Terkini

Rabu, 15 Jun 2016

Polis IPD Kluang Berjaya Tumpaskan Sindiket Dadah Dan Samun

polis-kluang-today-1

KLUANG : Polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Kluang berjaya memberkas seorang lelaki warga tempatan dipercayai pengedar dadah dalam satu serbuan di sebuah rumah di Simpang Renggam baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Kluang, YDH ACP Haji Mohamad Bin Haji Laham berkata, kejayaan sehingga tertangkapnya penjenayah tersebut hasil dari risikan dan maklumat orang awam.

"Dalam serbuan yang dilakukan, selain berjaya menangkap suspek, pihak polis turut merampas beberapa buah kenderaan serta barang kemas. Nilai kesemua barang yang dirampas dianggarkan bernilai RM 500,736.00," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang  di sini.

Tambah beliau, suspek ditahan di bawah Seksyen 3(1) Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985. Barang rampasan turut disita di bawah Seksyen 4 Akta Dadah Berbahaya (Perlucuthakkan Harta) 1988.

polis-kluang-today-2

Dalam serbuan berasingan sempena bulan Ramadan, pihak Polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ), telah menahan seorang lelaki ketika sedang menjual mercun tanpa permit.

"Pihak berkuasa hanya mengeluarkan permit sementara untuk penjualan mercun jenis bunga api dan 'pop-pop' sahaja,"

"Sekiranya terdapat peniaga menjual selain dari dua barang ini, ia dikira telah melakukan kesalahan dan boleh didakwa di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957, yang mana jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara 7 tahun atau denda RM 10,000 atau kedua-duanya," ujarnya.

Dalam sidang media yang sama, ACP Mohamad turut memberitahu bahawa pihak Polis juga berjaya menyelesaikan satu kes samun bersenjata yang berlaku di Jalan Ulu Benut, Simpang Renggam.

Menurut beliau, kejadian samun yang berlaku pada awal pagi itu melibatkan mangsa seorang lelaki berbangsa Cina telah ditinggalkan di tepi jalan dan kenderaan miliknya telah dilarikan oleh dua orang suspek.

Katanya, kedua-dua suspek berjaya diberkas selepas kereta jenis Toyota Altis yang dipandu suspek bertidak berpatah balik berhampiran sekatan jalan raya di kilometer 83 Jalan Benut-Simpang Renggam sebelum terbabas dalam satu adegan kejar mengejar.

Jelas beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua puluh tahun serta sebatan.

Kedua-dua suspek kini direman bagi membantu siasatan kes-kes lain.

Beliau turut menyarankan agar orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian-kejadian jenayah atau pengedaran dadah hendaklah segera malaporkan kepada pihak Polis IPD Kluang dengan menghubungi talian hotline 07-7766822 atau 07-7784222 atau melalui rakan cop yang berdaftar.
« PREV
NEXT »

Tiada ulasan

Catat Ulasan

KLUANG TODAY tidak akan bertanggungjawab terhadap segala komentar yang diutarakan melalui ruangan komen di sini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.