Terkini

Khamis, 21 April 2016

Kajian Penyelarasan Gaji Mengikut Daerah Akan Diperhalusi

kahled-nordin-fokus

ISKANDAR PUTERI : Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kerajaan negeri sedia membuat kajian berhubung penetapan gaji sesuai bagi mengimbangi kos sara hidup yang tinggi ketika ini.

Menurut beliau, kajian itu perlu merangkumi pelbagai aspek termasuk kaedah pelaksanaan, selain ia tidak menjejaskan kemasukan pelaburan ke negeri ini.

Jelas beliau lagi, gaji yang ditawarkan tidak selaras mengikut kawasan menyebabkan ramai berhijrah keluar dari Johor seperti ke Lembah Klang dan Singapura.

"Justeru, kita akan jalankan kajian mendalam mengenai 'living wage' ini yang akan mengambil kira 'punca kuasa' pelaksanaan sama ada kerajaan Persekutuan atau kerajaan negeri untuk menetapkan satu set gaji yang sesuai," katanya pada penggal keempat sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-13 di Kota Iskandar di sini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Dr Adham Baba (BN-Pasir Raja) berkenaan cadangan melaksanakan penetapan gaji yang sesuai mengikut daerah seperti dilaksanakan bandar utama dunia.

Dalam pada itu, beliau turut menggesa semua Ahli Dewan dan masyarakat di luar untuk bersama-sama memikirkan dan berkongsi idea agar ia boleh dipertimbang dan dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri untuk kebaikan semua

Sementara itu, menjawab soalan Yeo Tung Siong (DAP-Pekan Nenas), Mohamed Khaled berkata, pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) sejak April tahun lalu menjadi penyelamat kepada ekonomi negara ketika keadaan ekonomi global tidak menentu disebabkan kejatuhan harga minyak.

Beliau berkata, jika GST tidak dilaksanakan, pelbagai pembangunan pesat yang sedang berlaku di negeri ini mungkin sukar diteruskan.
« PREV
NEXT »

Tiada ulasan

Catat Ulasan

KLUANG TODAY tidak akan bertanggungjawab terhadap segala komentar yang diutarakan melalui ruangan komen di sini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.