Terkini

Khamis, 15 Ogos 2013

Pergolakan Mesir Isyarat Kehancuran Dunia Islam Semakin Nyata


Pergolakan di Timur Tengah sudah diterima sebagai berita rutin sejak berkurun lamanya.   Saban hari ada saja pertelingkahan antara puak dan mazhab walaupun secara dasarnya masyarakat di sana merupakan penganut agama Islam.   Dari apa yang diceritakan oleh rakyat di sana, negara mereka tidak pernah membezakan mazhab atau puak sebelum persengketaan tercetus.  Pertelingkahan antara mazhab dan puak hanya berbangkit beberapa tahun kebelakangan seolah-olah ada yang sengaja mencetuskannya. 

Malang sekali, sikap orang-orang Arab itu begitu mudah terpengaruh dan terbawa-bawa dengan emosi.  Oleh itu, musuh mudah ‘bermain’ dengan minda mereka, memanipulasi dan menghasut dengan agenda-agenda tertentu bagi membangkitkan kemarahan mereka.

Berikutan dengan itu, pemikiran mereka yang tertutup serta capaian maklumat yang terhad, menyebabkan mereka tidak dapat berfikir panjang serta pantas memilih keganasan untuk melepaskan perasaan dan mencapai matlamat.   Maka tidak hairanlah jika negara mereka sering bergolak dan sukar untuk berdamai.

Mesir, suatu ketika dahulu merupakan pusat ilmu bagi dunia Islam.  Disitulah terletaknya Universiti Islam tersohor di dunia iaitu Al-Azhar di mana terkumpulnya Ulama-ulama hebat.  Namun, entah kenapa setelah sekian lama, Mesir masih belum mampu menyaingi dunia barat dari segi ilmu. Al-Azhar tidak mampu membantu melahirkan pemimpin Islam yang cukup ramai, yang berpandangan jauh dan berkredibiliti, bagi mengubah pemikiran masyarakat Arab.

Jika sebelum ini rakyat Mesir berbangga dengan kuasa rakyat menukar kerajaan, maka hari ini terbukti sudah bahawa tindakan anarki tidak pernah menghasilkan sesuatu yang baik.  AlQuran telah menyatakannya secara jelas, tetapi rakyat Mesir, termasuk Ulama Al-Azharnya telah gagal memahami dan mempraktikkan ajaran AlQuran itu.   Akibatnya, Mesir hari ini sekali lagi tenggelam dalam lautan darah yang jauh lebih dalam dari pemberontakan Dataran Tahrir di permulaan Arab Spring.

Lautan darah di Mesir mungkin tidak seluas dan sedalam Syria dan Palestin namun, ia seharusnya mengejutkan umat Islam dari tidur.   Sudah sampai masanya kita semua berhenti sejenak dan berfikir bagi mencari di manakah salah kita sebagai satu ummah?

Bukankah umat Islam hari ini ‘jauh lebih Islam’ dari umat Islam terdahulu?  Bukankah umat Islam hari ini lebih ‘terserlah keIslamannya’ berbanding dahulu?  Bukankah terdapat beratus kali ganda jumlah tahfiz, ustaz dan ulama pada hari ini berbanding dahulu?  Jika dahulu, imam hanya membaca surah-surah lazim dalam solat tetapi kini, surah-surahnya cukup panjang.  Itu belum lagi dikira dengan tazkirah, ceramah dan kuliah agama yang giat dijalankan di mana-mana saja.  Jika dahulu kita hanya menghafal doa-doa asas, tetapi kini kita melakukan semuanya dengan doa dari masuk tidur hinggalah ke masuk ke bilik air.

Tetapi, kenapakah ketika pemerintahan Shah Iran yang isterinya tidak bertudung, Iran lebih aman maju dan makmur berbanding selepas itu?  Kenapakah umat Islam di Malaysia lebih jujur, ikhlas, sopan dan beradab di zaman dahulu berbanding hari ini?  Sedangkan dahulu, wanita Islam di Malaysia tidak bertudung tetapi hari ini bertudung, berpurdah siap berstokin dan bersarung tangan?

Justeru, kenapakah Dunia Islam semakin tenat jika benar kita semua ‘semakin Islam’?

Apakah ia salah orang Kristian?  Atau salah orang Yahudi?  Atau salah wanita Islam yang tidak bertudung?  Atau salah lelaki Islam yang gemar berjudi dan minum arak?  Atau salah pemimpin yang rasuah atau pembangkang yang khianat?

Apakah benar Acheh dilanda tsunami kerana ‘tidak cukup Islam’?   Apakah benar umat Islam Bosnia disembelih sebagai balasan kerana ‘tidak mengamalkan cara hidup Islam’?

Jika ditanya para Ulama, jawapannya pastilah berbunyi, ‘kita harus kembali kepada AlQuran’.  Namun, seperti apa yang berlaku di Mesir, para Ulama sendiri telah membelakangkan AlQuran kerana ingin menjatuhkan kerajaan.

Malaysia pernah dijulang sebagai satu-satunya negara Islam tulen di zaman Rasulullah SAW di mana semua golongan termasuk bukan Islam mendapat keadilan dan kebebasan secukupnya.  Malaysia tidak ekstrem dan tidak juga liberal, sebaliknya menepati ajaran Islam sebenar iaitu ‘bersederhana’.  Tiada paksaan dalam Islam di Malaysia sama ada ke atas bukan Islam atau ke atas umat Islam sendiri.  Wanita Islam di Malaysia tidak dikongkong atau dilayan seperti kelas dua atau hamba, yang mana membolehkan negara ini maju dan makmur tidak seperti negara-negara Islam lain yang konservatif.

Malaysia pernah menjadi satu-satunya harapan dunia Islam bagi membela nasib mereka.  Hari ini, harapan dunia Islam kepada Malaysia masih lagi tinggi.

Justeru, jika kita masih tertanya-tanya di manakah silap kita sebagai ummah, maka tanyalah juga apa yang Malaysia lakukan yang tidak silap, sehingga mampu menjadikan kita sebagai negara Islam contoh.   Jawapannya ada di sekeliling kita.

Kemakmuran, kemajuan, keamanan dan kestabilan yang kita nikmati hari ini adalah bukti bahawa kita tidak silap seperti negara-negara Arab, tetapi telah melakukan sesuatu yang tepat.  

Sejak kita Merdeka, kerajaan telah meletakkan ilmu sebagai matlamat utama sejajar dengan ajaran AlQuran.  Ilmu boleh diperolehi secara percuma.  Kerajaan tidak pernah meminggirkan atau mendiskriminasikan wanita atau mana-mana kaum dalam soal ilmu – sejajar dengan ajaran AlQuran juga.   Prinsip Malaysia ialah menolak sebarang bentuk ektremisme termasuk dalam amalan agama Islam.  Rakyat Malaysia juga terkenal dengan lemah lembut dan adab sopan sekali gus menentang sebarang bentuk keganasan – sejajar dengan ajaran AlQuran juga. 

Oleh itu, jika kita mengambil sedikit masa untuk berfikir maka kita akan dapati bahawa empat perkara ini iaitu ‘ilmu’, ‘kedudukan wanita’ ‘kesederhanaan’ dan ‘adab’ merupakan asas kejayaan Malaysia.

Dan jika kita mengambil sedikit masa untuk mengkaji, maka kita akan dapati bahawa empat perkara ini, tidak pernah dipegang oleh negara-negara Arab yang sentiasa bergolak itu. 

Malang sekali, terdapat usaha dari beberapa pihak di Malaysia untuk menjadikan negara-negara Arab yang sentiasa bergolak itu sebagai model pula.  Kesilapan orang-orang Arab dianggap benar oleh segelintir orang-orang kita.   Sedangkan jika kita mengikut jejak langkah mereka, sudah tentu kita juga akan terhumban dalam nasib yang sama.

Hari ini, kita wajar bersyukur kerana Malaysia adalah satu-satunya Negara Islam yang ‘masih waras’ walaupun diasak dari berbagai sudut oleh oleh golongan ekstremis, liberal dan sesat (Syiah).

Malangnya, walaupun Malaysia cukup kukuh sebagai sebuah Negara Islam, namun Malaysia masih belum mampu menghulurkan bantuan yang signifikan bagi memulihkan keadaan di Timur Tengah.  Ini bermakna, Malaysia juga masih terlalu jauh dalam mencapai matlamat menjadi ‘Khalifah’ di dunia kerana kita tidak berdaya menyaingi musuh Islam dari segi ketinggian ilmu.  

Justeru, Malaysia hanya mampu berdoa kepada rakyat Palestin, Syria dan Mesir tanpa mampu berbuat apa-apa.

Kita hanya mampu berdoa agar suatu hari nanti, agar umat Islam tidak lagi beretorik mengenai kembali kepada AlQuran, tetapi benar-benar mengotakannya.  Kita berdoa agar umat Islam mampu meletakkan ilmu dari langit, bumi dan lautan di tempat tertinggi sepertimana ajaran AlQuran.  Kita berdoa agar suatu hari nanti Universiti AlAzhar atau mana-mana Universiti di Malaysia akan berjaya melahirkan para pencipta, pemikir dan saintis yang mampu menyaingi dunia barat dan mengembalikan zaman kegemilangan Islam.  Kita berdoa agar ada saintis Islam yang membuktikan bahawa bulan itu pernah terbelah dua dan bukan hanya merujuk kepada kajian saintis bukan Islam.

Kita tidak tahu sampai bila Malaysia mampu bertahan sebagai Negara Islam sebenar, tetapi tidak keterlaluan dikatakan bahawa sekiranya Malaysia turut jatuh, maka hancurlah dunia Islam sepenuhnya.
« PREV
NEXT »

Tiada ulasan

Catat Ulasan

KLUANG TODAY tidak akan bertanggungjawab terhadap segala komentar yang diutarakan melalui ruangan komen di sini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.