Terkini

Ahad, 28 Julai 2013

Tempat Lepak Jadi Sasaran Serangan Bom

tempat-lepak-dibom-iraq

Baghdad: Pemuda pemudi Iraq sering menghabiskan masa selepas berbuka di kafe pada Ramadan tahun ini tetapi tempat itu semakin dijauhi kerana menjadi sasaran serangan bom.

Awal bulan ini, sembilan maut dan 35 lagi cedera selepas sebuah kafe dibom manakala satu lagi serangan di Mosul, utara Iraq, menyebabkan enam terbunuh dan 21 cedera.
Serangan terburuk berlaku di Kirkuk apabila penyerang bunuh diri meletupkan bom di sebuah kafe penuh sesak dengan pengunjung menyebabkan 41 maut dan 35 cedera.

“Ramai berada dalam kafe apabila seorang lelaki gemuk masuk dan semuanya musnah sekelip mata,” kata Ahmed al-Bayati yang cedera di kakinya.

Warga Baghdad, Amer Issam biasanya bertemu dengan kawan-kawan di sebuah kafe selepas berbuka sejak beberapa tahun lalu.

Bagaimanapun, dia tidak lagi berbuat demikian tahun ini kerana khuatir tidak selamat.

“Saya tidak mahu gambar saya diedarkan di Facebook oleh rakan,” katanya, merujuk kepada perkongsian foto pemuda pemudi yang maut di kafe di laman web media sosial.

Penduduk Iraq biasanya akan berkumpul di kafe pada waktu malam selepas berbuka puasa untuk minum teh, menghisap shisha atau bermain Mheibis, permainan membabitkan dua kumpulan mencari cincin yang disembunyikan.

Ada juga yang pergi ke kafe untuk menonton perlawanan bola sepak kerana bekalan elektrik tiada di rumah atau tidak ada saluran kabel.

Perniagaan merosot

Tetapi, serangan bom di kafe popular menyebabkan ramai penduduk tidak keluar rumah.

“Perniagaan kami menurun 50 hingga 60 peratus berbanding Ramadan tahun lalu,” kata pemilik sebuah kafe di Baghdad, Anwar Mohammed.

“Orang yang biasa datang ke sini untuk makan dan melepak kini membuat pesanan dari rumah kerana takut lepak di sini,” katanya.

Ali Adnan yang tinggal di Dura, kawasan selatan Baghdad, juga mengakui semakin kurang yang bertemu rakan di kafe.

“Saya pergi ke sebuah kafe di Baghdad dan mendapati hanya ada empat orang,” katanya.

Ketika menunggu rakan, empat pelanggan berkenaan keluar dari kafe menyebabkan dia juga keluar dari situ. - AFP
« PREV
NEXT »

Tiada ulasan

Catat Ulasan

KLUANG TODAY tidak akan bertanggungjawab terhadap segala komentar yang diutarakan melalui ruangan komen di sini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.