Terkini

Ahad, 5 Julai 2015

Rakyat Negeri Johor Disaran Supaya Lebih Berdikari

Khaled-Nordin-MB
 
Masyarakat di negeri ini disaran bijak mengambil peluang dan menanam keupayaan diri dalam merubah nasib kehidupan ke arah lebih baik tanpa perlu terlalu bergantung kepada bantuan kerajaan.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, hasrat itu disuarakan kerana mahu melihat masyarakat di negeri ini lebih berdikari dalam menjalani kehidupan tanpa terlalu bergantung kepada pihak lain.

Menurutnya, keupayaan diri boleh ditingkatkan melalui pelbagai cara, namun ia perlu bertitik tolak daripada keinginan dan usaha masing-masing.

“Kerajaan telah melakukan pelbagai usaha bagi meningkatkan keupayaan diri rakyatnya dengan memberi pelbagai insentif menerusi pendidikan, kemahiran dan pelbagai peluang lain.

“Apabila sudah berjaya, mereka disaran membantu orang lain pula yang mana sekaligus mampu mewujudkan perpaduan dan permuafakatan antara satu sama lain,” katanya pada Majlis Penyerahan Bantuan dan Pengagihan Bubur Lambuk di Perjiranan 8 Taman Air Biru, di sini, semalam.

Hadir sama, Yang DiPertua Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), Md Za’nal Misran dan Timbalan Ketua Umno Bahagian Pasir Gudang merangkap Ketua WHIP MPPG, Abdullah Abd Rahman.

Mohamed Khaled berkata, perpaduan yang sedia terjalin antara masyarakat di negeri ini perlu dikekalkan dan diperkukuhkan lagi.

Menurutnya, ini kerana perpaduan tidak terjadi secara semulajadi, apatah lagi dalam situasi masyarakat berbilang kaum yang ada di negara ini.

“Syukur Alhamdulillah kita dapat lahirkan perpaduan dan melihat rakyat hidup aman walaupun mempunyai budaya, bahasa dan agama berlainan,” katanya.
 
« PREV
NEXT »

Tiada ulasan

Catat Ulasan

KLUANG TODAY tidak akan bertanggungjawab terhadap segala komentar yang diutarakan melalui ruangan komen di sini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.