Terkini
Memaparkan catatan dengan label Johor. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Johor. Papar semua catatan

Sabtu, 11 Mac 2017

jais-sarday-rmmj-orang-tengah.png

KLUANG : Pemangku Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Md Jais Sarday menegaskan bahawa pemilikan Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) dan rumah kuota Bumiputera di negeri ini tidak melibatkan orang tengah.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak terpedaya dengan helah pihak tertentu yang menjamin rumah berkenaan jika mendapat sejumlah bayaran.

Jais Sarday yang juga Adun Mahkota, meminta orang ramai melaporkan kepada Polis atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekiranya ada pihak meminta bayaran untuk tujuan itu.

Beliau turut menegaskan bahawa rumah mampu milik ini dibina bertujuan untuk membantu rakyat memiliki rumah sendiri.

Ujarnya, kerajaan Johor telus dalam urusan penjualan rumah RMMJ. Bagaimanapun, tindakan segelintir pihak tidak bertanggungjawab ini memberi imej buruk kepada urus tadbir kerajaan negeri.

Rabu, 8 Mac 2017

Jais-Sarday-Exco-Perumahan

KLUANG : Kerajaan Negeri Johor hari ini dilaporkan merombak semula tiga portfolio Exco kerajaan negeri yang akan berkuatkuasa Ahad ini.

Menurut Menteri Besar, Datuk Seri Khaled Nordin, rombakan itu termasuk jawatan dan tugas Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang disandang Datuk Abd Latif Bandi sebelum ini.

Dalam satu kenyataan, Khaled turut mengumumkan perlantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bagi DUN Mahkota, Kluang, Datuk Md Jais Sarday sebagai Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang baharu.

Untuk memastikan kelancaran urusan kerajaan negeri, portfolio Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi yang disandang ADUN Mahkota itu akan diletakkan di bawah kendalian Datuk Ayub Rahmat .

Memetik laporan MStar, Khaled berkata portfolio Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani , Ismail Mohamed akan diamanahkan portfolio Keusahawanan dan Pembangunan Koperasi.

Dalam pada itu, Kahled turut memaklumkan bahawa penyusunan semula tiga portfolio ini telah mendapat perkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Beliau turut menegaskan bahawa penukaran portfolio Datuk Md Jais Sarday itu adalah tepat dan sesuai berdasarkan pengalamanya yang luas serta kedudukanya sebagai Exco paling kanan dalam pentadbiran kerajaan negeri.

Selasa, 28 Februari 2017

jais-sarday-imcoop

KLUANG : Kerajaan Barisan Nasional (BN) negeri Johor, menerusi Koperasi Iskandar Malaysia Bhd (imCoop) merancang untuk membuka 20 lagi Kedai Harga Patut Muafakat Johor pada tahun 2017.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Md Jais Sarday, berkata lokasi kedai harga patut ini akan tertumpu di sekitar kawasan pembangunan Iskandar Malaysia.

Katanya, Kedai Harga Patut Muafakat Johor dirancang untuk dibuka di lokasi yang mempunyai banyak pejabat kerajaan termasuk di pusat pentadbiran kerajaan negeri di Kota Iskandar dan Wisma Persekutuan di sini.

jais-sarday-imcoop-pelanggan

Jelas beliau lagi, langkah untuk membuka lebih banyak Kedai Harga Patut Muafakat Johor ini sejajar dengan aspirasi kerajaan Johor untuk membantu masyarakat mendapatkan bekalan barangan basah dan asas tani dengan tawaran harga lebih.

Sehingga kini, imCoop sudah membuka lapan cawangan di Johor termasuk Pengerang, Kota Tinggi dan Tenggaroh, Mersing dan dua lagi cawangan di Paroi dan Panchor di Negeri Sembilan sejak ditubuhkan pada 2014.

Md Jais berkata, imCoop adalah gabungan 116 koperasi di bawahnya dan diwakili oleh kira-kira 75,000 anggota koperasi.

Rabu, 19 Oktober 2016

skills-johor-zahid

KOTA TINGGI : Hab Kemahiran Johor, yang dibangunkan untuk meningkatkan bidang latihan teknikal dan vokasional (TVET), dapat memenuhi keperluan pembangunan negeri dan mencapai aspirasi kerajaan Persekutuan untuk melahirkan lebih ramai pekerja mahir.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata jika bakat dan kemahiran anak muda tidak dilatih, beliau bimbang peluang pekerjaan yang ada di negara ini akan hanya diisi pekerja asing.

Sekiranya ini berlaku, katanya ia tidak selari dengan matlamat kerajaan yang sentiasa komited menyediakan peluang pekerjaan untuk rakyat tempatan.

"Jika tenaga kerja tidak dilatih, dikhuatiri majikan mengambil pekerja asing...ia tidak selari dengan matlamat kerajaan untuk menyediakan peluang pekerjaan.

"Perancangan kampus induk Kolej Yayasan Pelajaran Johor (KYPJ) untuk mengambil 20,000 pelajar pada masa akan datang, akan menyumbang tenaga kerja untuk negara," katanya kepada pemberita selepas merasmikan pembangunan Hab Kemahiran Johor di KYPJ di sini, Selasa.

Terdahulu, dalam ucapannya perasmiannya Ahmad Zahid mengumumkan peruntukan RM20 juta untuk membiayai kursus-kursus kemahiran dan vokasional di KYPJ tahun hadapan.

Peruntukan itu selaras dengan komitmen kerajaan Persekutuan yang memberi fokus kepada pendidikan TVET, satu daripada komponen penting dalam Rancangan Malaysia Ke-11.

"Kita memahami kursus-kursus TVET merupakan pendekatan untuk memberi latihan keterampilan bagi guna tenaga dalam pasaran industri yang semakin mencabar," katanya.

Hab Kemahiran Johor atau dikenali sebagai Skills Johor bakal dibina di kawasan seluas 40 hektar berdekatan Kampus Induk KYPJ, dalam usaha kerajaan negeri meningkatkan bidang latihan pendidikan teknikal dan vokasional.

Hab bernilai RM107 juta itu, yang dilengkapi kemudahan asas, berupaya menampung sehingga 20,000 pelatih tempatan dan antarabangsa apabila ia siap sepenuhnya dalam tempoh dua tahun.

Pada majlis itu, Ahmad Zahid juga merasmikan kampus induk KYPJ dan melancarkan Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M).

Ketiga-tiga pembangunan yang dilancarkan itu adalah sebahagian daripada komponen Bandar Akademik Johor dengan kampus induk KYPJ merupakan adalah yang pertama memulakan operasinya awal tahun ini dengan pelajar seramai 2,500 pelajar ketika ini.

Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin. - BERNAMA

Ahad, 16 Oktober 2016

abu-bakar-robot-tempur

KLUANG : Penganjuran pertandingan Robot Tempur Malaysia 2016 di Kluang, Johor baru-baru ini telah berjaya menarik minat orang ramai untuk mengikuti secara dekat tentang dunia sains, teknologi dan inovasi.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah berkata, kecekapan dalam bidang teknologi dan kemampuan mewujudkan teknologi baru adalah sangat penting jika Malaysia mahu mencapai tahap kemajuan ekonomi yang lebih tinggi.

Menurut beliau, selain dapat melonjakkan kemajuan ekonomi negara, melalui kewujudan teknologi baru juga berupaya mengekalkan daya saing ekonomi dalam pasaran dunia.

"Tujuan pertandingan Robot Tempur ini diadakan adalah untuk meningkatkan persepsi positif masyarakat terhadap Sains, Teknologi dan Inovasi kepada pelajar, guru-guru dan ibu bapa agar mereka lebih berkeyakinan memilih bidang ini sebagai kerjaya di masa hadapan."

"Memang menjadi dasar Kerajaan untuk menggalakkan rakyat Malaysia menceburi bidang reka cipta dan inovasi yang masih belum diterokai," katanya ketika menyampaikan ucapan penutup pertandingan Robot Tempur Malaysia 2016 di Kompleks Pekan Rabu, Kluang di sini.

robot-tempur-pekan-rabu-kluang


Pada program berkenaan, para peserta diminta menghasikan sebuah robot tempur secara hands on dengan mengaplikasikan pengetahuan mereka di dalam bidang teknologi tanpa wayar dan juga reka bentuk robot yang meliputi ciri inovasi dan kreativiti.

Penganjuran kali kedua pertandingan robot tempur oleh Pusat Sains Negara dengan kerjasama MyRobotz Enterprise yang berlangsung selama empat (4) hari ini, turut disertai 40 pasukan daripada 31 institusi pengajian tinggi awam dan swasta, politeknik serta Institut Latihan Perindustrian (ILP) seluruh negara.

Sabtu, 3 September 2016

jais-sarday-tunai-janji-rumah

KLUANG : Nasib seorang warga emas (Muallaf) yang tinggal berseorangan dalam keadaan serba daif berubah apabila mendapat kediaman baru yang lebih selesa dan selamat hasil sumbangan dari beberapa agensi kerajaan, NGO dan orang ramai.

Inisiatif untuk membina rumah baru Pn. Adia Mah,  tercetus hasil dari kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, Kluang, YB Datuk Md Jais Sarday ke rumah warga emas berkenaan pada awal Febuari lalu.

"Sebelum ini saya pernah datang bersama Pemuda dan Puteri, bantu mengemas rumah dan kawasan sekelilingnya..Dia tinggal berseorangan serba daif di atas tanah keluarga yang diserahkan kepadanya.

"Oleh itu, saya berazam untuk membina sebuah rumah kecil untuknya," katanya kepada wartawan Kluang Today selepas majlis penyerahan kunci rumah di Kg Paya, Kluang, di sini.

Md Jais Sarday yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Johor berkata, hasil kerjasama dan sumbangan pihak NGO, agensi kerajaan dan dermawan telah berjaya mengumpul sebanyak RM40,000 bagi membina rumah berkenaan.

Menurut beliau, kerja-kerja pembinaan rumah ini telah dimulakan pada awal Mei lalu dan berjaya disiapkan pada akhir Jun 2016.

rumah-aida-ma-jais-sarday

Dalam pada itu, beliau turut menyampai ucapan penghargaan dan terima kasih kepada pergerakan Pemuda dan Puteri Umno Bahagian Kluang, Gerakan Belia 4B Malaysia kawasan Kluang, Majlis Belia Kluang serta Pasaraya Econsave Kluang kerana telah banyak membantu merealisasikan impian bagi membina rumah terebut.

Turut hadir sama pada majlis penyerahan kunci, Saudara Md Nurhalim Md Amin, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kluang, Saudari Hasni Abdullah Ketua Puteri UMNO Bahagian Kluang dan Saudara Raza As’ad Rajab, Pemangku Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang.

Khamis, 1 September 2016

Bajet-Johor-2017-Khaled

JOHOR BAHRU : Rakyat Johor diberi tempoh masa sebulan untuk mengutarakan apa sahaja idea atau pandangan bagi meningkatkan taraf hidup atau penambahbaikkan melalui kaji selidik yang dijalankan kerajaan negeri Johor untuk pembentangan Bajet Johor 2017 pada November depan.

Menteri Besar Johor, Dato Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kaji selidik Bajet Johor 2017 ini dilakukan bagi mendapatkan maklumbalas orang ramai mengenai fokus yang akan diberi perhatian dalam merancang bajet Johor yang akan datang.

Jelas beliau, antara fokus Bajet Johor 2017 termasuklah Mengukuhkan Ekonomi dan Pelaburan, Meningkatkan Kesejahteraan Hidup Rakyat, Strategi Menangani Kos Sara Hidup, Perumahan Untuk Rakyat dan Memperhebat Fokus Keusahawanan.

Selain itu, turut diberi perhatian ialah Memperkukuh Agenda Pembangunan Modal Insan, Menambah Baik Sistem Pengangkutan Awam serta Penyediaan Infrastruktur dan Perkhidmatan Awam, ujar beliau lagi.

Dalam pada itu, Bajet Johor 2017 bakal menekankan inisiatif Kerajaan Negeri ke arah Johor Berkemajuan.

Kaji selidik berkenaan akan dijalankan selama sebulan, mulai 1 hingga 30 September 2016.

Sehubungan itu, orang ramai boleh menyalurkan idea, pandangan dan cadangan menerusi laman web jauhar.my/bajet-johor-2017.

Rabu, 31 Ogos 2016

Khaled-Nordin-Krisis-Air

TANGKAK : Kerajaan negeri hari ini memperuntuk serta-merta sebanyak RM50 juta bagi mengatasi krisis air di daerah Mersing.

Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata sebagai permulaan, kerajaan negeri memutuskan untuk membuat saluran perpindahan air sejauh 30 kilometer bagi membantu Loji Air Tenglu di Sungai Lenggor.

"Diharap ia mampu menyelesaikan masalah air di Mersing dan juga kawasan sekitarnya," katanya kepada pemberita pada majlis sambutan Hari Kebangsaan Ke-59 peringkat negeri di sini hari ini.

Beliau berkata kerajaan negeri memandang serius isu dan cabaran air bagi mencari penyelesaian dalam masa jangka pendek dan panjang.

Mohamed Khaled berkata oleh kerana masalah berkenaan tidak boleh dibiarkan berlarutan, kerajaan negeri mendahulukan peruntukan sendiri sebelum menerima dana daripada kerajaan persekutuan bagi menyelesaikan cabaran dan isu air dalam jangka masa panjang untuk seluruh negeri Johor. - Bernama

Jumaat, 12 Ogos 2016

You-Can-Duit-eRezeki

JOHOR BAHRU : Usaha murni Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) menarik minat kelompok usahawan dan belia negara ini menjana pendapatan melalui platform digital menerusi kempen #YouCanDuit sekali lagi terbukti berjaya apabila Johor menjadi destinasi ketiga pelancaran kempen berkenaan selepas Terengganu dan Sarawak.

Ketua Pegawai Operasi MDEC, Dato' Ng Wan Peng berkata, pelancaran kempen di Johor kali ini adalah untuk memberi pendedahan kepada masyarakat di sini mengenai hasrat Kerajaan untuk merakyatkan ekonomi digital menerusi program #YouCanDuit.

Beliau turut menggalakkan rakyat Malaysia menyertai program seperti ini kerana matlamat utamanya adalah untuk mengubah dan meningkatkan taraf ekonomi individu selain menjana pendapatan menerusi medium digital.

"Satu kerugian yang amat besar sekiranya rakyat Malaysia tidak mengambil peluang dan menggunakan sepenuhnya kecanggihan dan kemajuan teknologi maklumat (IT) hari ini untuk menjana pendapatan sekaligus mengubah taraf hidup.

"Menerusi kempen ini, MDEC mahu mendekati kumpulan B40, pelajar TVET serta usahawan mikro dan kami mahu mereka terbabit dengan usaha dalam talian dan mengambil peluang yang ada kerana #YouCanDuit," katanya kepada pemberita selepas majilis pelancaran Hari Inovasi Digital Johor, di Persada Johor International Convention Centre, di sini.

You-Can-Duit-eUsahawan

Kempen #YouCanDuit yang dilancarkan pada Mac lalu menerusi program eRezeki dan eUsahawan telah berajaya melahirkan ramai pekerja dan usahawan digital dalam masa yang singkat  dengan kadar pendapatan purata RM3,000 hingga RM4,000 sebulan.

Salah seorang perserta kempen #YouCanDuit, Siti Nurain Adnan 21, mengakui dengan menyertai program eRezeki di bawah kelolaan MDEC ini telah mengubah hidupnya menjadi seorang pekerja digital dengan pendapatan lumayan.

Menurut seorang lagi perserta, Roslee Abd Rashid, 52, yang kini mengusahakan perniagaan berasaskan makanan turut berkongsi pendapat yang sama.

Jelas beliau, selain dari mempelajari perkara baru tentang dunia digital, menerusi program eUsahawan ini juga turut membantu mengembangkan lagi perniagaan yang diusahakanya sekarang.

You-Can-Duit-Johor

Majlis perasmian Inovasi Digital Johor 2016 telah disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Khaled Nordin. Turut hadir sama dalam upacara tersebut ialah Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Johor, Datuk Md Jais Sarday.

Ahad, 31 Julai 2016

murid-sekolah-agama-johor

TANGKAK : Umat Islam di Johor diminta bersyukur kerana kerajaan negeri sentiasa prihatin dan peka terhadap pendidikan agama Islam dengan wujudnya Sekolah Agama Kerajaan Johor (SAKJ) sebagai termaktub dalam Undang-Undang Tubuh Negeri Johor.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendidikan Islam, Jabatan Agama Islam Johor, Nasir Amir berkata, mengikut undang-undang itu, setiap ibu bapa atau penjaga hendaklah menghantar anak-anak mereka ke sekolah bagi mendapat pendidikan agama Islam.

"Jika mereka (ibu bapa atau penjaga) tidak menghantar anak-anak ke sekolah, ia menjadi satu kesalahan dan mereka boleh dikenakan denda.

"Kita di Johor beruntung kerana kerajaan negeri mengambil alih sistem pendidikan agama sejak tahun 1895 menerusi pembelajaran di sekolah-sekolah agama," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Sambutan Aidilfitri Perdana Guru-guru SAKJ, Mesyuarat Agung Persatuan Guru Agama Johor (Persaga) Daerah Tangkak dan Penyampaian Cek Bantuan Pengurusan Badan Kebajikan Sekolah Agama (BKSA) Peringkat Daerah Tangkak 2016, di sini hari ini.

Majlis tersebut dirasmikan Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Ir Hamim Samuri dan turut dihadiri Pegawai Pendidikan Islam Daerah Tangkak, Sulaiman Aziz.

Nasir berkata, rakyat Johor perlu menggunakan sepenuhnya kemudahan SAKJ kerana SAKJ dibiayai oleh kerajaan negeri.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga prihatin apabila memberikan bantuan tahunan sebanyak  RM5,000 kepada setiap BKSA di negeri ini untuk pengurusan badan tersebut.

Sementara itu, Hamim yang juga Ahli Parlimen Ledang berkata tanggungjawab sebagai guru agama merupakan tugas berat yang bukan sekadar melahirkan pelajar lulus cemerlang dalam peperiksaan bahkan lebih daripada itu.

Beliau berkata warga pendidik sekolah agama perlu memperluaskan tanggungjawab dalam menyebarkan pendidikan agama bukan sahaja kepada anak murid tetapi meliputi masyarakat setempat menerusi aktiviti keagamaan.

"Kita bersyukur, kerajaan negeri mengambil berat tentang prestasi SAKJ bukan setakat membina sekolah agama baharu dan canggih, namun, turut memberikan sumbangan kewangan kepada setiap badan kebajikan dan tambahan elaun kepada guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (Kafa)," katanya. - Bernama

Sabtu, 30 Julai 2016

rumah-mampu-milik-johor

JOHOR BAHARU : Kerajaan negeri telah menyediakan peruntukan sebanyak RM150 juta bagi membeli dan mengambil alih tanah yang sesuai untuk membangunkan projek rumah mampu milik Johor (RMMJ) dalam usahanya memastikan keperluan rakyat terus terpelihara.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Datuk Abd Latif Bandi berkata kerajaan negeri sudah mengenal pasti dan memilih lokasi sesuai yang mana harga pasaran tidak terlalu tinggi seperti di Muar untuk dibangunkan RMMJ.

Menurutnya, sebanyak 11,000 unit RMMJ telah siap dibina manakala 30,000 ribu unit lagi masih dalam pembinaan.

Abd Latif berkata kerajaan negeri menyasarkan sebanyak 60,000 unit dibina menjelang tahun 2020.

"Kerajaan negeri komited dalam membantu rakyat terutama untuk pembeli rumah pertama selain membantu mereka untuk mendapatkan pinjaman untuk pembelian rumah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pameran Hartanah MyRumah di Komtar JBCC, di sini.

Beliau berkata selain membantu membina RMMJ, kerajaan negeri juga bekerjasama dengan bank tempatan bagi menyediakan skim pinjaman perumahan untuk kemudahan rakyat.

Sementara itu, Abd Latif berkata pameran hartanah seumpama ini juga membantu orang ramai untuk melihat tawaran pembelian rumah yang disediakan.

Pameran hartanah yang berlangsung di Komtar JBCC selama tiga hari bermula hari ini akan berakhir pada 31 Julai ini - Bernama

Sabtu, 16 Julai 2016

jais-sarday-raya-1

KLUANG : Kira-kira 10,000 tetamu mengunjungi rumah terbuka Aidilfitri Besar, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Johor, YB Datuk Md Jais Sarday, di kediaman beliau yang terletak di Kampung Sri Tengah, Kluang di sini, hari ini.

Majlis yang dijadual berlangsung jam 11 pagi hingga 4 petang itu dimeriahkan oleh pengunjung yang terdiri dari pelbagai latar belakang dan kaum dengan semangat 1 Malaysia.

Turut kelihatan hadir pada majlis tersebut ialah pemimpin-pemimpin masyarakat sekitar Kluang dan beberapa orang kenamaan lain.

Tetamu yang hadir juga turut dihiburkan dengan persembahan kumpulan buskers tempatan sambil menjamu selera.

jais-sarday-raya-7

Pada majlis itu, Jais Sarday yang juga ADUN Mahkota turut meraikan hari ulang tahun kelahirannya yang ke-49 bersama tetamu yang hadir.

Selain sesi bergambar dan beramah mesra, beliau juga turut menyampaikan sumbangan Aidilfitri berberupa duit raya kepada tetamu yang hadir.

Khamis, 14 Julai 2016

saj-sungai-johor

ISKANDAR PUTERI : Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati menyebabkan berlakunya pencemaran ammonia yang dikesan di Sungai Johor, Kota Tinggi.

Menteri Besar Johor, Datuk Seri Khaled Nordin menegaskan bahawa pihaknya tidak akan berkompromi dengan perbuatan tersebut sehingga menyebabkan kualiti air mentah sungai berkenaan merosot sehingga menjejaskan 120,000 pengguna.

Menerusi status di laman Facebook miliknya, beliau meminta rakyat negeri Johor yang terjejas dengan masalah pencemaran ini agar dapat bersabar dan memahami situasi yang sedang berlaku.

Jelasnya lagi, pihak SAJ (Syarikat Air Johor Holdings Sdn Bhd) sedang berusaha mengatasi perkara ini secepat mungkin bagu mengurangkan kerumitan kepada penduduk yang terjejas.

Dalam satu kenyataan berasingan, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Ban­dar dan Wilayah negeri, Datuk Ir. Hasni Mohammad berkata, susulan itu, operasi di tiga Loji Rawatan Air (LRA) Semangar, Sungai Johor dan Tai Hong diberhentikan buat sementara waktu.

Menurutnya, langkah itu perlu diambil kerana SAJ Holdings (SAJ) tidak mahu air yang tidak memenuhi piawaian disalurkan kepada pengguna.

Namun, katanya, hasil daripada langkah segera diambil SAJ dan Badan Kawal Selia Air Johor (Bakaj), dua LRA iaitu Semangar dan Sungai Johor sudah dapat memulakan operasi secara berperingkat-peringkat bermula awal pagi semalam.

Rabu, 15 Jun 2016

polis-kluang-today-1

KLUANG : Polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Kluang berjaya memberkas seorang lelaki warga tempatan dipercayai pengedar dadah dalam satu serbuan di sebuah rumah di Simpang Renggam baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Kluang, YDH ACP Haji Mohamad Bin Haji Laham berkata, kejayaan sehingga tertangkapnya penjenayah tersebut hasil dari risikan dan maklumat orang awam.

"Dalam serbuan yang dilakukan, selain berjaya menangkap suspek, pihak polis turut merampas beberapa buah kenderaan serta barang kemas. Nilai kesemua barang yang dirampas dianggarkan bernilai RM 500,736.00," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang  di sini.

Tambah beliau, suspek ditahan di bawah Seksyen 3(1) Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985. Barang rampasan turut disita di bawah Seksyen 4 Akta Dadah Berbahaya (Perlucuthakkan Harta) 1988.

polis-kluang-today-2

Dalam serbuan berasingan sempena bulan Ramadan, pihak Polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ), telah menahan seorang lelaki ketika sedang menjual mercun tanpa permit.

"Pihak berkuasa hanya mengeluarkan permit sementara untuk penjualan mercun jenis bunga api dan 'pop-pop' sahaja,"

"Sekiranya terdapat peniaga menjual selain dari dua barang ini, ia dikira telah melakukan kesalahan dan boleh didakwa di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957, yang mana jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara 7 tahun atau denda RM 10,000 atau kedua-duanya," ujarnya.

Dalam sidang media yang sama, ACP Mohamad turut memberitahu bahawa pihak Polis juga berjaya menyelesaikan satu kes samun bersenjata yang berlaku di Jalan Ulu Benut, Simpang Renggam.

Menurut beliau, kejadian samun yang berlaku pada awal pagi itu melibatkan mangsa seorang lelaki berbangsa Cina telah ditinggalkan di tepi jalan dan kenderaan miliknya telah dilarikan oleh dua orang suspek.

Katanya, kedua-dua suspek berjaya diberkas selepas kereta jenis Toyota Altis yang dipandu suspek bertidak berpatah balik berhampiran sekatan jalan raya di kilometer 83 Jalan Benut-Simpang Renggam sebelum terbabas dalam satu adegan kejar mengejar.

Jelas beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua puluh tahun serta sebatan.

Kedua-dua suspek kini direman bagi membantu siasatan kes-kes lain.

Beliau turut menyarankan agar orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian-kejadian jenayah atau pengedaran dadah hendaklah segera malaporkan kepada pihak Polis IPD Kluang dengan menghubungi talian hotline 07-7766822 atau 07-7784222 atau melalui rakan cop yang berdaftar.

Isnin, 6 Jun 2016

gempak-mufors-kluang

KLUANG : Golongan remaja dan belia hari ini disaran supaya lebih kerap menyertai program-program berbentuk motivasi bagi memupuk kesedaran dan kepentingan menjaga keselamatan diri termasuk ketika berada di jalan raya.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Dato' Mahamad Akhir Bin Darus dalam satu kenyataan berkata, pihak Polis dan agensi-agensi yang terlibat amat mengalu-alukan penglibatan golongan remaja dan belia dalam program seumpama ini.

Menurut beliau, program seperti Gempak MUFORS sangat baik untuk golongan belia kerana ia dapat membentuk sikap bertanggungjawab semasa berada di jalan raya serta prihatin terhadap pengguna jalan raya yang lain.

"Menerusi program sebegini, impak besarnya adalah semua peserta akan dijadikan mata dan telinga kepada Jabatan Trafik melalui platform Rakan Trafik.

"Selain menjadi ejen atau duta keselamatan jalan raya, ia juga dapat mengurangkan kadar kemalangan di jalan raya menerusi langkah-langkah positif yang disemai ke dalam diri peserta," katanya ketika berucap di Majlis Penutup Program Gempak MUFORS di Dewan Orang Ramai Felda Ulu Belitong, di sini.

gempak-mufors-4

Program Gempak MUFORS yang berlangsung selama empat hari itu turut melibatkan seramai 256 peserta yang terdiri dari golongan belia dan ditaja sepenuhnya oleh PLUS Malaysia Berhad.

Sejak dimulakan pada penghujung 2011, program ini telah berjaya menarik penyertaan lebih 1,000 peserta dari kalangan belia dan remaja bermotosikal dalam lingkungan umur 16 hingga 25 tahun.

Peserta yang terlibat di dalam program ini turut diberi pendedahan mengenai aspek penting keselamatan jalan raya serta diajar teknik asas pemanduan motosikal seperti pengendalian, keseimbangan, kelajuan, teknik membrek dan banyak lagi oleh pakar-pakar keselamatan jalan raya.

Turut hadir sama pada majlis berkenaan ialah Timbalan Pengerusi BN Parlimen Sembrong, Dato' Abd. Ghani Bin Abd. Rashid, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Sembrong, En. Mohd Nizam Bin Ismail, Ketua Komunikasi Korporat PLUS Malaysia Bhd., YDH ACP Haji Mohamd Bin Haji Laham, Ketua Polis Daerah Kluang dan Tuan Haji Shaharudin Basri Bin Haji Ibrahim, Pegawai Pendidikan Daerah Kluang.

Khamis, 26 Mei 2016

Jais-Sarday-Aim-2

KLUANG : Penyertaan bumiputera dalam dunia perniagaan hari ini dilihat semakin memberangsangkan. Perkembangan ini sudah tentunya  didorong oleh sikap mereka yang mahu berubah serta sokongan penuh dari kerajaan sedia ada.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Johor, Md Jais Sarday berkata melalui bidang perniagaan para usahawan dapat mempelajari banyak perkara tentang bisnes serta cabaran-cabaran yang bakal ditempuhi  apabila menceburi bidang ini.

Menurut beliau, untuk berjaya dalam dunia bisnes ia tidak akan berlaku dalam sekelip mata kerana ia perlu bermula dari bawah.

"Kita tidak boleh menunggang basikal dengan hanya membaca buku tentang cara-cara menunggang basikal. Kita hanya boleh tahu menunggang apabila kita sendiri belajar untuk menunggang secara praktikalnya.

"Begitu juga halnya dengan bisnes. Membaca buku dan menghadiri kelas adalah bagus bagi mendapatkan idea-idea baru tetapi sama seperti belajar menunggang basikal, belajar bisnes adalah satu proses praktikal." Ujar beliau ketika berucap pada program Malam Anugerah Amanah Ikhtiar Malaysia, di sini.

Beliau yang juga Adun Mahkota berkata, cabaran serta rintangan seperti gagal dalam perniagaan adalah perkara lumrah yang perlu dihadapi setiap usahawan.

Tambahnya lagi, kekuatan mental dan fizikal serta ilmu perniagaan adalah elemen penting yang perlu ada pada  setiap usahawan agar dapat bangkit semula dari kegagalan dan terus berusaha untuk mencapai apa jua yang diinginkan.

Beliau turut mengingatkan usahawan bumiputera yang melibatkan diri dalam bisnes agar tidak terlalu mengejar keuntungan dan kepentingan diri semata-mata. Sebaliknya, beliau menyarankan setiap usahawan yang terjun ke bidang ini menetapkan niat utama mereka iaitu untuk memberi manfaat kepada orang lain.

Dalam pada masa yang sama juga, beliau turut mengajak golongan usahawan agar sentiasa berfikiran terbuka dalam menerima idea-idea baru dan mengkaji  semula setiap kemahiran yang ada serta mengenal pasti potensi baru yang ada pada diri masing-masing.

Rabu, 25 Mei 2016

jais-sarday-pendidikan-islam.png

JOHOR BAHRU : Pendidikan merupakan wadah utama dalam menentukan perkembangan kemajuan dan kemakmuran sesebuah negara. Pendidikan juga menjadi peneraju dalam membangunkan modal insan yang berpengetahuan, berkemahiran dan berkeperibadian mulia.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Johor, Yb. Tuan Hj. Md Jais Sarday berkata demikian ketika menyampaikan amanatnya kepada para guru yang hadir di majlis Konvensyen Kebangsaan Guru Pendidikan Islam 2016 di Pusat Islam Iskandar baru-baru ini.

Dalam ucapannya, beliau mengajak warga pendidik merenung kembali sejarah kegemilangan dan keagungan kerajaan Islam dahulu di mana pada masa itu soal pendidikan dan kepentingan menimba ilmu menjadi keutamaan.

Menurut beliau, sejarah telah membuktikan melalui sistem pendidikan yang sempurna ia mampu membina sebuah tamadun manusia yang berjaya dan disamping itu juga ia dapat menjamin keutuhan sesuatu empayar.

Beliau turut memberi satu contoh sebuah kerajaan Islam iaitu kerajaan Abbasiyyah yang mana pada zaman kegemilanganya banyak melahirkan tokoh-tokoh tersohor yang berjaya menguasai pelbagai cabang ilmu seperti Imam Malik, Iman Shafie, Imam Ahmad ibn Hanbal dan Imam Hanafi.

Beliau juga menekankan kepada warga pendidik supaya tidak mudah berputus asa dan terus fokus dengan peranan masing-masing walau hebat macam mana sekalipun cabaran dan tekanan yang dihadapi hari ini.

"Sebagai warga pendidik kita perlu sentiasa memikirkan tentang cara dan bagaimana hendak membangunkan bangsa. Bukan untuk diri sendiri tetapi demi agama, bangsa dan juga tanah air.

Siapalah yang dapat menafikan bahawa sesungguhnya tunjang utama dalam kemajuan pendidikan tidak lain dan tidak bukan adalah guru?" tanya beliau kepada hadirin.

Dalam pada masa yang sama, beliau turut menyeru agar warga pendidik sentiasa bersedia menyerap sebarang perubahan atau transformasi pendidikan supaya dapat diterjemah semasa proses pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah.

Beliau juga tidak menafikan dengan perkembangan serta kecanggihan teknologi hari ini, dunia semakin tiada sempadan di mana semua orang mudah mendapatkan maklumat dengan hanya di hujung jari.

Katanya, masyarakat hari ini lebih gemar mendapatkan sumber rujukan dari laman sesawang dan sumber internet yang lain kerana ia lebih mudah dan pantas. Namun, apa yang dikhuatiri ialah kesahihan sumber tersebut dan lebih membimbangkan jika ia melanggar syariat agama.

Jelas beliau lagi, keadaan ini perlu dikawal sejak dari awal usia persekolahan lagi agar pemikiran anak bangsa hari ini tidak terpesong jauh dalam arus kemodenan dari nilai-nilai murni kehidupan.

"Oleh itu, kita sangat memerlukan komitmen padu daripada semua guru untuk membangunkan anak bangsa ini. Agar mereka menjadi generasi pewaris Negara yang mempunyai jati diri.

Generasi Muslim yang sedang kita bina ini, diharap boleh menjadi insan yang berketrampilan dengan akhlak dan pekerti termulia, lengkap dengan ilmu yang luas", ujarnya.

Di akhir ucapanya, Tuan Hj. Jais Sarday yang juga Adun Mahkota, Kluang turut menzahirkan harapan beliau kepada warga pendidik agar terus melaksanakan amanah yang diberi dengan penuh dedikasi, bertunjangkan integriti dan berlandaskan etika perkhidmatan.

Khamis, 12 Mei 2016

catuan-air-johor
JOHOR BAHRU : Bekalan air berjadual melibatkan 85,000 pengguna di sebahagian kawasan Kota Tinggi dan Mersing yang sepatutnya berakhir 15 Mei ini, bakal dilanjutkan sebulan lagi memandangkan paras air di loji air dan beberapa empangan berkaitan terus merosot.    

Exco Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Johor, Datuk Hasni Mohammad berkata paras air di Empangan Congok di Mersing umpamanya dijangka hanya mampu bertahan selama dua minggu sahaja jika hujan tidak turun di kawasan empangan itu.   

"Kita jangka mungkin bekalan air berjadual di kawasan Mersing dan Kota Tinggi mungkin diperluaskan kawasan catuan sekiranya keadaan ini berterusan," kata beliau kepada pemberita di sini hari ini.   

Paras Empangan Congok masa kini berada pada 3.9 meter berbanding 4.22 meter pada 3 Mei lepas, dan berkurangan dari tahap kritikal iaitu 4.5 meter.    

Selain itu, jadual bekalan air berjadual akan dimulakan akhir bulan ini melibatkan sebahagian kawasan Johor Baharu dan Pasir Gudang iaitu merangkumi 800,000 pengguna, kata Hasni.

Beliau berkata Empangan Upper Layang, yang membekalkan air kepada pengguna di kawasan Johor Baharu dan Pasir Gudang, juga turut merosot kepada paras 19.25 meter berbanding 19.55 meter pada 3 Mei lepas, dan berkurangan dari tahap kritikal iaitu 23.5 meter.    

Meskipun operasi pembenihan awan dilakukan sejak April menghasilkan hujan setiap hari di beberapa kawasan di negeri ini, ia tidak turun di kawasan empangan yang memerlukan.   

"Justeru itu, kita akan meningkatkan operasi pembenihan awan dan mungkin akan meminta kerjasama pihak penerbangan swasta untuk meningkatkan kekerapan operasi aktiviti tersebut," kata Hasni. - Bernama

Isnin, 25 April 2016

jais-sarday-imcoop-outlet

ISKANDAR PUTERI : Kedai Harga Patut Koperasi Iskandar Malaysia Berhad (imCoop) menyasarkan untuk membuka 150 kedai harga patut dalam tempoh tiga tahun, dengan 70 daripadanya ingin direalisasikan tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri Md Jais Sarday berkata setakat ini imCoop mempunyai tujuh rangkaian iaitu lima di Johor dan dua di Negeri Sembilan.

Dalam jangka masa terdekat, tujuh lagi rangkaian baharu akan dibuka di Tenggaroh, Taman Pelangi Indah, Taman Daya, Taman Cendana, Taman Bayu Puteri, Gelang Patah, Pontian dan Kulai Besar – kesemuanya di Johor bagi melengkapi jumlah sedia ada.

“Sasaran pembukaan 70 kedai pada tahun ini dan 150 kedai dalam jangka masa tiga tahun adalah satu usaha yang perlu dilaksanakan bagi memenuhi keperluan hidup rakyat mendapatkkan barangan pada harga patut terutama mereka yang berpendapatan isi rumah RM4,000 ke bawah,” katanya ketika sesi penggulungan hari terakhir Persidangan Dewan Negeri Johor ke-13 di sini, semalam.

Md Jais berkata bagi mendukung usaha pembukaan itu, imCoop sentiasa mengalakkan koperasi lain agar terlibat sebagai sebahagian daripada pelabur aktif, seperti yang dilakukan Koperasi Peserta Rancangan Felcra Batu 3 1/2 Kluang Berhad yang memilki sebuah rangkaian di Paloh.

“Untuk menarik minat pelabur dan membuka kedai ini, imCoop juga menawarkan beberapa pilihan antaranya koperasi yang mempunyai kedudukan kewangan kukuh digalakkan membuka outlet baharu atau mengambil alih kedai imcoop sedia ada,” katanya.

Bagi koperasi yang berminat tetapi mempunyai kekangan kewangan, imCoop akan membantu mendapatkan akses pembiayaan kewangan dan perancangan bersama-sama SME Bank serta Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) sedang diadakan bagi tujuan itu, selain memperkenalkan konsep “Bina, Kendali dan Tukar” bagi menarik minat koperasi melabur, katanya.

Menurut Md Jais, imCoop juga membuka peluang perniagaan kepada usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) untuk memasarkan barangan yang menepati syarat di rangkaian kedai imCoop.

“Produk itu mesti halal, bersesuaian dengan kehendak semasa pelanggan serta menepati kriteria yang ditetapkan,” katanya.

Setakat ini, sebanyak 27 pengusaha IKS menempatkan barangan dan produk mereka di rangkaian imCoop, sekali gus menjadi ia koperasi pertama yang berjaya memperluaskan pasaran produk keluaran IKS.

BERNAMA

Ahad, 24 April 2016

khaled-johor-corp

ISKANDAR PUTERI : "Dakwaan pembangkang baru-baru ini yang kononnya Johor Corporation (JCorp) tidak mampu membayar hutang ekoran nisbah hutang yang tinggi adalah salah dan tidak benar," kata Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Beliau, yang juga Pengerusi JCorp berkata pembangkang gagal mengambil kira perkara terbabit secara konslusif dan prestasi sebenar kewangan JCorp secara keseluruhan.

"Dan penting untuk saya tegaskan bahawa sejak 2012 sehingga kini, JCorp sentiasa berjaya memastikan sebarang obligasi hutangnya dipatuhi dengan baik mengikut jadual yang ditetapkan," katanya di sesi penggulungan pada hari terakhir Persidangan Keempat Dewan Negeri Johor yang ke-13 di sini.

Mohamed Khaled berkata, nisbah hutang atau liabiliti semasa JCorp yang dikatakan mencecah 77 peratus berbanding aset semasa ketika ini adalah bukan petunjuk terbaik bagi menilai prestasi dan kedudukan kewangan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) itu.

"Ini kerana nisbah itu tidak mengambil kira kedudukan aset bukan semasa JCorp yang keseluruhannya mencecah RM5.8 bilion.

"Jika jumlah aset keseluruhan ini diambil kira, maka pastilah bacaan nisbah hutang atau liabiliti ke atas aset keseluruhan JCorp akan menjadi positif, malah ia akan mencatatkan lebihan jumlah aset bersih sebanyak RM1.52 bilion dan jumlah ini pun masih belum lagi mengambil kira harga pasaran pelaburan-pelaburan JCorp dalam anak syarikat yang tersenarai seperti Kulim dan KPJ Healthcare Bhd," katanya.

Menjawab dakwaan lain berhubung JCorp gagal memberi balik pulangan kepada kerajaan negeri mengikut Pekeliling Perbendaharaan, Mohamed Khaled menyifatkan ia sebagai satu lagi tuduhan melulu.

Beliau berkata, pulangan yang diberikan kepada kerajaan negeri selama ini bukan sahaja dalam bentuk kewangan malah turut merangkumi pelbagai bayaran lain yang dilaksanakan bukan secara tunai.

"Ini termasuk membantu pengoperasian klinik dan hospital Waqaf An-Nur yang sehingga kini telah merawat 1.1 juta orang tanpa mengira bangsa dan agama dengan rangkaian sebanyak 22 klinik wakaf di seluruh negara dan sebuah hospital Wakaf An-Nur di Pasir Gudang," katanya. - Bernama