Terkini

Jumaat, 7 Ogos 2015

Tak Akan Letak Jawatan Walau Ada Desakan - Muhyiddin

Muhyiddin-tim-presiden-umno

Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menegaskan beliau tidak akan melepaskan jawatan Timbalan Presiden Umno walau ada desakan dari pihak tertentu.

Beliau menyatakan demikian kerana percaya apa yang dilakukan selama ini termasuk mengkritik tindakan Perdana Menteri selaku Presiden Umno berhubung isu 1MDB tidak pernah melanggar perlembagaan parti.

Muhyiddin turut menangkis dakwaan dan desakan pihak tertentu agar beliau melepaskan jawatan dengan memberi alasan bahawa dirinya bukan ancaman kepada negara dan melanggar perlembagaan parti.

Ketika berucap merasmikan persidangan perwakilan Pergerakan Wanita,  Pemuda dan Puteri Umno Bahagian Pagoh di Kompleks Sukan Pagoh hari ini, Muhyiddin mencabar pihak yang mendesaknya melepaskan jawatan supaya tampil menunjukkan bukti sekiranya beliau ada membuat salah atau melanggar disiplin parti.

Turut hadir isterinya, Puan Sri Nooraini Abdul Rahman, Timbalan Ketua Umno Bahagian Pagoh Ismail Mohamed, Ketua Wanita Umno Bahagian Pagoh Senator Datuk Noriah Mahat, Ketua Pemuda Umno Bahagian Pagoh Zaid Abdul Rahman dan Ketua Puteri Umno Bahagian Pagoh Rohaizah Ahmad.

Semalam, Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Selangor Datuk Jamal Yunus dilaporkan meminta Muhyiddin agar berehat dan melepaskan jawatan sebagai timbalan presiden Umno.

Muhyiddin digugurkan sebagai timbalan perdana menteri dalam rombakan kabinet pada 28 Julai.

Muhyiddin yang juga Ketua Umno Bahagian Pagoh turut kecewa apabila ada beberapa Umno bahagian yang sanggup menarik balik jemputan kepada beliau untuk merasmikan mana-mana mesyuarat Umno bahagian.

Katanya, beliau tidak mempunyai apa-apa rancangan sekali pun untuk menumbangkan kerajaan dan disebabkan itu beliau sebenarnya tidak perlu dianggap sebagai ancaman kepada mana-mana pihak dan negara.
« PREV
NEXT »

Tiada ulasan

Catat Ulasan

KLUANG TODAY tidak akan bertanggungjawab terhadap segala komentar yang diutarakan melalui ruangan komen di sini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.