Terkini

Khamis, 10 Mac 2016

Penduduk Taman Fajar Lega Isu Banjir Yang Menghantui Sejak 30 Tahun Lalu Berakhir

yb-jais-md-norhalim

KLUANG: Isu banjir yang sering menghantui penduduk Taman Fajar sejak 30 tahun lalu serta isu peniaga gerai di Jalan Cengkih, Taman Sri Tengah, Kluang bakal berakhir tidak lama lagi.

Jaminan untuk menyelesaikan masalah tersebut telah dinyatakan oleh wakil dari Majlis Perbandaran Kluang (MPK), En Md Norhalim Md Amin dalam satu sesi perjumpaan dengan penduduk  dan peniaga gerai di kawasan terlibat.

Menurut beliau, pihak MPK telah merangka beberapa pelan tindakan bagi mengatasi masalah banjir yang dihadapi penduduk Taman Fajar dengan kos keseluruhan sebanyak RM2.5 juta di mana ia lebih murah berbanding kos asal iaitu RM7 juta seperti yang dicadangkan ketika lawatan Menteri Besar Johor ke Kluang pada awal 2015.

Dalam sesi taklimat itu beliau turut menyatakan, peruntukan sebanyak RM300 ribu juga telah diluluskan bagi membina semula gerai lama yang telah berusia 18 tahun dengan gerai baharu yang lebih selesa berkonsepkan kiosk dan rehat dan rawat (RnR) yang turut dilengkapi kemudahan infrastruktur lain.

Tambah beliau, setelah kerja-kerja menaik taraf selesai, gerai-gerai berkenaan akan dikelola sepenuhnya  pihak MPK termasuk kutipan sewa bulanan.

Jelasnya lagi, hanya penyewa yang benar-benar serius ingin berniaga akan dipilih kerana sebelum ini difahamkan terdapat pemilik asal gerai berkenaan menyewakan tapak gerai mereka kepada penyewa lain.

taman-fajar-kluang

Berkata kepada portal Kluang Today, En Md Norhalim yang juga Timbalan Ketua Bahagian Umno Kluang turut menzahirkan ucapan terima kasih dan syukur apabila cadangan baharu yang dikemukakan  pihaknya mendapat persetujuan dari penduduk.

Beliau juga berharap dengan terlaksananya dua projek itu nanti ia dapat memberi keselesaan dan kesejahteraan kepada penduduk Taman Fajar, Peniaga Warung dan orang ramai.

Turut hadir sama dan memberi penerangan dalam sesi taklimat itu ialah Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kluang, Hj Ismail Abu dan Adun Mahkota, YB Tuan Hj Jais Sardy merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Pembangunan Usahawan & Koperasi Kerajaan Johor.
« PREV
NEXT »

1 ulasan

KLUANG TODAY tidak akan bertanggungjawab terhadap segala komentar yang diutarakan melalui ruangan komen di sini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.