Terkini

Sabtu, 13 Februari 2016

Pengambilan Pekerja Asing Perlu Ada Garis Panduan - MB Johor

Khaled-Nordin-Isu-Pekerja-Asing

Bagi memastikan tidak berlakunya lambakan pekerja asing di Malaysia yang bakal mengundang pelbagai masalah sosial dan menjejaskan penduduk tempatan, kerajaan pusat diminta menyediakan garis panduan pengambilan pekerja asing di negara ini.

Berkata kepada media, Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mencadangkan kepada kerajaan beberapa kriteria penting perlu ada pada pekerja asing antaranya ialah memiliki sekurang-kuranya taraf pendidikan yang minimum sebelum mengambil mereka bekerja.

Selain dari itu, beliau turut meminta pihak majikan yang mahu menggajikan pekerja asing ini perlu menyediakan tempat tinggal yang sempurna untuk mereka.

Jelas beliau lagi, kerajaan negeri Johor mengalu-alukan rancangan kerajaan itu dan tidak menghalang kemasukan pekerja asing ke negeri ini, namun penetapan garis panduan itu penting bagi mengelak sebarang masalah berlaku termasuk masalah sosial.

“Majikan tidak boleh membiarkan pekerja asing menyewa merata-rata tempat. Kami tidak mahu pekerja asing ditempatkan di kawasan berdekatan masyarakat setempat bagi mengelakkan masalah sosial berlaku,” beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Fun Ride Kayuhan Muafakat Persatuan Peminat Berbasikal dan Kebajikan Pasir Gudang (PBBPG) di sini.

Menurut Mohamed Khaled, pihaknya menerima rungutan kebanyakan masyarakat setempat yang melahirkan kebimbangan terhadap kebanjiran pekerja asing sehingga mendatangkan masalah kepada mereka.

Mengambil contoh pembangunan baharu di Pengerang, kerajaan negeri telah menetapkan syarat ke atas tenaga pekerja asing di kawasan berkenaan, termasuk menyediakan tempat tinggal mereka.

Dalam pada itu, pihak industri juga disyaratkan supaya mengambil orang tempatan untuk berkhidmat di bahagian pengurusan dan pentadbiran.

Isu kemasukan pekerja asing mendapat liputan luas media baru-baru ini berhubung rancangan Kerajaan Pusat untuk membawa masuk kira-kira 1.5 juta pekerja Bangladesh ke Malaysia dalam tempoh tiga tahun.

Bagaimanapun Kementerian Dalam Negeri (KDN) menegaskan tiada angka mutlak bagi kemasukan pekerja Bangladesh ke negara ini kerana ia bergantung kepada keperluan sebenar majikan semasa permohonan dibuat.
« PREV
NEXT »

Tiada ulasan

Catat Ulasan

KLUANG TODAY tidak akan bertanggungjawab terhadap segala komentar yang diutarakan melalui ruangan komen di sini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.