Terkini

Jumaat, 12 Jun 2015

Christoph Mueller Tolak Cadangan Penggabungan MAS-Air Asia

Christoph Mueller

Ketua Eksekutif Malaysia Airlines (MAS) Christoph Mueller berkata beliau akan sekali lagi menentang sebarang percubaan untuk menyatukan syarikat penerbangan nasional itu dengan AirAsia.

"Saya dengan keras menentangnya," katanya semasa berucap pada Persidangan Asia Pembangunan Lapangan Terbang Global (GAD) 2015 pada Khamis.

MAS dan AirAsia cuba membuat pertukaran saham dalam usaha untuk bekerjasama dan mengurangkan persaingan pada tahun 2012 tetapi perjanjian itu telah dibatalkan kerana tekanan dari kesatuan pekerja MAS.

Walaupun meramalkan mungkin ada penyatuan dalam industri penerbangan serantau dalam tempoh lima tahun akan datang, Mueller berkata setiap negara perlu mempunyai sekurang-kurangnya dua syarikat penerbangan.

Beliau berkata monopoli, terutamanya bagi laluan domestik, tidak baik untuk pengguna atau negara.

Mueller berkata persaingan bukanlah sesuatu yang mengancam dan adalah baik untuk pasaran.

"Tanpa persaingan setiap syarikat penerbangan akan menjadi leka dan santai," katanya.

Pada masa yang sama, Mueller berkata syarikat penerbangan tidak boleh menawarkan tambang di bawah kos yang ditanggung mereka.

"Anda mempunyai fenomena ini di sektor (laluan) Malaysia-Australia," katanya, sambil menambah dalam jangka masa panjang, amalan seperti ini boleh memusnahkan pasaran kerana pelanggan sudah terbiasa dengan tambang yang tidak realistik.
« PREV
NEXT »

Tiada ulasan

Catat Ulasan

KLUANG TODAY tidak akan bertanggungjawab terhadap segala komentar yang diutarakan melalui ruangan komen di sini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.