Terkini

Khamis, 12 Mei 2016

Catuan Bekalan Air di Kota Tinggi, Mersing Dilanjutkan

catuan-air-johor
JOHOR BAHRU : Bekalan air berjadual melibatkan 85,000 pengguna di sebahagian kawasan Kota Tinggi dan Mersing yang sepatutnya berakhir 15 Mei ini, bakal dilanjutkan sebulan lagi memandangkan paras air di loji air dan beberapa empangan berkaitan terus merosot.    

Exco Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Johor, Datuk Hasni Mohammad berkata paras air di Empangan Congok di Mersing umpamanya dijangka hanya mampu bertahan selama dua minggu sahaja jika hujan tidak turun di kawasan empangan itu.   

"Kita jangka mungkin bekalan air berjadual di kawasan Mersing dan Kota Tinggi mungkin diperluaskan kawasan catuan sekiranya keadaan ini berterusan," kata beliau kepada pemberita di sini hari ini.   

Paras Empangan Congok masa kini berada pada 3.9 meter berbanding 4.22 meter pada 3 Mei lepas, dan berkurangan dari tahap kritikal iaitu 4.5 meter.    

Selain itu, jadual bekalan air berjadual akan dimulakan akhir bulan ini melibatkan sebahagian kawasan Johor Baharu dan Pasir Gudang iaitu merangkumi 800,000 pengguna, kata Hasni.

Beliau berkata Empangan Upper Layang, yang membekalkan air kepada pengguna di kawasan Johor Baharu dan Pasir Gudang, juga turut merosot kepada paras 19.25 meter berbanding 19.55 meter pada 3 Mei lepas, dan berkurangan dari tahap kritikal iaitu 23.5 meter.    

Meskipun operasi pembenihan awan dilakukan sejak April menghasilkan hujan setiap hari di beberapa kawasan di negeri ini, ia tidak turun di kawasan empangan yang memerlukan.   

"Justeru itu, kita akan meningkatkan operasi pembenihan awan dan mungkin akan meminta kerjasama pihak penerbangan swasta untuk meningkatkan kekerapan operasi aktiviti tersebut," kata Hasni. - Bernama
« PREV
NEXT »

Tiada ulasan

Catat Ulasan

KLUANG TODAY tidak akan bertanggungjawab terhadap segala komentar yang diutarakan melalui ruangan komen di sini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.