Terkini

Selasa, 29 November 2016

Syarikat Jepun Pilih Malaysia Sebagai Destinasi Pelaburan Utama

Nippon-Electric-Glass-HQ

KUALA LUMPUR : Sebanyak 2,602 projek pembuatan dengan penyertaan dari Jepun dilaksanakan di Malaysia sehingga akhir tahun lalu, membabitkan pelaburan bernilai RM85 bilion dan mewujudkan 342,837 peluang pekerjaan.

Bagi tempoh lapan bulan tahun ini, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) meluluskan 36 projek pembuatan dari Jepun dengan pelaburan berjumlah RM1.05 bilion dan bakal mewujudkan tambahan 1,280 peluang pekerjaan untuk rakyat Malaysia.

Menurut MIDA, projek berkenaan bakal dilaksanakan di Kelantan, Johor, Perak, Melaka, Selangor, Pahang, Negeri Sembilan, Kedah dan Pulau Pinang.

Katanya, sebanyak 86 peratus daripada pelaburan berkenaan adalah daripada aktiviti pengembangan dan kepelbagaian syarikat Jepun sedia ada yang beroperasi di negara ini.

"Antara syarikat terbabit ialah Rohm-Wako Electronic, Nippon Electric Glass, Cosmo Scientex dan Polyplastics Asia Pacific," demikian menurut MIDA dalam kenyataan, pada Isnin.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas sesi dialog antara Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed bersama Kedutaan Jepun, Dewan Perdagangan dan Industri Jepun di Malaysia (JACTIM) dan Pertubuhan Perdagangan Luar Jepun (JETRO) di Kuala Lumpur, semalam.

Yang turut hadir Menteri di Kedutaan Jepun, Yoshinori Kodama; Presiden JACTIM, Toshihiko Todokoro; dan Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Azman Mahmud.

Antara isu yang dibincangkan pada dialog itu ialah prosedur dan peraturan mengenai perdagangan dan pelaburan serta status rundingan terkini Malaysia mengenai perjanjian perdagangan bebas (FTA).

MIDA berkata, syarikat Jepun yang beroperasi di Malaysia bukan sahaja dijangka terus melabur semula di negara ini, tetapi turut menjadikan Malaysia sebagai hub untuk menjalankan operasi di peringkat serantau dan global. Katanya, MIDA akan bekerjasama rapat dengan rakannya dari Jepun dalam menggalakkan hubungan perniagaan membabitkan perniagaan antara negara itu dan Malaysia.

Sumber : BH

« PREV
NEXT »

Tiada ulasan

Catat Ulasan

KLUANG TODAY tidak akan bertanggungjawab terhadap segala komentar yang diutarakan melalui ruangan komen di sini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.