Disediakan oleh
Kluang Today
3:00:00 PG
-
0
Ulasan
MUAR: Kerajaan akan tetap melaksanakan Pelan
Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) pada September ini walaupun
mendapat tentangan Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus
Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong).
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata tidak ada
sebab badan itu harus menentang langkah kerajaan untuk transformasikan
sistem pendidikan negara menerusi PPPM kerana ia langsung tidak
menggugat kedudukan bahasa Cina dalam pendidikan negara.
"Dong Zong baru-baru ini buat konvensyen bantah pelaksanaan PPPM
kerana katanya pelan ini nak hapus bahasa Cina. Saya cabar mereka untuk
baca setiap inci ayat dalam PPPM, jika ada perkataan kita nak hapuskan
bahasa Cina, biar saya jawab, tidak ada.
"Tetapi entah macam mana agaknya ia menghantui mereka kononnya pelan
ini suatu hari nanti akan menghapuskan bahasa Cina hanya kerana kerajaan
mahu tingkat prestasi bahasa Melayu di sekolah-sekolah kebangsaan.
"Kerajaan hendak tingkatkan mutu pelajaran di sekolah kebangsaan
kerana memang sekolah kebangsaan bahasa pengantarnya Bahasa Melayu, jadi
salah ke tindakan kerajaan itu," kata Muhyiddin yang juga Menteri
Pendidikan.
Beliau berkata demkian ketika berucap pada majlis berbuka puasa dan
penyampaian bantuan zakat kepada golongan asnaf di Surau Saadiah, Batu
Satu Bakri di sini, Rabu.
Majlis turut dihadiri isteri Timbalan Perdana Menteri Puan Sri
Noorainee Abdul Rahman dan Pengarah Urusan Uda Holding Ahmad Abu Bakar.
Muhyiddin berkata pelan itu juga tidak mempunyai niat terselindung
terhadap pengajaran bahasa lain dalam sistem pendidikan negara walaupun
ada yang menganggapnya demikian.
Sehubungan itu, katanya sebagai kerajaan bertanggungjawab terhadap
usaha membela perjuangan bahasa Melayu, pelan tersebut akan tetap
dilaksanakan tanpa rasa terganggu, tergugat dan takut sedikitpun.
Kerajaan mahu semua kaum tidak kira Melayu, Cina, India, Orang Asli
dan kaum pribumi Sabah dan Sarawak masuk ke sekolah kebangsaan demi
perpaduan kaum selaras dengan hasrat kerajaan untuk menjadikan sekolah
kebangsaan sebagai sekolah pilihan utama di negara ini, tegasnya.
Timbalan Perdana Menteri berkata jika Malaysia tidak memberikan
tumpuan kepada bidang ilmu, negara akan terus mundur dan tidak mampu
bersaing dengan negara-negara maju yang lain di dunia.
Pada majlis itu, Muhyiddin turut menerima zakat perniagaan bernilai
RM150,000 untuk golongan asnaf daripada Uda Holdings Berhad yang
disampaikan oleh Ahmad.
Uda Holdings Berhad turut menyampaikan sumbangan kepada Surau Saadiah di sini. BERNAMA
Tiada ulasan
Catat Ulasan
KLUANG TODAY tidak akan bertanggungjawab terhadap segala komentar yang diutarakan melalui ruangan komen di sini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.