Disediakan oleh
Kluang Today
10:05:00 PTG
-
0
Ulasan
KUALA KANGSAR: Naib Presiden Umno Datuk Seri
Hishammuddin Tun Hussein menyifatkan dakwaan wujud arahan atau tindakan
di peringkat atasan parti itu untuk mengekalkan tiga Naib Presiden pada
pemilihan 19 Oktober ini adalah sesuatu yang tidak masuk akal.
Beliau berkata dakwaan itu bercanggah dengan transformasi yang dilakukan parti, termasuk penambahan bilangan perwakilan.
"Kalau Presiden, Timbalan Presiden, Naib Presiden dan Majlis
Tertinggi telah setuju bahawa sudah tiada kuota dan kita perluaskan
perwakilan kepada 150,000 orang penambahan, iaitu penambahan 6,000
peratus, nak kata ada pakatan sekatan itu tidak masuk akal kerana
bercanggah dengan apa yang kita lakukan sebelum ini," katanya kepada
pemberita selepas perjumpaan dengan bahagian Umno di Perak pada Ahad.
Hishammuddin, yang juga Menteri Pertahanan, mengulas dakwaan yang
disiar beberapa portal berita bahawa terdapat kempen dalam parti agar
tiga naib presiden Umno sedia ada dikekalkan.
Beliau berkata pemilihan dilakukan secara terbuka dan perkara itu
diserah kepada perwakilan untuk menilai sendiri calon mana yang layak
menerajui parti di peringkat masing-masing tanpa mengikut emosi.
Mengulas dakwaan bahawa calon dari kalangan anggota Kabinet mempunyai
kelebihan pada pemilihan kali ini, Hishammuddin berkata menteri dan
timbalan menteri terdedah dengan pelbagai isu manakala calon lain tidak
mempunyai kekangan serta boleh menjanjikan apa sahaja.
"Saya sendiri beri penjelasan soal keselamatan negara, termasuk
insiden pencerobohan pengganas Sulu di Sabah, bagi memberi gambaran
sebenar apa yang berlaku. "Inilah sebab kita beri penjelasan dalam
majlis seperti ini (taklimat keselamatan), tetapi apabila kita jawab
seperti ini, orang kata menteri dan timbalan menteri ada kelebihan
berbanding calon lain.
"Jadi, tak ada menang atau kalah, biar perwakilan membuat keputusan,
satu hari nanti siapa yang pegang jawatan sebeginipun akan terpaksa
menjawab dan dilihat ada kelebihan, namun kita tidak boleh lari daripada
tanggungjawab untuk menjawabnya," katanya. -BERNAMA
Tiada ulasan
Catat Ulasan
KLUANG TODAY tidak akan bertanggungjawab terhadap segala komentar yang diutarakan melalui ruangan komen di sini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.