Terkini

Ahad, 29 November 2015

Standard Khas Berkenaan Vape Akan Diperkenal Tidak Lama Lagi

hisap-vape

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata keputusan mengenai kajian terhadap penggunaan peranti dan perisa cecair untuk rokok elektronik atau vape akan diumumkan tidak lama lagi.

Beliau berkata ini kerana sekiranya mahu vape dibenarkan dijual di pasaran, ia perlu memenuhi prosedur dan kriteria yang akan ditetapkan.

Katanya, ketika ini Malaysia tidak mempunyai standard yang boleh diguna pakai terhadap penggunaan peranti dan perisa cecair untuk rokok elektronik.

"Penggunaan peranti dan perisa cecair rokok elektronik itu mesti menepati standard yang telah diguna pakai oleh pihak antarabangsa.

"Apa pun keputusan dibuat nanti adalah keputusan yang boleh diterima oleh semua pihak dan diharap tidak akan timbul isu lagi pada masa akan datang," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Majlis Berkhatan Perdana Parlimen Larut di Hospital Selama di sini hari ini.

Hamzah berkata usaha memperkenalkan standard khas itu dibuat dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Kementerian Kesihatan dan Sirim Bhd.

"Dari segi cecair vape yang akan digunakan nanti, ia perlu menepati kandungan paras nikotin sama seperti kandungan nikotin yang dibenarkan dalm rokok kerana ada pihak yang mengatakan vape boleh merosakkan kesihatan sementara pihak lain mengatakan ia boleh mengurangkan tabiat merokok.

"Jadi apabila kajian itu telah selesai sehingga analisis yang dilakukan benar-benar saintifik, baharu kita keluarkan satu peraturan dari segi penggunaan dan penjualan yang akan diumumkan nanti," katanya. - Bernama
« PREV
NEXT »

Tiada ulasan

Catat Ulasan

KLUANG TODAY tidak akan bertanggungjawab terhadap segala komentar yang diutarakan melalui ruangan komen di sini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.