Terkini

Ahad, 11 November 2012

Bekas Timbalan Presiden PAS Nasihat Anak Sulung Anwar Agar Bertaubat


Isu ini pada saya sangat fundamental dan menyentuh hati umat Islam di Malaysia terutamanya malah Islam secara amnya. Ditinjau dari segi tasawwur dan epistemologi Islam, isu ini sangat serius kerana melibatkan perkara asas Islam itu sendiri. Oleh itu ia mesti dijelaskan secara ilmiah tetapi mudah difahami oleh semua umat Islam dan juga rakyat Malaysia keseluruhannya.

Pertamanya, kita sedia maklum latar belakang setting isu ini timbul, yakni dalam suatu forum, di sebuah gereja dan dianjurkan oleh pihak gereja.

Keduanya, berlaku cubaan untuk menjawab balik oleh Ahli Parlimen itu dengan menyalahkan pihak-pihak tertentu, menyalahkan Utusan Malaysia contonya kononnya disalahtafsir atau disalah petik.

Ketiganya, ramai dikalangan kita termasuk saya sendiri, mula mendapat tahu itu tersebut dalam portal media internet.

Keempat, kini seluruh rakyat Malaysia boleh lihat kenyataan asal Nurul Izzah dalam bentuk verbatim - amat terang dan jelas maksud setiap perkataan yang diucapkan.

Di dalam Fiqh Islami, terdapat satu kaedah penting yang diterimapakai oleh pakar-pakar dan sarjana Islam, bermaksud (nahkum bizawahir wallah yatawwala bi alsaraair) yakni, kita meletakkan hukum dengan perkara yang zahir; perkara tidak zahir (yakni tidak nampak) kita serah kepada Allah SWT.

Dalam konteks Nurul Izzah secara zahirnya dan berdasarkan pengamatan yang kita semua dapat lihat dan dengar, beliau menyebut dengan jelas kebebasan kepada orang Melayu memilih agama atas prinsip kebebasan manusia untuk membuat pilihan.

Ayat "tiada paksaan dalam agama" hanya terpakai kepada bukan Islam,. Tafsiran ini disepakati oleh seluruh Mufassirin (Ahli Tafsir) Islam tanpa khilaf. Tafsiran ini bermaksud selagi mana seseorang itu bukan Islam, kita sebagai Muslim, tidak ada hak sedikit pun untuk memaksa dia memeluk Islam.

Namun, apabila orang bukan Islam itu sudah menjadi seorang Muslim maka ayat ke-36 daripada surah al-Ahzah yang bermaksud "Tiada boleh bagi orang yang beriman lelaki dan perempuan apabila telah ditentukan oleh Allah dan Rasul-Nya tentang satu urusan mereka tidak berhak untuk memilih..."

Saya menyarankan supaya Nurul Izzah menarik balik kenyataan itu. Dalam Islam, apabila kita melakukan kesalahan dan pabila sedar kita tersilap, kita boleh membetulkannya, bertaubat diatas kesalahan kita dan Allah SWT pasti menerima pengampunan kita.

Nurul Izzah telah mentafsirkan ayat tidak kena pada tempatnya dan tafsiran yang dibuat itu adalah tafsiran yang salah.

Istidlal (pendalilan) yang digunakan oleh Nurul Izzah kepada ayat "Tiada paksaan dalam agama" itu untuk digunapakai kepada orang Melayu mempunyai beberapa implikasi serius. Pertama, ia bercanggah dengan prinsip asas "akidah dan syariah Islam". Kedua, ia bercanggah dengan pemahaman dan tafsiran peruntukan yang terdapat di dalam Perlembagaan Persekutuan. 

Kenyataan itu bagi saya bukan sahaja mengiyakan gerakan fahaman pluralisme agama juga termasuk dalam katogeri mengiyakan fahaman liberalisme iaitu "meliberalkan' fahaman agama Islam dan 'mempluralkan' fahaman agama Islam.

Bagi saya ini isu besar kerana ia melibatkan akidah dan salah tafsir terhadap Islam. Menjadi hebat lagi isu ini kerana semua orang boleh akses di dalam YouTube, tiap-tiap malam orang tengok berita di dalam media dan kini menjadi perdebatan, ini bukan satu isu yang remeh.

Ia berlaku kerana dibangkitkan oleh orang yang bukan ahli dalam bidang Islam tetapi membuat tafsiran yang silap terhadap Islam.

Dalam hal ini, Rasulullah SAW telah memberi amaran yang bermaksud "Apabila diletakkan amanah itu kepada orang yang bukan ahlinya, kamu tunggulah saat kehancurannya". Mentafsir Islam daripada seorang yang bukan ahlinya dan tafsiran itu pula salah melibatkan akidah, ini cukup bahaya. 

Sebagai komponen Pakatan Rakyat, PAS khasnya, kepimpinan PAS yang terdiri daripada ulama harus memandang serius kenyataan ini.

NASHARUDIN MAT ISA
Bekas Timbalan Presiden Pas
« PREV
NEXT »

Tiada ulasan

Catat Ulasan

KLUANG TODAY tidak akan bertanggungjawab terhadap segala komentar yang diutarakan melalui ruangan komen di sini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.