Disediakan oleh
Kluang Today
6:00:00 PG
-
0
Ulasan
Jakarta: Menteri Hal Ehwal Agama Indonesia menggesa pertandingan ratu
cantik dunia Miss World dibatalkan daripada diadakan di Bali ketika
bantahan memuncak seminggu sebelum ia berlangsung.
Suryadharma Ali berkata, penganjur perlu mengikuti nasihat
badan ulama tertinggi negara itu, yang membuat gesaan minggu lalu supaya
pertandingan dibatalkan walaupun selepas mereka bersetuju memansuhkan
acara memakai bikini.
Majlis Ulama Indonesia membantah keras pertandingan Miss World kerana ia bercanggah dengan ajaran Islam bahawa wanita perlu melindungi tubuh mereka” Suryadharma Ali, Menteri Hal Ehwal Agama Indonesia
“Majlis Ulama Indonesia (MUI) membantah keras pertandingan Miss World kerana ia bercanggah dengan ajaran Islam bahawa wanita perlu melindungi tubuh mereka,” kata menteri itu dalam kenyataan lewat kelmarin.
Paling awal bantah
Beliau antara pegawai kerajaan paling awal secara terbuka menyuarakan bantahan terhadap pertandingan itu, satu tamparan baru terhadap penganjurnya di Britain.
Kenyataannya disiarkan pada hari sama seorang pesuruh jaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia negara itu membantah pertandingan itu kerana mempamerkan tubuh wanita.
Penganjur tempatan pula tidak terkejut dengan ulasan menteri itu. Bagaimanapun, mereka berkata, isu itu bukan bidang kuasanya dan pertandingan itu perlu diteruskan.
“(Indonesia) bukan sebuah negara Islam dan acara ini adalah isu budaya, bukan agama,” kata Setiausaha Korporat Penyiar dan Penganjur Tempatan RCTI, Adjie S Soeratmadjie, sambil menambah bahawa ada menteri lain menyokong Miss World.
Indonesia adalah sebuah negara majoriti penduduk Islam tetapi perlembagaannya tidak berasaskan Syariah dan mengiktiraf beberapa agama.
Jun lalu, penganjur mendedahkan, pusingan bikini dimansuhkan untuk pertandingan di Indonesia dalam usaha mengelak mencetuskan kemarahan dan peserta sebaliknya memakai kain batik Bali.
Bagaimanapun, kumpulan radikal Barisan Pertahanan Islam (FPI) tidak berpuas hati dan masih merancang mengadakan bantahan di pinggir ibu kota ini, lokasi pertandingan akhir pada 28 September.
Pertandingan itu bermula pada 8 September di Bali, pulau majoriti penduduk Hindu terkenal dengan pantai di mana pelancong wanita dari seluruh dunia mandi dengan memakai bikini kecil tanpa masalah.
Tahun lalu, bintang pop, Lady Gaga membatalkan jelajah Indonesia selepas FPI mengancam membakar stadium dan mengkritiknya kerana memakai hanya coli dan seluar dalam. - AFP
Tiada ulasan
Catat Ulasan
KLUANG TODAY tidak akan bertanggungjawab terhadap segala komentar yang diutarakan melalui ruangan komen di sini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.