Terkini

Jumaat, 19 Oktober 2012

AES Didik Pengguna Jalan Raya Patuhi Peraturan


Publisiti perlu diperhebat supaya masyarakat tahu objektif pelaksanaan

Belum pun sampai sebulan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) dilaksanakan tetapi pelbagai rungutan dan luahan tidak puas hati terhadapnya sudah bertalu-talu kedengaran.

AES yang dilaksanakan pada 23 September lalu bertujuan mengurangkan kadar kemalangan dan kematian jalan raya melalui meningkat kesedaran pemandu dan pengguna jalan raya terhadap Perception of Being Caught (POBC).
Boleh dikatakan, pelaksanaan AES seperti tidak diberi publisiti meluas oleh pihak JPJ khasnya di dalam media elektronik dan media cetak"
Namun, kini AES dilihat seperti ‘hantu’ kepada pengguna jalan raya kerana bukan rakyat biasa saja yang mengeluh terhadap pelaksanaannya, malah wakil rakyat turut kurang senang dengan sistem itu.
Pengguna jalan raya merungut terhadap pelaksanaan AES kerana dilihat seolah-olah hendak membebankan mereka. Malah wujud persepsi kononnya ia antara usaha kerajaan untuk mengatasi defisit perbelanjaan menerusi wang saman dibayar pesalah lalu lintas yang dirakam sistem AES.

Persepsi negatif

Dalam hal ini, timbul cadangan supaya sistem itu ditangguhkan buat sementara waktu sementara menunggu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memberi kefahaman kepada masyarakat matlamat AES dilaksanakan.

Boleh dikatakan, pelaksanaan AES seperti tidak diberi publisiti meluas oleh pihak JPJ khasnya di dalam media elektronik dan media cetak.

Jika diselidik, maklumat mengenai AES hanya dimuatkan di dalam laman web JPJ saja tetapi ia tidak diuar-uarkan di dalam televisyen kecuali disiarkan dalam slot berita pada hari ia dilancarkan.

Justeru, niat murni pihak berkuasa untuk mendidik pengguna jalan raya supaya mematuhi peraturan lalu lintas khasnya supaya mematuhi arahan lampu isyarat dan memandu melebihi kelajuan ditetapkan tidak sampai kepada golongan sasar.

Apabila perkara ini berlaku, timbul salah faham menyebabkan mereka marah dan mempersoalkan langkah murni diperkenalkan kerajaan itu sedangkan tujuan utama AES ialah untuk mendidik mereka supaya tidak melanggar peraturan lalu lintas bagi mengurangkan risiko kemalangan.

Kemuncak kepada rasa tidak puas hati dan marah mereka meletus semalam apabila ratusan penunjuk perasaan demonstrasi membantah dan mahu AES ditangguhkan di Ipoh, semalam.

Dalam hal ini, aspek rasional akan diketepikan begitu saja oleh pengguna jalan raya. Pada masa sama, mereka memandang negatif sistem itu seperti menganggap ia satu cara kerajaan merampas wang mereka menerusi bayaran saman lalu lintas.

Mengulas isu ini, pakar Pengangkutan Awam dan Timbalan Dekan, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Abd Rahim Md Nor menganggap aspek pendedahan dan memberi maklumat serta kefahaman objektif pelaksanaan AES perlu diperhebatkan pihak berkuasa.

Katanya, kekeliruan, salah faham, persepsi negatif dan rasa tidak puas hati rakyat terhadap AES perlu diperbetulkan kerana mereka tidak menganggap ia sebagai satu cara untuk mendisiplinkan pengguna jalan raya, sebaliknya memandang ia satu usaha kerajaan memeras wang rakyat menerusi saman lalu lintas.

“Saya difahamkan kos untuk melaksanakan AES mencecah RM800 juta membabitkan pemasangan 831 kamera dan mengambil masa setahun setengah untuk disiapkan. Apa kata gunakan sedikit peruntukan itu untuk membuat publisiti di televisyen supaya rakyat tahu apa itu AES dan objektif pelaksanaannya.

“AES ialah satu program yang bagus untuk mendisiplinkan pemandu dan pengguna jalan raya terutama di kawasan persimpangan mempunyai lampu isyarat. Malah AES adalah program yang memberi maklumat kepada pengguna jalan raya kawasan panas sering berlaku kemalangan sama ada di lebuh raya atau jalan raya.

“Jika tiada publisiti mengenainya, bagaimana rakyat hendak tahu atau faham tujuan kerajaan atau JPJ melaksanakannya. Jika tidak, mereka akan anggap itu (AES) cuma nak kutip duit mereka,” katanya.

Ada ruang tambah baik

Mengenai pelaksanaan AES, Abd Rahim berkata, masih ada beberapa penambahbaikan sesuai dilakukan terhadap sistem itu seperti memasang lebih banyak papan tanda peringatan di mana lokasi kamera AES ditempatkan.

Katanya, berdasarkan tinjauannya di 14 lokasi kamera AES yang dipasang di Perak, Selangor, Putrajaya dan Kuala Lumpur, papan tanda peringatan yang ada ketika ini tidak mencukupi dan tidak dapat memberi maklumat tepat kepada pengguna jalan raya kerana hanya tertulis ‘Zon Operasi Kamera’.

“Saya cadangkan tiga papan tanda dipasang bertulis ‘Kamera AES Di Depan’ dalam jarak tertentu sebelum tiba lokasi kamera dipasang. Had kelajuan dibenarkan di laluan itu juga patut dipaparkan dengan jelas, terang dan besar supaya mudah difahami pengguna,” katanya.

Sumber: Berita Harian
« PREV
NEXT »

Tiada ulasan

Catat Ulasan

KLUANG TODAY tidak akan bertanggungjawab terhadap segala komentar yang diutarakan melalui ruangan komen di sini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.