Khamis, 18 Ogos 2016

Ibu Tunggal Rugi RM30,000 Diperdaya Kenalan WeChat

ibu-tunggal-ditipu

JOHOR BAHRU : Terpedaya dengan harapan palsu seorang lelaki yang dikenali melalui laman WeChat, seorang ibu tunggal kerugian lebih RM30,000.

Wanita yang ingin dikenali sebagai Fatimah, 35, berkata, lelaki yang mengaku duda itu sering berjanji untuk mengahwininya selepas lebih setahun berkenalan melalui aplikasi medium sosial tersebut.

Menurutnya, lebih menguatkan kepercayaannya apabila lelaki yang ingin menjalinkan hubungan lebih serius itu sudah empat kali datang menemuinya di sini.

“Saya terlalu mempercayainya sehingga menuruti setiap permintaannya supaya memasukkan duit ke dalam akaun lebih 20 transaksi kerana katanya mahu mengahwini saya selepas Aidilfitri lalu.

“Saya akur dengan membenarkannya memegang kad bank saya sehingga wang pinjaman daripada koperasi berjumlah RM10,000 dan wang daripada Yayasan Ihsan Rakyat sebanyak RM12,000 lesap.

“Tidak cukup dengan itu, dia juga meminta saya membuat pinjaman wang berlesen berjumlah RM4,000 sehingga memaksa saya akur menuruti setiap kemahuannya kerana saya yakin dia seorang anggota polis yang tidak mungkin menipu,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Fatimah berkata, dia kini sengsara kerana bukan sahaja gagal menghubungi lelaki berkenaan, malah menanggung hutang keliling pinggang, sedangkan terpaksa menyara dua anak serta ibu bapa yang telah uzur.

Menurutnya, lebih mengejutkan apabila maklumat yang diperoleh melalui Facebook mendapati lelaki berkenaan sudah berkeluarga dan mempunyai dua anak yang masih kecil.

“Hancur hati saya kerana diperbodohkan sedemikian rupa sedangkan sebelum ini dia dilihat bersungguh-sungguh ingin memperisterikan saya.

“Sekarang saya ditinggalkan begitu sahaja dengan menanggung segala beban hutang sehingga baki duit gaji yang tinggal tidak lagi mencukupi untuk membesarkan anak berusia tujuh dan lima tahun.

“Saya mahu duit saya dipulangkan semula dan merayu pihak berkuasa dapat menjalankan siasatan dan mengambil tindakan terhadap lelaki ini yang telah mencemarkan nama baik pasukan polis,” katanya

Sehubungan itu, satu laporan polis telah dibuat di Balai Polis Tampoi, di sini, kelmarin.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asistan Komisioner Sulaiman Salleh berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu

Menurutnya, wanita tersebut hanya berkenalan melalui aplikasi WeChat dan pihak polis sedang menjalankan siasatan rapi untuk mengenal pasti suspek.

“Kita mengesahkan ada menerima laporan yang telah dibuat mangsa bersabit kes berkenaan.

“Kita tidak akan berkompromi dan akan menahan suspek sekiranya benar dia seorang anggota polis yang terlibat dalam kes penipuan berkenaan ” katanya.
« PREV
NEXT »

Tiada ulasan

Catat Ulasan

KLUANG TODAY tidak akan bertanggungjawab terhadap segala komentar yang diutarakan melalui ruangan komen di sini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.