Terkini

Rabu, 25 September 2013

Caj Bekalan Air Mentah Ke Singapura Akan Dikaji Semula

empangan-air-johor

JOHOR BARU: Johor akan mengkaji semula caj bekalan air mentah ke Singapura yang masih belum dinaikkan sejak 52 tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar Dan Wilayah Negeri Johor Datuk Ir Hasni Mohamad berkata Johor mahu meningkatkan pendapatannya dan sedang meneliti perjanjian bekalan airnya dengan Singapura, Melaka dan Syarikat Air Johor (SAJ).

Menurut Hasni, setiap bulan Johor menerima bayaran RM1.2 juta dari SAJ dan RM230,000 dari kerajaan Melaka manakala Public Utilities Board (PUB), Singapura membayar RM200,000.

Beliau berkata, berdasarkan Perjanjian Malaysia-Singapura pada 1961 dan 1962, PUB membeli air pada harga 3 sen bagi setiap 1,000 gelen (4,546.09 liter)air mentah dan menjual air terawat pada harga 50 sen setiap 1,000 gelen kepada Johor.

"Singapura menerima 250 juta gelen air mentah dari kita manakala kita hanya menerima 16 juta gelen air terawat daripada Singapura setiap hari. Kita telah membawa hujah bagi kenaikan harga ini kepada kerajaan Pusat yang akan membawa perkara berkenaan kepada Singapura," katanya.

Beliau ditemui selepas Majlis Menandatangani Ikrar Integriti Korporat Syarikat Air Johor Holdings Sdn Bhd di Bangunan Sultan Ibrahim sini Rabu.

Bagaimanapun, Hasni berkata terpulang kepada kerajaan Pusat untuk menaikkan atau tidak harga bekalan air mentah kepada Singapura.

"Diharapkan tiada masalah apabila Malaysia membincangkan perkara ini dengan pihak Singapura dan kerajaan negeri percaya ia dapat diselesaikan akhir tahun ini," katanya. - BERNAMA
« PREV
NEXT »

Tiada ulasan

Catat Ulasan

KLUANG TODAY tidak akan bertanggungjawab terhadap segala komentar yang diutarakan melalui ruangan komen di sini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.