Terkini

Rabu, 20 Julai 2016

PKR Ragui Matlamat DAP Mahu Adakan Pilihan Raya Tergempar di Pulau Pinang

wan-azizah-prk-pulau-pinang

PETALING JAYA : Parti Keadilan Rakyat (PKR) masih belum diyakinkan dengan tujuan atau matlamat bagi mengadakan pilihan raya tergempar di Pulau Pinang, Presidennya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata.

Bercakap kepada pemberita selepas mesyuarat mingguan biro politik PKR di ibu pejabat parti itu di sini hari ini, Wan Azizah berkata parti itu bagaimanapun tidak menutup pintu perbincangan.

"Kami belum diyakinkan dengan tujuan atau matlamat untuk mengadakan pilihan raya tergempar.

"Namun, pimpinan Keadilan bersedia untuk meneruskan perbincangan dengan pimpinan parti-parti komponen Pakatan Harapan mengenai isu ini," katanya.

DAP sebelum ini mengakui pilihan raya mengejut di negeri itu adalah satu daripada pilihan kepimpinan kerajaan negeri berkenaan selepas Ketua Menteri, Lim Guan Eng diheret ke mahkamah atas tuduhan rasuah.

Hari ini, media melaporkan Lim bersama rombongan pemimpin DAP akan hadir pada mesyuarat itu bagi memberi taklimat mengenai kemungkinan diadakan pilihan raya mengejut, namun mesyuarat tersebut berlangsung tanpa kehadiran Lim.

Lim, 56, baru-baru ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang terhadap dua pertuduhan rasuah berhubung penukaran zon pertanian kepada zon perumahan serta pembelian lot tanah dan banglo di bawah nilai pasaran.

Sementara itu, Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tidak menolak kemungkinan mesyuarat mengenai pilihan raya tergempar itu diadakan dalam masa terdekat.

"Kami telah bincang dalam mesyuarat tadi. Memang ada cadangan untuk pilihan raya tersebut, tetapi kami perlukan penjelasan daripada kerajaan negeri," katanya yang juga Menteri Besar Selangor dan Anggota Parlimen Gombak. - Bernama
« PREV
NEXT »

Tiada ulasan

Catat Ulasan

KLUANG TODAY tidak akan bertanggungjawab terhadap segala komentar yang diutarakan melalui ruangan komen di sini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.