Terkini

Sabtu, 13 Ogos 2016

Khaled Nordin Beri Amaran Kepada Ahli Parti Jangan Cuba 'Duduk Dua Alam'

Khaled-Nordin-Umno

JOHOR BAHRU : Pengerusi Badan Perhubungan Umno Johor, Datuk Seri Khaled Nordin memberi peringatan kepada seluruh ahli parti di negeri ini agar tidak menjadi ahli parti yang 'duduk dua alam' atau cuba bermain 'dua kolam'.

Sehubungan itu, beliau meminta Umno bahagian di Johor menyenaraikan anggota mereka yang dipercayai terlibat atau mempunyai kaitan dengan parti baru.

Beliau berkata, tindakan  ini diambil bagi memastikan tidak berlaku kecelaruan dan pengkhianatan terhadap parti ketika menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14.

“(Ada di antara) mereka ini (yang) duduk dua alam. (Ini bagi memastikan) sama ada nama mereka digunakan untuk menaja dan mempromosi parti (baharu) dan mereka dapat mengumumkan sama ada mereka betul-betul terlibat atau tidak,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Johor hari ini.

Memetik laporan Bernama, Khaled yang juga Menteri Besar Johor berkata, pihaknya ada menerima laporan mengatakan ada pihak tertentu cuba menggunakan nama anggota-anggota yang tidak terlibat dan mengaitkan mereka dengan parti baru.

“Jika ada di antara mereka yang betul-betul terlibat, mereka perlu membuat satu ketetapan. Kalau mereka terlibat mereka patut jangan ada apa-apa hubungan lagi dengan UMNO,” katanya.

Baru-baru ini, bekas Timbalan Perdana Menteri yang juga bekas Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mendakwa ramai bekas anggota UMNO ingin menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia tetapi tidak bersedia menyatakan sokongan secara terbuka.
« PREV
NEXT »

Tiada ulasan

Catat Ulasan

KLUANG TODAY tidak akan bertanggungjawab terhadap segala komentar yang diutarakan melalui ruangan komen di sini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.