Terkini

Khamis, 11 Oktober 2012

Sistem AES: Tambah Jumlah Saman, Tak Kurangkan Kemalangan


KUALA LUMPUR: Beberapa Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dan pembangkang hari ini menggesa kerajaan mengkaji semula pelaksanaan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) bagi mengesan pesalah lalu lintas kerana mendakwa ia membebankan pengguna jalan raya.

Perkara itu pada mulanya dibangkitkan Sim Tong Him (DAP-Kota Melaka) ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2013 di Dewan Rakyat, yang berpendapat sistem penguatkuasaan itu sepatutnya masih dalam tempoh percubaan.

"Kita tahu AES adalah untuk mengurangkan kemalangan tetapi adalah wajar juga untuk mendapatkan pandangan pelbagai pihak mengenainya. Kita tidak mahu ia menjadi satu perangkap atau untuk mengaut keuntungan," katanya.

AES adalah sistem kamera automatik berteknologi tinggi yang dipasang di lokasi yang dikenal pasti sering berlaku kemalangan selain bertujuan meningkatkan keberkesanan dan kecekapan sistem penguatkuasaan serta mampu mengurangkan kemalangan maut.

Fasa pertama pelaksanaan AES mulai 23 September lalu, mengenal pasti 63,558 pesalah trafik yang melanggar dua kesalahan utama iaitu memandu melebihi had laju atau melanggar lampu merah.

Datuk Mohamed Aziz (BN-Sri Gading) ketika mencelah berharap kerajaan menangguhkan pelaksanaan AES.

"Sebelum ini dah tiga kali tangguh tapi bila dilaksanakan kita lihat lebih kepada membebankan rakyat.

"Kalau boleh kita harap kerajaan dapat turut mansuhkan saman lebih 60,000 pesalah trafik yang dikenal pasti menerusi AES ini," katanya.

Datuk Noraini Ahmad (BN-Parit Sulong) pula mencadangkan lebih banyak papan tanda amaran diletakkan di lokasi-lokasi AES supaya pengguna jalan raya lebih berhati-hati.

Fong Po Kuan (DAP-Batu Gajah) yang bangun menyokong, mahu kelemahan pelaksanaan AES dikaji semula supaya ia tidak memberi tekanan kepada pemandu.

"Kita bukan menggalakan orang memandu laju tetapi mekanisme pelaksanaan AES perlu dikaji semula supaya tidak membebankan dan memberi tekanan kepada mereka," katanya. - BERNAMA
« PREV
NEXT »

Tiada ulasan

Catat Ulasan

KLUANG TODAY tidak akan bertanggungjawab terhadap segala komentar yang diutarakan melalui ruangan komen di sini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.