muhyiddin-Ketua-Pembangkang

SHAH ALAM : Timbalan Presiden Amanah (PAN), Salahuddin Ayub berkata, belum ada keperluan bagi Pakatan Harapan (PH) menggantikan kedudukan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Ketua Pembangkang dengan pemimpin lain.

Jelas beliau, setakat ini tiada sebarang perbincangan untuk menjadikan Presiden Penaja Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai ketua pembangkang yang baru seperti yang diwar-warkan media sebelum ini.

“Kedudukan Wan Azizah dalam Parlimen sebagai ketua pembangkang tidak perlu diubah. Beliau telah menjalankan tugasnya dan saya merasakan tiada keperluan menukar ketua pembangkang yang baharu.

“Muhyiddin bagaimanapun boleh memainkan peranannya dalam bidang lain termasuk politik yang memerlukan pengalaman beliau,” katanya.

Beliau berkata, sebagai bekas timbalan perdana menteri, pengalaman politik Muhyiddin boleh digunakan untuk berhadapan dengan BN.

Sementara itu, Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abdul Samad berkata, Muhyiddin perlu diterima majoriti parti pembangkang untuk dilantik ketua pembangkang.

Katanya, bekas timbalan perdana menteri itu juga perlu mempunyai keupayaan menyatupadukan parti-parti pembangkang.

Menurutnya, masih terlalu awal untuk menilai kemampuan Muhyiddin dan tidak perlu dibandingkan dengan bekas ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Khamis, 18 Ogos 2016

Ismail-Sabri-Umno

PUTRAJAYA : Saranan Menteri Besar Johor, Datuk Seri Khaled Nordin supaya ahli Umno yang menyokong perjuangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) meninggalkan parti itu disambut baik oleh Ahli Majlis Tertinggi Umno.

Menurut salah seorang ahlinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, dengan cara ini akan memudahkan Umno ‘menyingkirkan’ musuh dalam selimut.

“Lebih senang jika kita berhadapan musuh di luar berbanding musuh dalam selimut. Eloklah kalau mereka menyertai parti itu (Bersatu),” katanya dalam sidang media selepas majlis ramah mesra bersama 12 pelajar Orang Asli yang berjaya melanjutkan pelajaran ke luar negara, di sini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang menyarankan ahli Umno yang menyokong Bersatu tetapi tidak boleh keluar parti supaya kekal dalam Umno dan menjadi 'pengintip' untuk Bersatu.

Sementara itu, mengulas pembentukan blok pembangkang baharu iaitu Gagasan Sejahtera (Gagasan) yang dianggotai Pas dan Parti Ikatan Malaysia (Ikatan), Ismail Sabri berkata, ia hanya akan memberi kelebihan kepada BN dan Umno.

“Baguslah, lagi banyak (pembangkang) lagi bagus. Sebenarnya kita tidak perlu fikir sama ada orang lain (pembangkang) berpecah atau tidak.

“Apa yang penting, Umno perlu bersatu dan kuatkan parti. Selain itu, parti-parti komponen dalam BN juga kena kukuhkan kerjasama sesama sendiri,” katanya.

Sabtu, 13 Ogos 2016

Khaled-Nordin-Umno

JOHOR BAHRU : Pengerusi Badan Perhubungan Umno Johor, Datuk Seri Khaled Nordin memberi peringatan kepada seluruh ahli parti di negeri ini agar tidak menjadi ahli parti yang 'duduk dua alam' atau cuba bermain 'dua kolam'.

Sehubungan itu, beliau meminta Umno bahagian di Johor menyenaraikan anggota mereka yang dipercayai terlibat atau mempunyai kaitan dengan parti baru.

Beliau berkata, tindakan  ini diambil bagi memastikan tidak berlaku kecelaruan dan pengkhianatan terhadap parti ketika menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14.

“(Ada di antara) mereka ini (yang) duduk dua alam. (Ini bagi memastikan) sama ada nama mereka digunakan untuk menaja dan mempromosi parti (baharu) dan mereka dapat mengumumkan sama ada mereka betul-betul terlibat atau tidak,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Johor hari ini.

Memetik laporan Bernama, Khaled yang juga Menteri Besar Johor berkata, pihaknya ada menerima laporan mengatakan ada pihak tertentu cuba menggunakan nama anggota-anggota yang tidak terlibat dan mengaitkan mereka dengan parti baru.

“Jika ada di antara mereka yang betul-betul terlibat, mereka perlu membuat satu ketetapan. Kalau mereka terlibat mereka patut jangan ada apa-apa hubungan lagi dengan UMNO,” katanya.

Baru-baru ini, bekas Timbalan Perdana Menteri yang juga bekas Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mendakwa ramai bekas anggota UMNO ingin menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia tetapi tidak bersedia menyatakan sokongan secara terbuka.

Ahad, 31 Julai 2016

lim-guan-eng-banglo

GEORGE TOWN : Hasrat DAP Pulau Pinang ingin mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) mengejut di negeri ini terpaksa dilupakan kerana tidak mendapat restu PKR.

Ketua Menteri Pulau Pinang berkata keputusan ini diambil berikutan rundingan segera yang dibuat dengan barisan pemimpin parti dan kepimpinan negeri.

Ia diputuskan selepas Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali memaklumkan kepada beliau bahawa kepimpinan PKR tidak bersetuju untuk pilihan raya lebih awal diadakan.

"Berikutan perbezaan pendapat dengan PKR berhubung pilihan raya negeri, DAP tidak akan meneruskan cadangan untuk mengadakan pilihan raya negeri walaupun Amanah (Parti Amanah Negara) telah mempersetujuinya dengan DAP.

"Kami telah menyatakan bahawa DAP tidak akan membuat apa-apa keputusan secara sebelah pihak sebaliknya melalui persetujuan semua parti dalam Pakatan Harapan," kata Guan Eng pada sidang akhbar di pejabatnya di Komtar, Ahad.

Beliau berkata DAP menjunjung tinggi proses perundingan secara kolektif.

"Walaupun dikritik secara tidak adil, kami akan mengotakan janji kami dan menunjukkan sifat amanah sebagai asas ke arah menjalin pakatan yang kuat dalam Pakatan Rakyat," katanya.
rashid-hasnon-tkm1

SEBERANG PERAI : Bukan P. Ramasamy atau Mohd Rashid Hasnon tetapi pengerusi DAP Pulau Pinang, Chow Kon Yeow menjadi pilihan hati Lim Guan Eng untuk menggantikan beliau sebagai Ketua Menteri sekiranya didapati bersalah atas pertuduhan rasuah.

Bagaimanapun menurut Setiausaha Agung DAP itu, semuanya terserah kepada parti untuk membuat keputusan sama ada Chow adalah orang yang paling layak untuk menggantikan beliau.

"Jadi jika apa-apa berlaku kepada saya, saya fikir keputusan muktamad akan diputuskan oleh parti tetapi Chow pasti menjadi pilihan semula jadi saya," kata beliau kepada pemberita selepas menghadiri Hari Terbuka Majlis Perbandaran Seberang Prai di sini pada Sabtu.

Chow selaku Pengerusi jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalu Lintas dan Tebatan Banjir negeri telah disebut-sebut untuk menggantikan Lim sebagai Ketua Menteri jika Lim didapati bersalah atas pertuduhan rasuah.

Sementara itu, Chow yang turut hadir pada majlis itu berkata beliau sentiasa percaya bahawa keputusan itu terserah kepada parti dan pada masa ini, ia masih terlalu awal untuk memutuskan apa-apa mengenainya.

"Kita perlu memberi respon kerana ia mendapat perhatian media, jadi sayarasa ini adalah respon yang kita boleh berikan," katanya.

Sabtu, 30 Julai 2016

muhyiddin-pkr-jelajah-1mdb

SUBANG JAYA : Selepas dipecat dari Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan akan bergabung dan bekerjasama dengan PKR untuk memulakan siri jelajah seluruh negara bagi menjelaskan skandal 1MDB secara mudah kepada orang ramai.

Dalam penampilan dengan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Muhyiddin berkata mereka akan menumpukan usaha di kawasan bandar dan luar bandar.

"Saya kira mungkin isu 1MDB kalau tak diberi penjelasan secara meluas dalam bahasa agak mudah rakyat sampai bila pun tak tau kesan dan impak ke atas negara," kata bekas timbalan perdana menteri itu.

Ditanya kemudian jika kerjasama ini bermakna beliau akan menyertai PKR, Muhyiddin berkata ia bukan satu isu dan beliau akan menyokong inisiatif PKR tanpa mengira parti mana yang disertainya.

Muhyiddin yang dipecat daripada Umno bulan lalu selepas lantang mengkritik Presiden parti Datuk Seri Najib Razak berhubung skandal 1MDB.

Beliau dijangka mengetuai sebuah parti baru, yang terdiri daripada 'pemberontak' Umno termasuk bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali sementara itu berkata Umno mempunyai agenda untuk menipu rakyat Malaysia dalam isu 1MDB.

Beliau berkata penerangan bergerak itu akan bermula tidak lama lagi, walaupun tidak diberitahu secara spesifik pada sidang akhbar hari ini.

Rabu, 20 Julai 2016

wan-azizah-prk-pulau-pinang

PETALING JAYA : Parti Keadilan Rakyat (PKR) masih belum diyakinkan dengan tujuan atau matlamat bagi mengadakan pilihan raya tergempar di Pulau Pinang, Presidennya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata.

Bercakap kepada pemberita selepas mesyuarat mingguan biro politik PKR di ibu pejabat parti itu di sini hari ini, Wan Azizah berkata parti itu bagaimanapun tidak menutup pintu perbincangan.

"Kami belum diyakinkan dengan tujuan atau matlamat untuk mengadakan pilihan raya tergempar.

"Namun, pimpinan Keadilan bersedia untuk meneruskan perbincangan dengan pimpinan parti-parti komponen Pakatan Harapan mengenai isu ini," katanya.

DAP sebelum ini mengakui pilihan raya mengejut di negeri itu adalah satu daripada pilihan kepimpinan kerajaan negeri berkenaan selepas Ketua Menteri, Lim Guan Eng diheret ke mahkamah atas tuduhan rasuah.

Hari ini, media melaporkan Lim bersama rombongan pemimpin DAP akan hadir pada mesyuarat itu bagi memberi taklimat mengenai kemungkinan diadakan pilihan raya mengejut, namun mesyuarat tersebut berlangsung tanpa kehadiran Lim.

Lim, 56, baru-baru ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang terhadap dua pertuduhan rasuah berhubung penukaran zon pertanian kepada zon perumahan serta pembelian lot tanah dan banglo di bawah nilai pasaran.

Sementara itu, Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tidak menolak kemungkinan mesyuarat mengenai pilihan raya tergempar itu diadakan dalam masa terdekat.

"Kami telah bincang dalam mesyuarat tadi. Memang ada cadangan untuk pilihan raya tersebut, tetapi kami perlukan penjelasan daripada kerajaan negeri," katanya yang juga Menteri Besar Selangor dan Anggota Parlimen Gombak. - Bernama