Terkini

Isnin, 7 Mac 2016

Kerajaan Pusat Beri Kelulusan Projek Pemindahan Air Mentah ke Empangan Sungai Layang

BERNAMA: Kerajaan pusat pada Ahad meluluskan permohonan kerajaan negeri Johor untuk melaksanakan projek pemindahan air dari Projek Air Mentah Pembangunan Bersepadu Penapisan dan Petrokimia (PAMER), ke Empangan Sungai Layang dengan kaedah kerajaan negeri Johor membelanjakan dahulu keperluan sebanyak RM100 juta.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata perbelanjaan tersebut kemudian akan ditolak daripada hutang kerajaan negeri kepada kerajaan pusat.

"Permohonan daripada kerajaan Johor yang dikemuka atau diluahkan oleh Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan diluluskan ini, akan mengatasi masalah catuan air yang dijangka mungkin menjadi lebih kritikal pada masa-masa akan datang," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Transformasi Bandar (UTC) Johor di Galleria@Kotaraya, di sini Ahad.

Najib-UTC-Johor

Najib berkata dengan pembangunan di bandaraya Johor Baharu dan Iskandar Malaysia yang sangat pesat, maka, peningkatan kemudahan asas seperti bekalan air di kawasan terbabit amat diperlukan menerusi pelaksanaan projek pemindahan air berkenaan.

Mengenai harapan supaya kerajaan pusat menyegerakan kelulusan pelaksanaan projek Bus Rapid Transit (BRT) bagi bandaraya Johor Baharu, Najib, yang juga Menteri Kewangan, berkata kerajaan pusat perlu meneliti terlebih dahulu projek tersebut.

"Kita (kerajaan pusat) kena tengok dahulu sebab ada defisit yang agak besar dari segi kutipan dan perbelanjaan," katanya.

Terdahulu, Mohamed Khaled ketika berucap pada majlis perasmian UTC Johor, memohon agar kerajaan pusat mempertimbangkan projek pemindahan air terbabit atau membenarkan kerajaan negeri Johor mendahulukan perbelanjaan itu dengan jaminan kerajaan pusat akan membayar semula kepada kerajaan negeri atau memotong hutang kerajaan negeri kepada kerajaan pusat.

Menurut Mohamed Khaled, cadangan projek pemindahan air itu memerlukan perbelanjaan kira-kira RM100.6 juta dan bagi penyelesaian jangka panjang, kerajaan negeri perlu melakukan pemindahan air supaya catuan bekalan air yang menjejaskan 485,000 orang sebelum ini, tidak berulang.

Berikutan Iskandar Malaysia khususnya Johor Baharu yang banyak berubah dan bertukar menjadi metropolis yang semakin sesak, Mohamed Khaled berharap kerajaan pusat dapat menyegerakan kelulusan pelaksanaan projek BRT sebagai sebahagian penyelesaian jangka panjang bagi bandaraya Johor Baharu.
« PREV
NEXT »

Tiada ulasan

Catat Ulasan

KLUANG TODAY tidak akan bertanggungjawab terhadap segala komentar yang diutarakan melalui ruangan komen di sini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.