Terkini

Jumaat, 28 Jun 2013

Laluan Kenderaan Di Jonker Walk Akan Dibuka Jumaat Ini

jonker-walk-cinabeng

MELAKA: Kerajaan negeri Melaka akan tetap membuka laluan bagi kenderaan di sepanjang pasar malam Jonker Walk di Jalan Hang Jebat di sini bermula Jumaat.

Anggota Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar Datuk Ismail Othman berkata langkah itu diputuskan dalam Mesyuarat Exco Kerajaan negeri pada Rabu dalam usaha membantu mengurangkan kesesakan lalu-lintas berdasarkan rungutan pelbagai pihak termasuk pelancong dan rakyat tempatan terutama di kawasan bandar pada hujung minggu.

Beliau berkata pembukaan laluan di sekitar Jonker Walk itu bagaimanapun tidak melibatkan penutupan gerai sedia ada di sepanjang pasar malam itu yang bermula jam 6 petang hingga 12 tengah malam setiap Jumaat hingga Ahad.

"Perkara ini telah disalahertikan. Menutup dengan memberi laluan pada kenderaan adalah dua perkara berbeza. Bagi situasi ini kita masih benarkan mereka berniaga namun pada masa sama kita membuka laluan kepada kenderaan," katanya kepada pemberita di sini Khamis.

Beliau berkata usaha itu diharap dapat mengurangkan kesesakan di kawasan bandar kerana penutupan laluan kenderaan di Jonker Walk sebelum ini menyebabkan kesesakan teruk di beberapa jalan seperti Jalan Bunga Raya dan Jalan Kampung Hulu sehingga ke Banda Hilir.

Mengulas lanjut, beliau menafikan pembukaan laluan bagi kenderaan itu bertujuan menganggu kira-kira 300 peniaga Cina yang telah berniaga selama 13 tahun di kawasan berkenaan.

Sebaliknya, Ismail berkata peniaga terbabit masih dibenarkan berniaga di pasar malam itu seperti biasa di bahu jalan atau kaki lima kedai mengikut ruang yang ada.

Beliau berkata anggota Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah, polis dan Rela akan ditempatkan di sepanjang laluan bagi membantu melancarkan perjalanan lalu-lintas.

Sebuah akhbar bahasa Cina pada Isnin memetik Idris sebagai berkata mesyuarat Exco pada 12 Jun lepas, memutuskan menutup pasar malam berkenaan demi memenuhi hasrat rakyat. - BERNAMA
« PREV
NEXT »

1 ulasan

  1. Pembukaan semula Jalanraya Jonker Walk jangan di politikan oleh pembangkang dan MCA yang kononnya memperjuangkan demokrasi...kalau perkara tersebut menjadi kesalahan maka ikut undang-undang....tutup atau buka semula jalanraya.

    Seperti di Pulau Pinang tahun yang lalu kerajaan Pulau Pinang tidak membenarkan peniaga Melayu membuka Bazaar Ramadan di hadapan Chowrasta sebab satu kesalahan ..maka kita akur..

    Dan begitu juga di Bandar Perda, Seberang Perai minggu lepas MPSP mengarahkan peniaga kaki lima Uptown ditutup...kita juga akur..

    Tapi kenapa di Melaka nak gaduh dan susah nak terima kenyataan...

    BalasPadam

KLUANG TODAY tidak akan bertanggungjawab terhadap segala komentar yang diutarakan melalui ruangan komen di sini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.