Terkini

Selasa, 2 Julai 2013

Henti Pertikai Perlantikan Datuk Tee Siew Kiong- Titah Sultan Johor

sultan-johor

Johor Bahru: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar meminta semua pihak berhenti mempertikaikan pelantikan Datuk Tee Siew Kiong sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Johor yang dibuat atas perkenan dan pilihan baginda.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Setiausaha Sulit Sultan Johor, Jaba Mohd Noah, baginda bertitah sama ada MCA ataupun pihak lain harus menghormati keputusan yang dibuat dan tidak wajar terus mempertikaikan kuasa Sultan yang memerintah negeri ini.
 
Jaba berkata, pelantikan Siew Kiong sebagai EXCO dibuat mengikut kuasa melantik yang termaktub di dalam Fasal 4 Bahagian Kedua Undang-Undang Tubuh Negeri Johor 1895.

Wakil semua kaum

Pelantikan itu dibuat kerana Sultan Ibrahim mahu setiap kaum utama mempunyai wakil dalam barisan EXCO Johor. Justeru, baginda tidak perlu mendapatkan cadangan daripada mana-mana pihak serta tidak perlu menjelaskan mengapa Siew Kiong dipilih (sebagai EXCO), katanya.

Kenyataan itu turut menyebut sebarang masalah dalam parti politik yang Siew Kiong sertai, tidak menjadi isu terhadap pelantikannya sebagai EXCO.

Walaupun beliau dipecat daripada partinya, Siew Kiong tetap ahli EXCO Kerajaan Negeri Johor yang sudah dilantik Sultan Johor.

Apa juga tindakan yang hendak diambil parti terhadapnya, itu adalah hak serta kuasa parti dan pemimpinnya. Sultan Johor tidak akan mencampuri urusan dalaman parti politik dan juga tidak mahu mana-mana parti mencampuri urusan pemerintahan baginda, katanya.

Kukuh perpaduan

Jaba berkata, harapan Sultan adalah jelas kerana perpaduan rakyat di Johor mesti dipelihara serta diperkukuhkan oleh semua kaum yang tinggal di negeri ini.

MCA menggantung keanggotaan Siew Kiong selama tiga tahun pada 20 Jun lalu kerana menerima jawatan EXCO.

Ketua Pemuda parti itu Datuk Dr Wee Ka Siong baru-baru ini turut mempersoal tindakan Siew Kiong itu dengan alasan masih ada wakil rakyat lain yang boleh mewakili kaum Cina dalam barisan EXCO Kerajaan Johor.
 
Sumber: Berita Harian
« PREV
NEXT »

Tiada ulasan

Catat Ulasan

KLUANG TODAY tidak akan bertanggungjawab terhadap segala komentar yang diutarakan melalui ruangan komen di sini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.