Terkini

Rabu, 24 Julai 2013

Buah Kurma Boleh Bekal Tenaga Pada Tubuh Badan Dengan Segera

buah-kurma-bekal-tenaga

Buah kurma mempunyai banyak khasiat dan kebaikan kepada tubuh badan dan antara khasiat utama kurma ialah mempercepatkan pemprosesan dan penyerapan, sekali gus memberikan tenaga segera. Memandangkan kandungan gula ringkasnya sangat tinggi, kurma berupaya membekalkan tenaga yang akan diserap oleh tubuh manusia.

Kurma memang sangat berbeza dengan buah-buahan lain. Oleh itu, ia sesuai dimakan ketika berbuka puasa.
“Rasulullah SAW berbuka puasa dengan beberapa biji kurma sebelum menunaikan sembahyang. Sekiranya tiada kurma, maka Baginda akan berbuka dengan beberapa biji anggur. Sekiranya tiada anggur, maka Baginda meminum beberapa teguk air.” (Riwayat Ahmad)

Kurma kaya serat

Kurma kaya dengan serat dan potassium yang diperlukan tubuh. Jika memakan kurma tidak perlu membuang kulitnya kerana pada kulitnya itu terkandung serat larut mahupun serat tidak larut.

Potassium penting untuk menyeimbangkan bendalir badan, terutama sepanjang tempoh berpuasa termasuklah kawalan denyutan jantung dan tekanan darah. Memakan beberapa biji kurma dan air suam sudah memadai untuk menyeimbangkan kandungan air dalam tubuh badan.

Memakan kurma juga dapat menguatkan daya ingatan manusia. Ramai beranggapan hanya kismis saja yang baik dan mampu untuk menguatkan daya ingatan. Sebenarnya kurma setanding dan sesuai diberi kepada kanak-kanak kerana ia memberi khasiat dari segi proses pembesaran serta membentuk minda kanak-kanak yang sihat.

Dari segi saintifik, kurma berkesan mengubati gangguan usus yang kronik.

Ketidakserasian dengan gluten menghalang penyerapan zat-zat makanan secara sempurna. Kurma mengandungi sejenis protein serta garam galian yang menghentikan tindak balas luar biasa dicetuskan oleh gluten dalam usus kecil.

Jus kurma atasi masalah sembelit

Selain daripada gangguan usus, jus kurma berkesan untuk mengatasi masalah sembelit. Tetapi minuman ini tidak sesuai diamalkan oleh mereka yang menghidap penyakit diabetes kerana ia boleh mendatangkan kesan yang lebih serius.

Jus kurma juga penawar mujarab dalam perubatan tradisional untuk mengatasi insomnia. Bagi mereka yang mengalami masalah batuk, jus kurma amat sesuai untuk diamalkan kerana kandungan gula dalam kurma bertindak menghilangkan rasa gatal dalam kerongkong.

Selain itu, kurma juga baik untuk wanita mengandung mahupun bersalin. Sabda Rasulullah SAW: “Berilah makan buah kurma kepada isteri-isteri kamu yang hamil, kerana sekiranya wanita hamil itu memakan buah kurma, nescaya anak yang bakal dilahirkan itu menjadi anak yang penyabar, bersopan santun serta cerdas pemikirannya.”

Kurma adalah makanan sempurna, Rasulullah SAW bersabda: “Rumah yang tiada kurma nescaya penghuninya kelaparan.”

Kita perlu mengamalkan memakan buah kurma dalam kehidupan seharian bukan saja pada bulan puasa atau ketika seseorang itu sedang berpuasa. Rasulullah SAW mengamalkan memakan buah kurma dan sebagai umat Islam kita perlu mencontohi sunnah Baginda.
« PREV
NEXT »

Tiada ulasan

Catat Ulasan

KLUANG TODAY tidak akan bertanggungjawab terhadap segala komentar yang diutarakan melalui ruangan komen di sini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.