Terkini

Ahad, 28 Februari 2016

Pelajar Sek Men Sains Batu Pahat Pamer Kebolehan Kendali Program Bersama Masyarakat di Kluang

gsa-chamek-1

Terdapat peribahasa Melayu popular mengatakan, jika hendak melentur buluh biarlah dari rebungnya. Pepatah tersebut membawa maksud jika mahu mendidik atau membentuk sahsiah anak-anak agar menjadi insan berguna pada masa hadapan biarlah bermula dari usia muda mereka iaitu sejak di bangku sekolah lagi.

Tanggal 27 Febuari lalu, bertempat di balai aktiviti Kampung GSA Chamek, Kluang, Johor, satu Program Muafakat Khidmat Bakti yang dianjurkan bersama oleh Sekolah Menengah Sains Batu Pahat (SEHEBAT), Pejabat Daerah Kluang, JPMM Dun Paloh dan penduduk setempat telah diadakan di kampung berkenaan bersempena Hari Keputeraan DYMM Sultan Johor.

Menurut sumber yang mengelola program berkenaan, idea asal untuk membawa pelajar dan guru-guru dari SM Sains Batu Pahat bagi menjayakan program muafakat khidmat bakti ini bersama penduduk kampung telah diilhamkan oleh Penghulu Kanan, Pejabat Daerah Kluang, Tn. Haji Rosli Bin Ithnin.

gsa-chamek-2

Matlamat utama penganjuran program tersebut adalah untuk memberi pendedahan dan pengetahuan kepada para pelajar mengenai sosio budaya penduduk setempat, mempelajari cara-cara untuk mengurus dan mengendali program yang melibatkan masyarakat selain dapat memupuk semangat kekeluargaan, kerjasama di antara perserta terlibat.

Apa yang menariknya tentang program muafakat khidmat bakti ini di mana hampir keseluruhan perjalanan program tersebut termasuk kerja-kerja pemasangan balai untuk orang ramai hingga ke atur cara majlis diselenggara dan diurus oleh pelajar-pelajar sekolah itu sendiri.

gsa-chamek-3

Aturcara majlis yang dijadual bermula jam 2.00 petang itu didahului dengan sesi pendaftaran kemudian sesi penerangan dan motivasi yang disampaikan oleh dua penceramah jemputan dan turut diselangi dengan acara cabutan nombor bertuah.

Upacara perasmian dan penutup Program Muafakat Khidmat Bakti yang turut dianjur bersama beberapa pertubuhan NGO itu telah dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Paloh, Teoh Yap Kun kemudian diikuti majlis penyampaian sijil penghargaan dan cenderamata.

« PREV
NEXT »

Tiada ulasan

Catat Ulasan

KLUANG TODAY tidak akan bertanggungjawab terhadap segala komentar yang diutarakan melalui ruangan komen di sini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.