Terkini

Ahad, 21 Julai 2013

Tingkatkan Kemahiran Sosial Kanak-Kanak Dengan Memasak

memasak-bersama-anak

SELALUNYA ibu bapa tidak membenarkan anak-anak berada di dapur dengan beranggapan tempat itu berbahaya dan mendedahkan mereka kepada kecederaan akibat melecur terkena api atau air panas selain risiko terluka menggunakan benda tajam seperti pisau.

Namun, tanpa disedari dapur menjadi tempat selamat dan selesa untuk mengeratkan hubungan ibu bapa dengan anak-anak jika tempat itu dimanfaatkan dengan betul.
Cara paling mudah adalah dengan menjalankan aktiviti memasak. Aktiviti bersama memberi peluang kanak-kanak menjalankan eksperimen mereka di dapur dengan bimbingan orang dewasa.

Berikut disenaraikan alasan perlunya pembabitan kanak-kanak dalam aktiviti memasak;

1. Berfikiran terbuka

Selain mengeratkan hubungan, aktiviti ini menyediakan ruang untuk kanak-kanak bekerjasama. Pakar mengatakan bahawa kanak-kanak cenderung mencuba makanan baru jika diberi peluang untuk berbuat demikian.

Malah, kanak-kanak yang cerewet mengenai makanan akan mudah mencuba hasil ‘buah tangan’ hidangan yang disediakan mereka.

2. Bimbingan pengambilan makanan yang sihat

Mendedahkan kanak-kanak dengan kegiatan memasak pada usia muda dapat mewujudkan tabiat makan yang sihat, terutama apabila resipi yang disediakan menggunakan bahan-bahan berkhasiat.
Ketika menjalankan aktiviti di situ, ibu bapa perlu memperkenalkan pilihan makanan sihat antaranya buah-buahan segar, sayur-sayuran dan bijirin penuh.

3. Kenangan manis.

Mengajak anak-anak membantu memasak secara tidak langsung menanam rasa kasih sayang dalam kalangan ahli keluarga, bersatu dan mengeratkan hubungan sedia ada.

Momen ketika memasak bersama boleh menghasilkan kenangan indah. Lebih-lebih lagi jika berlaku peristiwa lucu seperti ibu tersalah mengambil bahan memasak...terambil garam untuk membancuh teh dan sebagainya.

4. Menambah ilmu.

Melalui projek memasak secara tidak langsung ibu bapa mendedahkan kanak-kanak kepada pelbagai mata pelajaran baru seperti matematik, sains dan bahasa. Untuk matematik, melalui memasak kita mengajar kanak-kanak sukatan dan unit ukuran.

Melalui memasak juga kita mengajar laras bahasa yang betul dan perkataan yang baru seperti ‘secubit garam’, ‘dipotong dadu’ dan ‘ditoskan’.

Kanak-kanak belajar sains ketika belajar memasak melalui percubaan mereka mencampurkan bahan-bahan masakan begitu juga dalam proses mengenal bahan masakan, perisa yang boleh meningkatkan kemahiran saintifik mereka.

Melalui masakan juga ibu bapa mengajar sejarah juga geografi dengan memberikan maklumat mengenai sejarah dan lokasi bahan masakan. Perkongsian resipi tradisional keluarga juga seakan mengajar sejarah keluarga kepada kanak-kanak.

5. Meningkatkan keyakinan diri.

Ketika memasak biarkan anak-anak mencuba tugasan seperti mengacau bahan-bahan, membasuh sayuran atau buahan, menghias kek atau mencuci pinggan mangkuk.

Beri sedikit kebebasan untuk anak-anak melakukan tugas bagi meningkatkan keyakinan diri bahawa mereka boleh melakukan kerja sebagaimana diberikan.
Berita Harian
« PREV
NEXT »

Tiada ulasan

Catat Ulasan

KLUANG TODAY tidak akan bertanggungjawab terhadap segala komentar yang diutarakan melalui ruangan komen di sini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.