Terkini

Ahad, 10 April 2016

Dr Mahathir Diminta Terima Dan Hormati Hasil Siasatan PAC

Ismail-Sabri-Pac

HULU TERENGGANU : Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad diminta menghormati hasil siasatan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) terhadap 1Malaysia Development Bhd (1MDB), yang mendapati Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak terlibat secara langsung dalam isu membabitkan syarikat berkenaan.

Menteri Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Anggota Majlis Tertinggi UMNO berkata, Mahathir seharusnya menerima dan menghormati keputusan PAC.

"Dalam kes ini, PAC dah buat keputusan jadi, Tun perlu hormat kepada keputusan PAC...semua rakyat Malaysia juga perlu hormat kepada keputusan PAC," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Projek Ekonomi Desa Lestari Abad Ke-21 di Kampung Tok Dor di sini, hari ini.  

Turut hadir, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu dan Exco Pendidikan, Sains Teknologi dan Tugas-Tugas Khas Negeri Ghazali Taib yang juga Adun Ajil.

PAC, yang dianggotai Ahli Parlimen BN dan  pembangkang, mengeluarkan Laporan Kawalan Pengurusan Tadbir Urus 1MDB setebal 106 muka surat itu pada Khamis.

PAC antara lain mengesyorkan pihak berkuasa supaya menyiasat bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan pihak berkaitan dengan pengurusan syarikat pelaburan strategik milik kerajaan itu.

Mahathir dalam satu forum tertutup di Universiti Malaya, Kuala Lumpur dua hari lepas berkata beliau sedih kerana PAC meletakkan tanggungjawab berhubung kelemahan 1MDB kepada bekas Ketua Pegawai Eksekutif syarikat itu Shahrol Azral. - Bernama
« PREV
NEXT »

Tiada ulasan

Catat Ulasan

KLUANG TODAY tidak akan bertanggungjawab terhadap segala komentar yang diutarakan melalui ruangan komen di sini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.