Terkini

Selasa, 23 Oktober 2012

Mawi Buat Filem Tentang Felda

Siapa yang tak kenal Asmawi Ani, atau lebih popular dengan nama Mawi yang pernah mencipta fenomena seni tanahair selepas berjaya menjuarai sebuah program TV berdasarkan undian orang ramai Akademi Fantasia 3.

Kini dengan kehidupan yang  lebih stabil dan teratur, dia semakin matang dan tenang menangani media dan publisiti, berbanding di awal pembabitannya. Pada usia 31,  Mawi mendedahkan sudah sampai masanya untuk melaksanakan cita-citanya sebagai anak jati Felda yang berjaya. Beliau mahu membuat filem tentang Felda.

Bagi suami kepada pelakon Nora’Asikin Rahmat atau Ekin ini, selepas hampir sepuluh tahun bergelar anak seni, sekarang merupakan waktu yang sesuai untuk fasa yang berikutnya dalam hidup beliau iaitu masa untuk mengejar impian.

"Saya selama ini bercita-cita mahu buat sebuah filem tentang Felda. Saya percaya ia boleh jadi filem yang menarik yang boleh dibanggakan oleh anak jati Felda macam saya," kata Mawi sewaktu ditemui Agendadaily.

Menurutnya, beliau berharap rancangan untuk membuat filem Felda ini akan mendapat restu dari pemimpin nombor satu negara, iaitu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. Dia juga bercadang untuk menemui Perdana Menteri bagi tujuan tersebut.

Ayah kepada bayi perempuan berusia lapan bulan, Cahaya Malaika itu, Mawi merasakan sebagai generasi kedua Felda, dia sangat bertuah kerana menjadi sebahagian dari keluarga Felda.

Jelas beliau, lahir sebagai anak peneroka Felda, projek membasmi kemiskinan dan meningkatkan jurang pendapatan dengan membuka tanah-tanah rancangan di luar bandar hasil inisiatif Tun Abdul Razak itu menghasilkan kejayaan yang sangat luarbiasa.

"Sebagai anak Felda, saya sangat bersyukur dan gembira kerana saya lahir dari keluarga Felda. Banyak manfaat yang kami perolehi dan sebagai membalas jasa, saya rasa adalah wajar untuk saya mengusahakan filem ini," ujar anak jati Felda Taib Andak Kulai Johor ini.

"Setakat ini semuanya masih dalam perancangan. Saya masih lagi perlu mencari pengisian, iaitu isi cerita dalam Felda yang boleh menarik orang ramai datang ke panggung," katanya.

Menurut Mawi, dia sudah menonton filem sejarah Felda, "Bilut" yang diarah oleh Badaruddin Haji Azmi pada tahun 2006 dan menganggap ia sebagai sebuah filem yang baik.

"Saya suka filem itu dan saya rasa ia sebuah filem yang bagus. Cuma sayangnya stigma sejarah yang ditekankan itu telah membuat orang anggap ia filem sejarah. Ini yang saya mahu elakkan bila saya buat filem itu kelak. Bagaimana, itu cabaran besar saya," ujarnya.

Ditanya peranannya sendiri, sama ada akan turut  berlakon atau sekadar menjadi pengarah, Mawi hanya tersenyum sambil menjawab, "Insyaallah. Buat masa ini saya lebih banyak terlibat dalam penerbitan dan kerja-kerja arahan," kata Mawi.

Beliau sendiri pernah mengarah dua drama untuk Astro, iaitu "Pak Nil Ibu Kirim Salam (siaran hari raya dua tahun lepas) dan 'Siapa Dapat Lisa' (siar raya tahun ini).

Cita-cita untuk menghasilkan filem Felda ini mungkin akan menjadi kenyataan tidak lama lagi kerana kata Mawi, dia mahu filem tersebut menemui lebih 365,000 peneroka seluruh negara yang ada sebelum Pilihanraya Umum ke 13.

"Saya hanya berharap  pilihanraya tidak berlaku dalam masa terdekat ini. Jika  boleh biarlah saya sempat  keluar filem itu terlebih dulu," ujarnya sambil menyifatkan pilihanraya akan datang ada keistimewaan tersendiri untuknya.

Ini kerana, selain mahu menghasilkan filem sebelum detik penting itu, Mawi juga untuk pertama kalinya akan menjalankan  kewajibannya sebagai rakyat Malaysia.

Buat pertama kali dalam hidupnya, Mawi akan keluar mengundi.

"Ini satu lagi hasrat saya, iaitu untuk keluar mengundi. Arwah ayah saya sudah mendaftarkan saya di Kulai, Johor  dan dia pernah pesan agar saya mesti mengundi dan kali ini saya akan laksanakan amanat itu. Insyaallah," katanya penuh yakin.

"Tapi sekarang, sementara menunggu detik itu, saya kena persiapkan diri dengan kertas kerja bagi filem Felda, iaitu skrip dan rangka cerita untuk saya bentangkan kepada Perdana Menteri. Semoga semua ini dapat berjalan dengan baik, insyaallah," katanya - Agenda Daily
« PREV
NEXT »

Tiada ulasan

Catat Ulasan

KLUANG TODAY tidak akan bertanggungjawab terhadap segala komentar yang diutarakan melalui ruangan komen di sini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.