Disediakan oleh
Kluang Today
10:02:00 PTG
-
0
Ulasan
PUTRAJAYA: Penerbit akhbar Katolik, The Herald
tidak akan berputus asa dalam usaha mereka untuk mendapatkan kebenaran
menggunakan kalimah "Allah" dalam edisi bahasa Malaysia untuk penduduk
di Sabah dan Sarawak, walaupun Mahkamah Rayuan pada Isnin memutuskan
sebaliknya, demikian kata pengarangnya, Paderi Lawrence Andrew.
Bercakap kepada pemberita selepas keputusan tersebut diumumkan, The Herald katanya akan memfailkan rayuan kepada Mahkamah Persekutuan pula selepas ini.
Andrew berkata, hak penganut agama Kristian di Malaysia wajar dilindungi di bawah undang-undang negara.
"Apa yang ingin saya katakan ialah, hak kami sebagai penganut agama
minoriti di negara ini untuk mengamalkan kepercayaan kami secara bebas
mestilah dipelihara ," ujarnya lagi.
Beliau tidak bersetuju dengan hujah bahawa penggunaan kalimah "Allah"
bukanlah sebahagian daripada amalan dan kepercayaan penganut agama
Kristian.
"Di Timur Tengah dan di Indonesia, kalimah Allah digunakan oleh
penganut agama Kristian dan Islam. Jadi anda tidak boleh dengan
tiba-tiba mengatakan yang ia bukan sebahagian daripada amalan kami.
"Sesuatu bahasa itu adalah milik sesiapa sahaja untuk menggunakannya
dan ia haruslah dibenarkan untuk berhujah menggunakan istilah mengikut
fahaman penganut agama itu,” katanya.
Malah kata Andrew, sejarah menunjukkan kalimah Allah telah digunakan
di Melaka sejak sekian lama iaitu jauh lebih awal daripada naskhah
Al-Quran yang diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu.
"Kami penganut agama Kristian di sini telah menggunakan kalimah Allah
seawal 500 tahun dahulu, tetapi masyarakat pelbilang kaum telah hidup
dalam suasana harmoni dan aman damai tanpa sebarang masalah.
“Dan kami telah menerbitkan The Herald sejak 19 tahun yang lalu tanpa menimbulkan sebarang masalah kepada penganut agama lain," jelas Andrew.
Mahkamah Rayuan pada pagi Isnin telah memutuskan yang Gereja Katolik
dilarang menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan akhbar mingguannya -
The Herald. Keputusan itu dibuat oleh tiga hakim yang diketuai Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Mohamed Apandi Ali.
Panel tiga hakim itu turut dianggotai Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Abdul Aziz Abd Rahim dan Datuk Mohd Zawawi Salleh.
Mahkamah berkenaan mendapati bahawa Kementerian Dalam Negeri (KDN)
tidak bertindak dalam apa-apa cara yang mewajarkan campur tangan badan
kehakiman mengenai keputusannya untuk melarang penerbitan itu
menggunakan kalimah Allah. Mahkamah tersebut juga mendapati, ketetapan
Kementerian Dalam Negeri melarang The Herald daripada menggunakan kalimah "Allah" tidak melanggar mana-mana hak perlembagaan gereja.
"Ia merupakan dapatan bersama kami bahawa penggunaan nama "Allah"
bukan sebahagian daripada kepercayaan dan amalan agama Kristian," kata
Hakim Apandi yang membaca ringkasan keputusan itu.
Pada 16 Februari 2010, Ketua Paderi Gereja Roman Katolik, Tan Sri
Murphy Pakiam memfailkan permohonan semakan kehakiman menamakan
Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan sebagai responden, menuntut antara
lain, perisytiharan bahawa keputusan kementerian melarang penggunaan
kalimah 'Allah' dalam penerbitan The Herald adalah tidak sah.
Penerbitan mingguan itu yang diterbitkan dalam empat bahasa, telah
menggunakan kalimah 'Allah' untuk merujuk kepada "Tuhan" dalam edisi
bahasa Malaysia, khusus untuk penduduk di Sabah dan Sarawak.
Pada 31 Disember 2009, Mahkamah Tinggi mengisytiharkan keputusan Kementerian Dalam Negeri melarang The Herald menggunakan kalimah itu adalah salah di sini undang-undang, tidak sah dan batal.
Tiada ulasan
Catat Ulasan
KLUANG TODAY tidak akan bertanggungjawab terhadap segala komentar yang diutarakan melalui ruangan komen di sini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.