Terkini

Khamis, 26 Mei 2016

Usahawan Bumiputera Diseru Sentiasa Kaji Potensi Diri

Jais-Sarday-Aim-2

KLUANG : Penyertaan bumiputera dalam dunia perniagaan hari ini dilihat semakin memberangsangkan. Perkembangan ini sudah tentunya  didorong oleh sikap mereka yang mahu berubah serta sokongan penuh dari kerajaan sedia ada.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Johor, Md Jais Sarday berkata melalui bidang perniagaan para usahawan dapat mempelajari banyak perkara tentang bisnes serta cabaran-cabaran yang bakal ditempuhi  apabila menceburi bidang ini.

Menurut beliau, untuk berjaya dalam dunia bisnes ia tidak akan berlaku dalam sekelip mata kerana ia perlu bermula dari bawah.

"Kita tidak boleh menunggang basikal dengan hanya membaca buku tentang cara-cara menunggang basikal. Kita hanya boleh tahu menunggang apabila kita sendiri belajar untuk menunggang secara praktikalnya.

"Begitu juga halnya dengan bisnes. Membaca buku dan menghadiri kelas adalah bagus bagi mendapatkan idea-idea baru tetapi sama seperti belajar menunggang basikal, belajar bisnes adalah satu proses praktikal." Ujar beliau ketika berucap pada program Malam Anugerah Amanah Ikhtiar Malaysia, di sini.

Beliau yang juga Adun Mahkota berkata, cabaran serta rintangan seperti gagal dalam perniagaan adalah perkara lumrah yang perlu dihadapi setiap usahawan.

Tambahnya lagi, kekuatan mental dan fizikal serta ilmu perniagaan adalah elemen penting yang perlu ada pada  setiap usahawan agar dapat bangkit semula dari kegagalan dan terus berusaha untuk mencapai apa jua yang diinginkan.

Beliau turut mengingatkan usahawan bumiputera yang melibatkan diri dalam bisnes agar tidak terlalu mengejar keuntungan dan kepentingan diri semata-mata. Sebaliknya, beliau menyarankan setiap usahawan yang terjun ke bidang ini menetapkan niat utama mereka iaitu untuk memberi manfaat kepada orang lain.

Dalam pada masa yang sama juga, beliau turut mengajak golongan usahawan agar sentiasa berfikiran terbuka dalam menerima idea-idea baru dan mengkaji  semula setiap kemahiran yang ada serta mengenal pasti potensi baru yang ada pada diri masing-masing.
« PREV
NEXT »

Tiada ulasan

Catat Ulasan

KLUANG TODAY tidak akan bertanggungjawab terhadap segala komentar yang diutarakan melalui ruangan komen di sini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.