Terkini

Ahad, 18 November 2012

Generasi Kedua Felda Mula Terima Durian Runtuh


KLUANG - Seramai 461 anak-anak peneroka di tanah rancangan Felda di sini menerima cek durian runtuh fasa ketiga, semalam.

Pengurus Felda Ulu Belitong, Mohd Din Lazim berkata, sebelum ini pemberian cek durian runtuh telah diberikan kepada ketua keluarga, isteri peneroka dan kini giliran anak peneroka untuk menerima RM5,000.

“Anak peneroka generasi kedua diberikan durian runtuh oleh kerajaan dengan harapan generasi ini dapat meningkatkan lagi ekonomi warga Felda.

“Oleh sebab itu, kerajaan mengambil berat dengan generasi kedua yang mana mereka akan menjadi pelapis kepada generasi pertama,” katanya pada penyerahan cek durian runtuh di Pejabat Felda Ulu Belitong, di sini, semalam.

Menurutnya, pada kali ini pemberian durian runtuh kepada generasi kedua Felda melibatkan pengagihan sebanyak RM2.305 juta bagi tanah rancangan Felda Ulu Belitong.

Tambahnya, dengan pemberian durian runtuh tersebut diharap generasi kedua khususnya di Felda itu dapat memahami bahawa mereka itu merupakan perintis kepada generasi yang terdahulu.

“Generasi yang pertama amat mengharapkan agar generasi kedua ini dapat memajukan lagi Felda ke peringkat yang lebih tinggi dan bukannya hanya berada di tahap sama.

“Walau bagaimanapun, dengan pemberian tersebut diharap tiada berlaku pergaduhan ataupun pertelingkahan antara adik-beradik. Pemberian yang diberikan itu perlu dibahagi sama rata mengikut bilangan adik-beradik dan ibu serta bapa tidak perlu masuk campur kerana sebelum ini mereka sudah menerima ganjaran serupa,” katanya.

Mohd Din turut menasihatkan agar wang yang diterima itu dilaburkan ke dalam saham kerana jika dilaburkan wang tersebut akan berganda dan lebih mendapat manfaatnya.

“Kita tidak tahu pada masa akan datang pemberian durian runtuh ini akan diterima lagi ataupun tidak, jadi adalah perlu wang yang diterima itu di simpan untuk digunakan pada masa akan datang,” katanya.

Sementara itu, penerima durian runtuh, Muhamad Abdul Azim Jumaat, 22, berkata, wang yang diterima itu akan dibahagikan sama rata kepada enam orang adik-beradiknya.

“Dengan pemberian yang diberikan ini menunjukkan kerajaan tidak pilih kasih walaupun generasi kedua Felda masih baru dan tidak merasai susah senang membangunkan Felda namun, kerajaan tetap memberikan durian runtuh kepada anak peneroka.

“Saya amat berterima kasih kepada kerajaan yang ada sekarang kerana sentiasa mengambil berat tentang perkembangan Felda khususnya generasi kedua Felda,” katanya.

Sumber: Sinar Harian
« PREV
NEXT »

Tiada ulasan

Catat Ulasan

KLUANG TODAY tidak akan bertanggungjawab terhadap segala komentar yang diutarakan melalui ruangan komen di sini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.