Disediakan oleh
Kluang Today
12:46:00 PG
-
0
Ulasan
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun
Razak meminta rakyat memberikan mandat pemerintahan lima tahun lagi
kepada Barisan Nasional demi masa depan negara.
Beliau berkata, ini adalah kerana kerajaan BN sudah mempunyai
pelbagai pengalaman dalam mentadbir negara sejak 55 tahun lepas
berbanding pakatan pembangkang yang dilihat semakin tidak mempunyai asas
persefahaman untuk menguruskan hala tuju negara dengan baik.
Katanya, kerajaan BN ikhlas untuk membantu semua rakyat dan percaya
dalam tempoh hampir empat tahun ini, kejayaan terbukti apabila Malaysia
mencatat pertumbuhan ekonomi 5.2 peratus, peningkatan dalam pelaburan di
dalam negara dan luar negara serta peluang pekerjaan melebihi 300,000.
"Masa depan tidak boleh diperjudikan. Satu undi untuk pembangkang
adalah satu undi untuk masa depan yang tidak menentu. "Tetapi, satu undi
buat BN adalah untuk masa depan yang lebih baik, selamat dan makmur,"
katanya dalam ucapan perasmian mesyuarat agung ke-59 Parti Progresif
Penduduk (PPP) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, Ahad.
Turut hadir bekas Perdana Menteri Perdana Menteri Tun Dr Mahathir
Mohamad, Presiden PPP Datuk M.Kayveas, Naib Presiden Kanan PPP merangkap
Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Maglin
Dennis D'Cruz, Setiausaha Agung BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku
Mansor, dan Yang di-Pertua Dewan Negara Tan Sri Abu Zahar Ujang.
Najib juga menjanjikan sebagai seorang Perdana Menteri, beliau akan
melakukan yang terbaik untuk semua rakyat dan negara, dengan lebih adil
dan saksama dalam memastikan rakyat mendapat layanan dan faedah daripada
dasar-dasar dan pentadbiran BN.
"Sebagai seorang pemimpin dan pengerusi BN, kita mesti merasai denyut
nadi rakyat dan faham bahawa rakyat hari ini sudah berubah kerana
kejayaan B Nmenyediakan akses kepada pendidikan dan zaman teknologi
ICT," jelas beliau.
Perdana Menteri yakin kepimpinan memahami dan menghayati serta tahu
aspirasi rakyat adalah tidak lain hanya mahu berada di bawah kerajaan
BN.
Dalam pada itu, Najib mengingkatkan 13 parti komponen BN untuk
bergerak sebagai satu formasi yang teratur dan tersusun ke arah satu
objektif iaitu kesepaduan dan kefahaman yang amat jitu agar BN sentiasa
menjadi satu parti yang kuat dan tidak mungkin ditandingi oleh parti
pembangkang. "Oleh itu, soal dalaman parti kita, kita perlu memastikan
sifar masalah dan kita juga perlu memastikan sifar masalah antara parti
komponen BN. Dengan itu, tanpa apa-apa masalah besar, (Insya-Allah), BN
pasti akan menang besar dalam pilihan raya umum," katanya.
Tambah Najib, BN telah mengambil iltizam untuk mesti bangkit semula
daripada 'mimpi ngeri' pada pilihan raya umum ke-12, dan sedar akan
mesej yang dihantar oleh rakyat kepada BN untuk melakukan perubahan bagi
menjamin masa depan mereka.
Perdana Menteri turut mengingkatkan jentera PPP agar sentiasa
bersedia, cergas dan bertenaga untuk menentukan perjuangan BN dalam
pilihan raya umum ke-13.
Seramai 4,047 perwakilan menghadiri Perhimpunan Agung PPP, yang bertemakan 'BN Tidak Akan Menghampakan Rakyat'. -BERNAMA
Tiada ulasan
Catat Ulasan
KLUANG TODAY tidak akan bertanggungjawab terhadap segala komentar yang diutarakan melalui ruangan komen di sini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.