Terkini

Sabtu, 30 Julai 2016

Peruntukan RM150 Juta Untuk Bangunkan Rumah Mampu Milik Johor

rumah-mampu-milik-johor

JOHOR BAHARU : Kerajaan negeri telah menyediakan peruntukan sebanyak RM150 juta bagi membeli dan mengambil alih tanah yang sesuai untuk membangunkan projek rumah mampu milik Johor (RMMJ) dalam usahanya memastikan keperluan rakyat terus terpelihara.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Datuk Abd Latif Bandi berkata kerajaan negeri sudah mengenal pasti dan memilih lokasi sesuai yang mana harga pasaran tidak terlalu tinggi seperti di Muar untuk dibangunkan RMMJ.

Menurutnya, sebanyak 11,000 unit RMMJ telah siap dibina manakala 30,000 ribu unit lagi masih dalam pembinaan.

Abd Latif berkata kerajaan negeri menyasarkan sebanyak 60,000 unit dibina menjelang tahun 2020.

"Kerajaan negeri komited dalam membantu rakyat terutama untuk pembeli rumah pertama selain membantu mereka untuk mendapatkan pinjaman untuk pembelian rumah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pameran Hartanah MyRumah di Komtar JBCC, di sini.

Beliau berkata selain membantu membina RMMJ, kerajaan negeri juga bekerjasama dengan bank tempatan bagi menyediakan skim pinjaman perumahan untuk kemudahan rakyat.

Sementara itu, Abd Latif berkata pameran hartanah seumpama ini juga membantu orang ramai untuk melihat tawaran pembelian rumah yang disediakan.

Pameran hartanah yang berlangsung di Komtar JBCC selama tiga hari bermula hari ini akan berakhir pada 31 Julai ini - Bernama
« PREV
NEXT »

Tiada ulasan

Catat Ulasan

KLUANG TODAY tidak akan bertanggungjawab terhadap segala komentar yang diutarakan melalui ruangan komen di sini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.